Pengikut

Nuffnang

Jumaat, 15 Januari 2016

PAS KAWASAN KUBANG PASU

sumber :-

PAS KAWASAN KUBANG PASU


Seru rakyat tunjuk sikap terhadap TPPA

Posted: 15 Jan 2016 09:25 PM PST

Oleh NUR HASMIRA MOHAMAD 

KUALA LUMPUR: Sasaran ribuan himpunan aman bantah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik
(TPPA) bertempat di Dataran Merdeka yang mana PAS bersama- sama Kongres Rakyat akan turun bersolidariti bagi menyatakan bantahan keras menolak pihak kerajaan menandatangani perjanjian tersebut.

Pengerusi Kongres Rakyat, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata jangkaan kehadiran di Dataran Merdeka nanti berdasarkan usaha PAS dan juga parti-parti pembangkang lain serta badan bukan kerajaan (NGO) yang melakukan penggembleng secara meluas kepada setiap ahli mereka.

Jelasnya kelainan himpunan pada kali ini adalah dilakukan sebelum berlakunya sidang Khas Dewan Parlimen TPPA yang akan diadakan pada 26 dan 27 Januari ini dan menjadi platfrom rakyat untuk menghantar mesej tegas untuk dihantar ke parlimen.

"Kita minta juga ahli-ahli parlimen semua hadir dan kita akan menyerahkan dekorasi bantahan rakyat itu kepada semuadan menggunakan hujah ini untuk dibawa ke parlimen nanti," katanya

Jelasnya, Dataran Merdeka menjadi pilihan utama berhimpun adalah kerana ia merupakan simbol kepada erti kemerdekaan yang mana TPPA ini juga merupakan sebahagian bentuk penjajahan baru Barat.

"Oleh kerana TPPA ini adalah suatu perjanjian yang akan memudaratkan kemerdekaan maka mesej kita juga pada hari itu dan kita akan buat satu simbol juga pertahankan kemerdekaan negara."

Selain itu, acara menandatangani bantahan itu juga akan diadakan yang mana setiap wakil NGO, NGI dan ahli parlimen akan menurunkan tandatangan di atas kain kanvas bagi menyatakan bantahan mereka.

"Kita mengambil kesempatan tersebut sebelum sidang parlimen khas ini berlangsung, maka himpunan ini diharapkan akan memberi kesan yang mendalam kepada perbahasan dan akhirnya parlimen boleh membuat keputusan menolak TPPA ini,"katanya.

Ujarnya, beliau tidak hairan sehingga kini rakyat masih lemah pengetahuan dan kesedaran mengenai implikasi TPPA ini apatah lagi ramai jemaah menteri dan ahli-ahli parlimen juga masih kurang pemahaman mengenai perjanjian terbabit.

Tambahnya, punca berlakunya kurang kesedaran ini adalah kerana kesilapan kerajaan sendiri yang melakukan rundingan tersebut secara tersembunyi sehinggakan ahli kabinet juga tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai setiap satu rundingan itu.

Rundingan yang diadakan tanpa dokumen yang dapat diteliti oleh ahli-ahli Kabinet dan rakyat tambahnya, adalah amat mustahil untuk rakyat memahami 6,000 lebih muka surat intipati perjanjian TPPA itu.

Beliau bagaimanapun mendakwa bahawa 'roadshow' menerangkan TPPA yang dibuat oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hanya menerangkan mengenai kebaikan yang diperoleh jika negara menandatangani perjanjian itu dan tidak menjawab persoalan berbangkit yang pernah diutarakan.

"Apakah Malaysia tidak akan terperangkap di dalam testimoni kuasa Amerika Syarikat dan juga kuasa lain kerana mereka nak mengimbangi kuasa China.

"Apakah itu tidak mahu didedahkan, dan sebab itulah rakyat nampaknya tidak dapat memahami hal ini kerana kerajaan tidak mahu mendedahkan mudarat daripada TPPA ini," katanya.

Harapan beliau adalah agar rakyat tidak khuatir untuk hadir kerana himpunan ini adalah himpunan aman malah isu yang dibawa turut melibatkan kemashlahatan bersama.

Justeru itu, semua pihak katanya wajar menunjukkan sikap mereka kepada kerajaan supaya tidak menandatangani perjanjian itu.

