Pengikut

Nuffnang

Rabu, 23 November 2016

PAS KAWASAN KUBANG PASU

sumber :-

PAS KAWASAN KUBANG PASU


Perbandingan di antara buaya dan singa

Posted: 22 Nov 2016 07:50 PM PST

SAYA telah mengulas perkembangan Pilihan Raya Presiden Amerika di ruangan akhbar Harakah bertajuk "Pilihanraya Presiden Amerika dan Zionis" pada bulan April yang lalu dengan menyebut bahawa perbandingan di antara dua calon Pilihan Raya Presiden Amerika iaitu Hillary Clinton (Parti Demokrat) dan Donald Trump (Parti Republikan) adalah kedua-duanya berlumba-lumba membuat kenyataan terbuka menyokong Israel dengan pendekatan yang berbeza, namun tujuannya tetap sama. Tetapi masih ada di kalangan kita sudah lupa betapa konsep dan matlamat kedua-duanya sama sehingga ada yang bersedih kerana calon yang diminati kalah.       

Perbandingannya laksana buaya dan singa, kedua-duanya mengganas. Perbezaan singa mengaum dengan kuat, nyata dan menerpa secara terbuka di lapangan. Adapun buaya seperti kata pepatah Melayu 'bagaikan air yang tenang jangan disangka tiada buaya'. 

Parti Demokrat dan Parti Republikan semuanya terlibat dalam campur tangan yang menimbulkan ketegangan di seluruh pelosok dunia secara langsung atau tidak langsung melalui wakil mereka. Tragedi pembunuhan yang mencecah jutaan mangsa korban dan menjadi pelarian dibenarkan atas nama mendokong kebebasan, demokrasi, keadilan dan hak asasi manusia. Namun, undang-undang antarabangsa dan mahkamah laksana sarang labah-labah yang boleh memerangkap makhluk kecil sahaja. Apa-apa tindakan pun tidak boleh di ambil ke atas Amerika dan sekutunya dan semua keputusan PBB boleh dihalang dengan mudah melalui kuasa vetonya.     

Seganas-ganas singa dan buaya boleh dikawal oleh Jabatan Mergastua dan dikurung dalam sangkar zoo. Begitulah politik, sejarah menunjukkan kuasa besar yang memuncak keganasannya seperti Adolf Hitler dan Benito Mussolini lebih cepat tersungkur.   

Amerika adalah sebuah negara yang mendokong demokrasi bebas tetap dikawal melalui perlembagaan dan undang-undangnya. Di samping berlaku protes rakyat terhadap keputusan pilihan raya itu secara demokrasi jalanan, negara Barat di Eropah juga menujukkan tekanan bahawa Donald Trump tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya seperti kempennya di masa pilihan raya kecuali kalau mahu menempah kehancuran Amerika seperti berkecainya kuasa besar Kesatuan Soviet di abad yang lalu atau kemusnahan dengan cara yang lain.

Apa yang perlu menjadi iktibar adalah betapa kecelaruan demokrasi Barat kini kerana disebabkan oleh tidak beriman dan hilangnya sifat budiman dalam pemilihan kepimpinan.  Tiga faktor penting yang menjadi rukun manipulasi pemilihan iaitu 3M (Machinery/Jentera; Media; dan Money/Wang). Apabila tiga faktor ini yang dikuasai bangsa Yahudi dimanipulasi sepenuhnya sebagaimana yang diceritakan benar oleh Al-Quran. Firman Allah SWT:

﴿وَقَالَ لَهُمۡ نَبِيُّهُمۡ إِنَّ ٱللَّهَ قَدۡ بَعَثَ لَكُمۡ طَالُوتَ مَلِكٗاۚ قَالُوٓاْ أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ ٱلۡمُلۡكُ عَلَيۡنَا وَنَحۡنُ أَحَقُّ بِٱلۡمُلۡكِ مِنۡهُ وَلَمۡ يُؤۡتَ سَعَةٗ مِّنَ ٱلۡمَالِۚ قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰهُ عَلَيۡكُمۡ وَزَادَهُۥ بَسۡطَةٗ فِي ٱلۡعِلۡمِ وَٱلۡجِسۡمِۖ وَٱللَّهُ يُؤۡتِي مُلۡكَهُۥ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٞ٢٤٧ وَقَالَ لَهُمۡ نَبِيُّهُمۡ إِنَّ ءَايَةَ مُلۡكِهِۦٓ أَن يَأۡتِيَكُمُ ٱلتَّابُوتُ فِيهِ سَكِينَةٞ مِّن رَّبِّكُمۡ وَبَقِيَّةٞ مِّمَّا تَرَكَ ءَالُ مُوسَىٰ وَءَالُ هَٰرُونَ تَحۡمِلُهُ ٱلۡمَلَٰٓئِكَةُۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَةٗ لَّكُمۡ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ٢٤٨﴾ [البقرة: 247-248]

"Berkatalah Nabi mereka kepada mereka (apabila mereka meminta Nabi itu menetapkan calon raja setelah dimintanya): Sesungguhnya Allah melantik Talut menjadi raja kamu. Mereka berkata: Bagaimana dia dilantik, padahal kalangan kami ada yang lebih layak, dan dia pula tidak berharta banyak (kaya raya)? Nabi mereka menjawab: Allah yang memilihnya kerana dia berilmu dan sihat serta gagah perkasa. Allah sahaja yang memberi kurnia pemerintahan kepada sesiapa yang di kehendaki-Nya dan Allah itu Maha Luas Pengetahuan dan Kuasa-Nya lagi Maha Mengetahui. (247)

"Nabi mereka menegaskan lagi: Sesungguhnya Allah menunjukkan tanda perlantikannya bahawa datang kepada kamu Tabut (peti) yang dibawa oleh Malaikat, yang ada di dalamnya ketenangan daripada Tuhan kamu dan pusaka peninggalan pengikut Nabi Musa A.S dan Nabi Harun A.S. Sesungguhnya itulah dalil daripada Tuhan kamu sekiranya kamu beriman." (248)] (Al-Baqarah: 247-248)

Al-Quran adalah kitab suci mukjizat yang kekal daripada Allah kepada Rasul akhir zaman Muhammad SAW yang membawa kisah petunjuk sepanjang zaman.

Donald Trump memenangi pilihan raya dengan politik wang kekayaan yang mempengaruhi jentera dan media. Tegasnya, siapa paling kaya dan hebat Zionisnya dipilih dalam pilihan raya di Amerika. Apabila dicampur wang dan Zionisnya maka sangat kuat sumbangan mempengaruhi politik terkini, apabila akal berada di perut dan apabila yang tinggi ilmunya dapat diperkudakan.

Para ulama tafsir al-Quran menegaskan pengajaran itu diambil daripada lafaznya yang umum bukan sebabnya yang khusus.

"Inilah Penyelesaian Kita"

ABDUL HADI BIN AWANG
Presiden PAS 

RUU 355: Kerahan usaha semaksimum

Posted: 22 Nov 2016 07:46 PM PST

KERAHAN SOLAT HAJAT

Mesej Ringkas Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Perak (DUPNPk) kepada semua umat Islam Malaysia.

Halangan Kepada Usaha Memperkasa Undang-Undang Islam di Malaysia

Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan sekalian, Rang Undang-Undang untuk memperkasakan undang-undang Islam di Malaysia (Akta 355) bakal dibentangkan di Parlimen mulai esok.

Malang sekali, terdapat tentangan dari pihak-pihak tertentu yang boleh menggagalkan usaha memperkasakan undang-undang Islam di Malaysia ini.

Apa Yang Boleh Kita Buat?

Saya dengan rendah hati ingin memohon jasa baik tuan-tuan dan puan-puan untuk bersama-sama kami warga AJK Dewan Ulamak, Urusan Ulamak Kawasan-kawasan, para asatizah semua ahi PAS di semua peringkat dan kepada semua umat Islam tidak kira anda berada di mana, untuk mendirikan solat hajat pada malam ini untuk doa berikut dan menjalankan perkara berikut:

1) Memohon supaya Allah mempermudahkan serta membuka laluan mudah bagi pembentangan Rang Undang-Undang ini.

2) Memohon Allah membukakan hati mana-mana pihak berkuasa termasuk ahli-ahli parlimen Islam yang menentang, untuk kembali menyokong undang-undang ini di Parlimen.