TPPA: MP BN jangan sokong membawa rebah

Posted: 15 Jan 2016 09:09 PM PST

Oleh Ustaz Idris Ahmad

Jika cukai barangan dan perkhidmatan (GST) hanya hisap poket rakyat, tetapi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan menjajah seluruh negara dan merosak sistem yang telah kita bina sejak daripada tahun 1957.

Jangan biarkan negara kita dijajah untuk kali kedua, malahan lebih teruk daripada penjajahan kali pertama.

Penjajahan dahulu mereka punggah hasil mahsul negara dibawa balik ke negara mereka, tetapi dengan TPPA, ia diikat dengan perundangan yang tidak mampu untuk bergerak kerana ia akan dibicara bukan di Malaysia.

Jika kena saman dan kalah, ia akan membawa negara menanggung berbilion ringgit. Selepas itu Malaysia dan rakyat akan menjadi abdi kepada negara luar.

Pengalaman kekalahan tuntutan Pulau Batu Putih dengan Singapura di Mahkamah Antarabangsa sudah menjadi petunjuk kemampuan Malaysia di arena antarabangsa.

Walaupun pemimpin BN mengatakan, mustahil 11 buah negara lain yang bersetuju dengan TPPA membiarkan negara mereka dijajah, oleh itu tidak perlu rakyat Malaysia takut dengan TPPA.

Pemimpin Malaysia jangan jadi Pak Pandir dan Mak Andeh, yang mengatakan anak orang juga mati bukan sahaja anak kita yang mati. Kenapa perlu kita ikut negara lain?

Malaysia sebuah negara yang unik dari segi penduduk yang majmuk, berbagai agama dan budaya, Raja Berpelembagaan, Islam sebagai agama persekutuan, hak istimewa orang-orang Melayu dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Malaysia ada kerajaan tempatan, ada senarai negeri dan ada senarai Persekutuan.

Saya menyeru supaya Ahli Parlimen (MP) BN akan menolak TPPA pada sidang khas 26 dan 27 Januari 2016.

Jangan ulangi kesilapan sewaktu menyokong GST, kemudian marah kenapa GST menyebabkan barang-barang menjadi mahal di dalam sidang parlimen selepas GST dilaksanakan.

TPPA akan membawa penderitaan sepanjang hayat. Tidak guna air mata berdarah. Mereka mesti menggunakan kebijaksanaan dan rasional untuk kedaulatan negara, bersatu untuk menolak TPPA.

Sudah banyak kesilapan kerajaan BN, jangan tambah lagi satu pengkhianatan kepada negara. Jangan sokong membawa rebah.

Penulis ialah Naib Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

TPPA dan impak ke atas gaji pekerja

Posted: 15 Jan 2016 09:05 PM PST

Oleh AZLAN AWANG

Dengan keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat dan gaji ibarat "kais pagi makan pagi", 95 peratus rakyat Malaysia buat masa sekarang ini lebih mementingkan isu di bawah:

Berapa banyak gaji mereka akan meningkat?
Berapa banyak pendapatan isi rumah akan meningkat?
Adakah mereka mampu untuk mengekalkan pekerjaan mereka pada tahun-tahun yang akan datang?
Adakah pekerjaan baru yang akan diwujudkan memberikan pendapatan yang lebih baik dan tinggi?
Adakah kos sara hidup secara relatif akan menjadi lebih rendah berbanding dengan pendapatan mereka?

Adalah sangat menyedihkan apabila jumlah KDNK (GDP) dan pelaburan sering diketengahkan tetapi bukanlah keuntungan bagi rakyat jelata – terutamanya isirumah dan pekerja.

Berdasarkan Analisis Kos Faedah yang dilakukan oleh PriceWaterhouseCoopers' mengenai gaji, kami dapati bahawa jika kerajaan menandatangani TPPA, kenaikan gaji bulanan melebihi garis dasar hanyalah RM25 pada tahun 2027. Terdapat juga pengurangan dalam pendapatan isi rumah secara purata sepanjang 2018-2027 sebanyak RM117.

Adalah sangat menghairankan bahawa satu perjanjian yang disebut sebagai "perjanjian abad ke-21 yang berkualiti tinggi, mempunyai standard emas (sebanyak 6,200 mukasurat secara keseluruhannya) – yang akan memberi impak kepada hampir semua dasar-dasar yang sedia ada dan akan menjejaskan kehidupan setiap rakyat dan generasi masa hadapan untuk 100 tahun yang akan datang, termasuk membelakangi RMK-11 – hanya akan menghasilkan kenaikan RM25 kepada gaji bulanan pekerja sebulan pada tahun 2027.

Apabila TPPA berkuat kuasa ia tidak akan membolehkan kita untuk meningkatkan gaji minima yang kini ditetapkan sebanyak RM1,000. Dasar gaji minima adalah penting untuk meningkatkan tahap umum gaji terutama di kalangan mereka yang berpendapatan lebih rendah. Peruntukan dalam bab pelaburan seperti klausa-klausa "fair and equitable treatment (FET)"atau "layanan yang adil dan saksama" serta "expropriation" atau "rampasan" bermakna Malaysia tidak boleh menukar mana-mana parameter ekonomi yang akan mengurangkan keuntungan semasa dan masa depan pelabur. Lihat sahaja kes Veolia vs Mesir di mana Mesir telah didakwa di atas hasrat kerajaannya untuk melaksanakan gaji minima walaupun polisi ini dianggap "non-discriminatory" atau "tanpa diskriminasi".

Sebenarnya, pada masa sekarang ini, gaji minima di Malaysia iaitu RM5 sejam adalah lebih rendah daripada Jakarta (RM5.40 sejam) dan Manila (RM5.52 sejam) yang melancarkan dasar gaji minima mereka awal tahun ini.

Larangan "keperluan prestasi" (performance requirement) dalam Bab Pelaburan juga akan menghalang Malaysia daripada membuat dasar-dasar yang tidak menggalakkan pelaburan bernilai rendah dan yang memerlukan industri tenaga kerja yang ramai serta bergaji rendah. Malah, MITI dengan megahnya membuat kenyataan bahawa TPPA akan menguntunkan dan menggalakkan perkembangan industri tekstil - yang pada dasarnya adalah bergaji rendah, bernilai rendah, berteknologi rendah dan sangat bergantung kepada pekerja asing. Kenyataan ini sebenarnya bercanggah dengan aspirasi awal ETP dan RMK-11 untuk mewujudkan lebih banyak sektor-sektor bernilai tinggi dan yang menjanjikan gaji yang tinggi. Jika kerajaan menandatangani TPPA, Malaysia sebenarnya bukan maju ke hadapan, tetapi mengambil langkah ke belakang.

Secara amnya, apabila terdapat pengurangan dari segi lebihan dagangan ataupun apabila kita mengalami defisit perdagangan (trade deficit), kita akan mengalami kehilangan pekerjaan. Analisis Kos Faedah PwC menyatakan bahawa akan ada pengurangan dari segi lebihan dagangan. Mengikut sejarah, kebanyakan negara yang menandatangani FTA atau perjanjian perdagangan bebas dengan Amerika Syarikat akan mengalami defisit perdagangan yang sangat ketara (Chile  USD-9.4bil 2008-2012, Peru USD-2.9bil 2003-2012, Singapore USD-10.3bil 2003 -2012, Argentina USD-21.7bil 2004-2012).

Apabila TPPA dilaksanakan, peluang bagi usahawan tempatan untuk mendapatkan kontrak kerajaan yang berskala besar akan berkurangan. Menurut kajian yang dijalankan oleh Bantah TPPA*, nilai Perolehan Kerajaan atau GP yang diberikan kepada syarikat asing dari tahun 2010 sehingga 2014 adalah 18.2%. Tetapi apabila TPPA dilaksanakan (entry into force atau EIF) pada tahun 2018, peratusan bagi industri pembinaan contohnya, akan meningkat ke 25% dan seterusnya ke 52% pada tahun 2038.