3) Mohon supaya tuan-tuan dan puan-puan memanjangkan mesej ini kepada ketua-ketua bahagian, Adun-Adun, ahli-ahli parlimen, semua sahabat di kawasan tuan-tuan dan puan-puan.

4) Memviralkan seluas mungkin mesej ini supaya kita semua bersama-sama bangkit berdiri menunaikan solat hajat pada setiap hari bermula malam ini untuk membantu usaha ini.

Semoga doa kita dimakbulkan Allah.

DAULATKAN ISLAM AGAMA NEGARA

Tuan Guru Sidek Mohd Noor
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Perak

RUU 355: Penjelasan dan harapan

Posted: 22 Nov 2016 07:42 PM PST

Oleh Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

Sebagaimana diumumkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri semalam, Rang Undang-undang 355 (RUU 355) dijangka akan dijadualkan untuk dibahas di Dewan Rakyat pada hari Rabu 23 November atau Khamis 24 November 2016 setelah mana perbahasan di peringkat jawatankuasa bagi Bajet 2017 selesai semalam.

Ada beberapa Rang Undang-undang (RUU) yang dikemukakan oleh Kerajaan perlu didahulukan untuk dibahas sebagaimana peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat. Antara RUU yang telah disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat ialah RUU Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Persekutuan (pindaan 2016), RUU Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (pindaan 2016) dan RUU Lambang dan Nama.

RUU 355 yang diusulkan oleh YB Marang di Dewan Rakyat adalah bertujuan meminda kadar hukuman yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah di negeri-negeri agar menurut undang-undang Syariah.

Usul ini akan membuka ruang untuk 3 kesalahan jenayah syariah dihukum berdasarkan undang-undang Syariat iaitu bagi kesalahan persetubuhan luar nikah bagi yang belum berkahwin sebanyak 100 sebatan syarie, Qazaf sebanyak 80 sebatan syarie dan minum minuman memabukkan sebanyak 40 sehingga 80 sebatan syarie berdasarkan khilaf antara mazhab fiqh.

Ketiga-tiga kesalahan tersebut telah sedia dibicarakan di Mahkamah Syariah pada hari ini tetapi had hukumannya terhad kepada Akta 355 yang menetapkan had maksima 3 tahun penjara, 5 ribu ringgit denda dan 6 kali sebatan.

Menurut Akta 355; Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah ) 1965 (Disemak 1988), bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman kepada kesalahan syariah adalah terhad kepada tiga tahun penjara atau denda lima ribu ringgit atau enam kali sebatan atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.

Teks Akta tersebut adalah seperti berikut:

Seksyen 2. Bidang kuasa Jenayah Mahkamah Syariah.

"Mahkamah Syariah yang ditubuhkan dengan sempurnanya di bawah mana-mana undang-undang dalam sesuatu Negeri dan diberi bidang kuasa ke atas orang-orang yang menganuti agama Islam dan berkenaan dengan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai II bagi Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang yang menganuti agama tersebut yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis:

Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut."

HURAIAN RUU 355 oleh YB Marang

RUU 355 yang dikemukakan oleh YB Marang mengandungi beberapa poin utama yang perlu difahami iaitu:

PERTAMA

Ia melibatkan cadangan pindaan "bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah"  dalam menjatuhkan hukuman terhadap kesalahan jenayah syariah melibatkan orang Islam sahaja.

KEDUA

Ia melibatkan jenayah syariah yang dilakukan oleh orang Islam sahaja yang dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Ia tidak melibatkan bukan Islam kerana bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan hanyalah terhad kepada orang Islam.

KETIGA
  
Ia melibatkan kesalahan jenayah yang hari ini telah pun dibicarakan di Mahkamah Syariah menurut Enakmen Kesalahan Jenayah negeri masing-masing.

Kesalahan jenayah yang boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah tertakluk kepada kuasa yang ada pada Negeri-negeri dalam Persekutuan menurut Butiran 1 Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Butiran itu menyatakan bahawa antara bidang kuasa Negeri ialah "pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan".