(* Government Procurement Chapter, State-Owned Investment Chapter and Bumiputera Affirmative Policy - by Bantah TPPA/lead researcher Azlan Awang)

Kami mengharapkan bahawa dengan liberalisasi serta aliran modal dan pelaburan yang tidak dikawal, akan terdapat aliran bebas pekerja. Tapi ini tidak akan berlaku. Sebaliknya, Malaysia diharuskan untuk juga membolehkan pelawat perniagaan (business visitors), pemasang (installer), pekerja servis, penerima pindahan antara korporat (intra corporate transferees) iaitu pengurusdan pakar-pakar, pekerja kontrak profesional dan pekerja lain untuk bekerja di Malaysia sehingga 10 tahun. Tanggungan (isteri-isteri dan anak-anak) juga akan dibenarkan untuk tinggal dan bekerja di Malaysia.

Amerika Syarikat tidak akan membenarkan ini berlaku di negara mereka. Dengan ini:

* Malaysia, buat masa sekarang, adalah lebih terbuka dari AS atau Kanada (UNCTAD)

* Malaysia memberikan perlindungan yang lebih bagus kepada pelabur dari AS ataupun Kanada (PWC CBA)

* Menurut USTR pula, langkah bukan tarif atau NTM (non tariff measures) kemungkinan besar akan didapati dari pensijilan halal, otomobil, polisi bumiputera dan perolehan kerajaan serta perolehan GLC.

Joseph Stiglitz (Nobel Price Laureate for Economics) berkata: Regardless of how fast GDP grows, an economic system that fails to deliver gains for most of its citizens, and in which a rising share of the population faces increasing insecurity, is, in a fundamental sense, a failed economic system.

"Tidak kira betapa pesatnya kenaikan GDP, sebuah sistem ekonomi yang gagal memberikan keuntungan kepada sebahagian besar rakyatnya, dan mengakibatkan semakin ramai penduduknya mengalami perasaan tidak selamat (insecurity), ialah pada asasnya, satu sistem yang gagal."

Kesimpulan

• TPPA tidak memberi faedah kepada rakyat biasa. Juga membuktikan bahawa "trickledown effect" yang diwar-warkan adalah sebuah mitos.
• Peningkatan kecil sebanyak RM25 gaji bulanan pekerja melebihi garis dasar pada tahun 2027 dan pengurangan pendapatan isi rumah – adalah tidak wajar dan akan meletakkan Malaysia di dalam bahaya, terutamanya dari segi:
- terhakisnya kedaulatan,
- kehilangan ruang polisi,
- ketidakupayaan untuk meneruskan pembangunan negara,
- kos tinggi yang berpanjangan bagi membeli ubat-ubatan,
- mengurangkan akses kepada maklumat dan pengetahuan,
- memberi akses yang tidak patut kepada pasaran perolehan kerajaan dan GLC dan banyak lagi.

Kemungkinan kehilangan pekerjaan yang meluas

Secara mudah, TPPA tidak akan memberi manfaat kepada rakyat biasa. Kos sara hidup akan terus meningkat manakala kenaikan gaji adalah terlalu kecil; tanpa syak lagi TPPA akan membebankan rakyat dan negara.

AZLAN AWANG
Timbalan Pengerusi Bantah TPPA

Lelaki tertua di dunia 131 tahun di Brazil

Posted: 15 Jan 2016 08:59 PM PST

BRASILIA  – Seorang kakitangan awam di Brazil, baru-baru ini mendakwa berjaya menemui
seorang warga emas berusia 131 tahun di bandar Acre yang layak digelar sebagai lelaki tertua di dunia.

Portal Mirror.co.uk melaporkan, kakitangan keselamatan sosial, Kennedy Afonso mengejutkan ramai pihak pada Isnin lalu apabila memuat naik gambar warga emas tersebut, Joao Coelho de Souza bersama sijil kelahirannya yang bertarikh 10 Mac 1884 di laman Facebooknya.

Dokumen itu menunjukkan de Souza dilahirkan di kota Meruoca di bandar Ceara, dan Afonso memberitahu bahawa rakan sekerjanya mengesahkan warga emas itu masih hidup dan kini tinggal bersama isterinya yang berusia 62 tahun serta cucu perempuannya.

Afonso turut menggesa kerajaan negeri mengesahkan penemuan itu dan mendaftarkan de Souza sebagai pemegang rekod terbaharu sebagai lelaki tertua di dunia dalam Guinness World Records.

"Saya bertanya kepada salah seorang anaknya jika ada sesiapa pernah menemuramah de Souza dan terkejut apabila mengetahui belum pernah ada sesiapa yang pernah berbuat demikian.

"Justeru saya merayu kepada kerajaan tempatan supaya datang bersama badan-badan berkaitan agar de Souza mendapat tempat dalam Guinness World Records sebagai manusia tertua di dunia yang masih hidup di Brazil," katanya.

Guinness World Records sebelum ini mengiktiraf Yasutaro Koide dari Jepun yang berusia 112 tahun sebagai manusia tertua, manakala wanita Perancis, Jeanne Calment yang meninggal dunia ketika berusia 122 pada 1997, memegang rekod manusia paling lama hidup di dunia.

Teknologi solar untuk perniagaan

Posted: 15 Jan 2016 08:55 PM PST

Pertanian masa kini bukan lagi seperti dahulu iaitu usahawan tani terpaksa bergelumang dengan lumpur, tanah dan sebagainya.

Penggunaan teknologi tinggi sangat membantu dalam mengembangkan produk pertanian kerana dapat mempertingkatkan hasil dan berskala komersial.

Hari ini, ramai dalam kalangan golongan muda yang semakin sedar akan potensi dalam bidang usahawan tani mampu menjana pendapatan lumayan.

Namun, tidak semua antara mereka berani terjun ke bidang tersebut atas faktor modal yang tinggi di samping kekurangan pengetahuan.

Atas faktor tersebut, pelbagai agensi kerajaan dan swasta mula mencari peluang menawarkan pelbagai kemudahan buat golongan tersebut.

Pertubuhan Peladang Kawasan Gombak dan Petaling (PPKGP) antaranya sedang berusaha bagi menarik minat golongan usahawan muda dengan memperkenalkan pelbagai kemudahan antaranya adalah karavan bersama kuasa solar NPV (nano photovoltaic) untuk memasarkan produk pertanian di seluruh negara.

Menurut Ketua Unit PPKGP, Fauzi Mohamed Noh, golongan muda masa kini lebih tertarik untuk menggunakan teknologi terkini termasuk dalam urusan perniagaan.

Jelasnya, perubahan dunia masa kini yang lebih cenderung ke arah penggunaan teknologi tinggi dalam apa jua kehidupan seharian mempengaruhi gaya hidup golongan itu.

Jelas Fauzi, penggunaan kenderaan seperti lori kecil, karavan atau trak yang dilengkapi bersama teknologi terkini dilihat lebih relevan dalam dunia perniagaan usahawan muda.

"Berbanding menjual produk pertanian dengan menyewa kedai, penggunaan karavan dapat mengatasi masalah mencari pelanggan kerana kenderaan tersebut boleh diatur gerak sepanjang masa.
"Daripada kita menunggu pelanggan datang kepada kita untuk membeli hasil pertanian contohnya, lebih baik kita sendiri pergi mencari mereka (pelanggan)," katanya ketika ditemui di Rawang, Selangor baru-baru ini.

Sama seperti usahawan tani yang berniaga di pasar tani mahu pun pasar malam, penggunaan karavan yang diperkenalkan oleh PPKGP memiliki kelebihan yang tersendiri.

"Jika usahawan tani biasa (karavan biasa), penggunaan tenaga elektrik dihasilkan oleh generator yang menggunakan minyak petrol.

"Di sini kami melakukan sedikit kelainan dengan menukarkan penggunaan generator kepada panel solar berkuasa tinggi," katanya.

Apa yang menarik ujarnya, penggunaan panel solar tersebut lebih mesra alam, kawasan berniaga tidak dicemari asap serta bunyi bising generator seperti di pasar malam.

"Lebih bersih malah menyakinkan pelanggan terutamanya jika usahawan tani menjual produk berasaskan makanan," katanya.

Bekerjasama dengan syarikat Mal Agro Sdn. Bhd., PPKGP mendapat khidmat nasihat daripada ketua pegawai syarikat tersebut, Mohd. Faudze Mohd. Hashim bagi mengembangkan teknologi tersebut kepada ahlinya.

Jelas Mohd. Faudze, buat ketika ini pihaknya akan memfokus untuk membantu PPKGP terlebih dahulu dalam membina dan membekalkan karavan tersebut.