Berdasarkan Butiran 1 ini, negeri-negeri telah memperkenalkan Enakmen Kesalahan Jenayah masing-masing yang menyenaraikan kesalahan-kesalahan jenayah yang boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Sebagai contoh, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 menyenaraikan kesalahan jenayah berikut:

pemujaan salah, mendakwa bukan orang Islam untuk mengelakkan tindakan, takfir, doktrin palsu, dakwaan palsu, mempersendakan, dll., ayat Al-Quran dan Hadith, menghina atau menyebabkan dipandang hina, dll., agama Islam, memusnahkan atau mencemarkan tempat beribadat, menghina pihak berkuasa agama, pendapat yang bertentangan dengan fatwa, mengajar tanpa tauliah, mengingkari perintah Mahkamah, penerbitan agama yang bertentangan dengan Hukum Syara', berjudi, Minuman Yang Memabukkan, tidak menghormati Ramadhan, tidak menunaikan sembahyang Jumaat, tidak membayar zakat atau fitrah,  perbuatan sumbang mahram, pelacuran, muncikari, Persetubuhan luar nikah, perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah, hubungan jenis antara orang yang sama jantina, persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii, khalwat, lelaki berlagak seperti perempuan, perbuatan tidak sopan di tempat awam, memujuk lari perempuan bersuami, menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri, menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan, menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam, Qazaf, Pungutan zakat atau fitrah tanpa diberikuasa dan penyalahgunaan tanda halal.

http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/State_Enact_Ori.nsf/100ae747c72508e748256faa00188094/bca11b8ae3c9251148257057000ca118?OpenDocument

Senarai kesalahan yang sama boleh dilihat dalam Enakmen Kesalahan Jenayah negeri-negeri lain.

KEEMPAT

Semua senarai kesalahan jenayah di atas disenaraikan dalam Islam sebagai jenayah Ta'zir yang diberikan hak kepada pemerintah untuk berijtihad menentukan hukuman yang boleh dijatuhkan kecuali tiga kesalahan iaitu minum minuman memabukkan, persetubuhan luar nikah dan Qazaf.

Ketiga-tiga kesalahan jenayah ini telah ditetapkan oleh Islam hukumannya ialah masing-masing 100 sebatan syarie bagi kesalahan persetubuhan luar nikah bagi yang belum berkahwin, 80 sebatan syarie bagi kesalahan Qazaf dan 40 sebatan syarie (hingga 80 sebatan menurut sebahagian mazhab) bagi kesalahan minum minuman memabukkan.

KELIMA

Akta 355 yang sedia ada sekarang menghadkan bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman bagi kesalahan-kesalahan di atas terhad kepada 3 tahun penjara atau lima ribu ringgit denda atau enam kali sebatan.

Ia merangkumi juga 3 kesalahan jenayah yang telah ditetapkan oleh Syarak kadar hukumannya iaitu minum minuman memabukkan, persetubuhan luar nikah dan Qazaf.

KEENAM

Cadangan pindaan Akta 355 yang dicadangkan menerusi RUU 355 akan membolehkan 3 kesalahan jenayah iaitu minum minuman memabukkan, persetubuhan luar nikah dan Qazaf dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Syariah menurut Syariat Islam iaitu:

A. 100 sebatan syarie bagi kesalahan persetubuhan luar nikah bagi yang belum berkahwin

B.     80 sebatan syarie bagi kesalahan Qazaf.

C.    40 sebatan syarie (hingga 80 sebatan menurut sebahagian mazhab) bagi kesalahan minum minuman memabukkan.

KETUJUH

Cadangan pindaan Akta 355 yang dicadangkan menerusi RUU 355 oleh YB Marang tidak melibatkan kesalahan jenayah mencuri dan merompak kerana kedua-duanya berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan menerusi Mahkamah Sivil.

KELAPAN

Setelah dibawa Usul RUU 355 ke Dewan Rakyat atas nama Usul Ahli Persendirian oleh YB Marang untuk Bacaan Pertama, menurut peraturan Dewan Rakyat pihak Kerajaan pula akan mengambil tanggungjawab membawa Usul tersebut sebagai Usul Kerajaan untuk proses seterusnya di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

PENUTUP

Saya menyeru seluruh umat Islam dan Ahli-Ahli Parlimen Islam dan bukan Islam bersama-sama menjayakan RUU 355 ini sebagai satu usaha memperkasakan  hukuman di Mahkamah Syariah yang menjadi hak rakyat muslim di negara ini.

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Rabu 23 November 2016; 8.30 pagi

0 ulasan:

Pimpinan

Sayap Parti

Kawasan