"Kami percaya, menerusi penggunaan teknologi hijau yang mesra alam, bersih dan lebih menyakinkan pelanggan untuk membeli produk pertanian dapat menarik perhatian usahawan tani muda menyertai bidang tersebut," katanya.

Karavan yang dilengkapi bersama sistem solar NPV itu mampu membekalkan tenaga elektrik yang cukup untuk menghidupkan sebuah peti sejuk kecil, televisyen, mesin pengira elektronik serta penimbang elektronik serentak.
Hanya berbekalkan dua panel solar NPV bersaiz 1640 x 992 x 40 milimeter (mm), inovasi yang dihasilkan mampu menjana tenaga elektrik 250W untuk satu-satu sesi penggunaannya.
Jelas Mohd. Faudze, kadar pancaran cahaya matahari yang terik di negara ini menawarkan kelebihan kepada pengguna karavan tersebut.

"Idea penggunaan panel solar mungkin dilihat biasa, namun kelebihan sistem yang dihasilkan oleh pihak kami telah mengatasi masalah yang dihadapi oleh pengeluar panel solar sebelum ini," ujarnya.

Untuk menjadikan inovasi tersebut sebagai suatu kenyataan, Mal Agro Sdn. Bhd., bersama rakan kongsi mereka, Trucknet Group berjaya mengatasi masalah panel solar seperti halangan habuk, hari yang mendung dan biasan air hujan yang menyebabkan panel solar kurang menyerap tenaga daripada matahari.

Selain itu, inovasi panel solar baharu itu juga dapat bertahan biarpun ketika hari mendung di samping masalah biasan cahaya matahari akibat air hujan yang menimpa panel tersebut.

Keadaan tersebut berlaku kerana panel solar yang digunakan akan disalut bersama bahan khas yang dihasilkan menggunakan teknologi nano.

Jelas Pengarah Urusan Trucknet Group, Adren Chong, penggunaan panel solar dengan inovasi baharu dapat mengatasi masalah tersebut.

Lebih menarik, penggunaan panel solar untuk karavan itu tidak hanya tertumpu kepada cahaya matahari semata-mata malah turut memiliki alternatif lain bagi memastikan bateri yang menyimpan tenaga sentiasa penuh dan bersedia untuk digunakan.

"Antara alternatif yang kami sediakan menerusi sistem baharu ini adalah bateri turut boleh dicas menerusi enjin dan terus kepada sumber elektrik di rumah atau mana-mana sumber elektrik.

"Selain itu, penggunaan sistem inverter dan unit untuk menyebarkan tenaga elektrik daripada panel solar juga turut diperbaharui," katanya.

Tambah Adren, jika pemilik karavan terlebih menggunakan tenaga elektrik atau terdapat arus yang berlebihan, secara automatik litar akan terputus.

"Sistem ini untuk keselamatan pengguna dan barangan elektriknya," katanya.

Mengenai kos sistem baharu tersebut, Adren mengakui setiap pelanggan yang melihat teknologi tersebut pasti akan bertanyakannya.

Bagaimanapun, pihaknya mengeluarkan karavan bersama sistem panel solar NPV yang berharga diantara RM50,000 hingga RM100,000 sahaja.

"Kos untuk memasang sistem panel solar NPV itu sahaja hanya RM13,500 dan tidak melebihi RM30,000 bergantung kepada permintaan dan rekaan daripada pelanggan.

"Kami membina sistem mengikut kemampuan pelanggan. Jika mereka yang sedia mempunyai trak atau lori kecil, mereka juga boleh datang dan memasang sistem ini," katanya.

Secara kasar sememangnya dilihat penggunaan sistem baharu tersebut memerlukan kos yang tinggi namun pengguna hanya perlu mengeluarkan modal untuk sekali itu sahaja.

Panel solar yang dipasang mampu bertahan sehingga 10 tahun atau lebih dan tidak memerlukan penyelenggaraan khas.

Sistem tersebut juga selamat kerana jika berlaku kecurian, panel tersebut tidak dapat digunakan mahupun dijual kerana keseluruhan sistem tidak dapat digunakan menggunakan sistem panel solar biasa.

Teknologi tersebut telah dikongsi oleh sebuah syarikat kajian dan pengembangan (R&D) untuk produk teknologi nano iaitu Gainangel International Sdn. Bhd.

Malah, menurut Adren, pihaknya juga berbincang dengan pihak bank serta beberapa agensi kerajaan yang memberikan pinjaman kewangan untuk memberikan kadar bayaran balik yang lebih munasabah kepada usahawan yang berminat untuk mendapatkannya.

Kejayaan menghasilkan sistem panel solar NPV untuk kenderaan tersebut adalah pertama dihasilkan di rantau Asia.
Sehingga kini, sebanyak 14 unit karavan telah ditempah khas untuk ahli PPKGP.

Karavan tersebut bakal menemui orang ramai bermula awal tahun ini dan akan dilancarkan oleh Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia (LPP), Tan Sri Zainal Dahalan di Wisma Trucknet, Rawang, Selangor 6 Januari ini.

Untuk maklumat lanjut berkenaan karavan atau sistem solar NPV anda boleh menghubungi Mohd. Fuadze di talian 03-6092 2177, telefon bimbit 016-614 7460 atau emailkan sebarang pertanyaan di mal_agro@hotmail.com.

Penggunaan teknologi nano dalam kehidupan seharian bukan lagi ganjil pada hari ini, malah teknologi yang sama juga telah diaplikasi dalam penghasilan panel solar.
Terbaharu, sebuah syarikat yang dikenal sebagai Nanopack Invention Limited berjaya memperkenalkan teknologi tersebut di negara ini.

Menurut pengurus pembangunan perniagaan syarikat tersebut, KK Tang, teknologi nano yang lebih dikenali sebagai NPV (nano photovoltaic) tersebut merupakan panel solar biasa yang ditambahbaik bersama teknologi nano.

Jelasnya, teknologi tersebut dibangunkan khas untuk industri panel solar dengan memberikan kelebihan kalis air (hidrofobik), kalis habuk (oleofobik) dan pembersihan sendiri kepada panel tersebut.

"Hidrofobik bermaksud panel solar yang disaluti nanoteknologi akan lebih licin dan tidak terlalu memegang kandungan air.

"Air hujan yang menimpa panel solar boleh merendahkan kadar penyerapan cahaya matahari sekali gus menyebabkan penghasilkan tenaga elektrik juga berkurangan," katanya.

Keadaan tersebut adalah akibat pantulan cahaya matahari daripada air hujan yang melekat pada permukaan panel solar.

Berbeza dengan panel solar yang disaluti bahan khas daripada teknologi nano, air hujan akan mengalir lebih laju dan tidak melekat pada panel tersebut.

Salutan yang dihasilkan juga dapat mengurangkan kadar palitan habuk, pencemaran udara serta najis burung daripada terus melekat kepada panel solar.

Panel solar tersebut juga mampu bersih dengan sendiri kerana permukaan yang lebih licin dan kalis air.
Atas faktor itu juga, kos penyelenggaraan panel solar juga dapat dikurangkan kerana pengguna tidak lagi perlu kerap melakukannya.

Ditambah dengan curahan hujan, air yang terkondensasi akan meninggalkan sisa kotoran menyebabkan prestasi panel solar akan berkurangan.

Kotoran yang melekat didapati dapat mengurangkan tenaga elektrik sekitar 25 hingga 30 peratus.
Menerusi NPV, kenaikan sekitar 10 peratus tenaga yang dihasilkan iaitu sehingga 300kilowatt (kW) membolehkan sekitar 40,000 kW dijana setiap tahun.

Keadaan tersebut membolehkan penjimatan dan pulangan modal sepantas tiga hingga lima tahun lebih awal daripada penggunaan panel solar konvensional.

Terbaharu, syarikat itu juga bakal memperkenalkan cermin kuasa yang dikenali sebagai NanoPac Nano Light Energy Panel Technology (NLEP) yang merupakan lapisan nipis yang bleh dilekatkan pada permukaan kaca telus cahaya.

Berbeza dengan panel solar biasa yang menggunakan lapisan filem plastik, NLEP lebih menggunakan teknologi hijau.

Bagi mereka yang menggunakan Sistem Fotovoltaik Bersedpadu Bangunan (BIPS), teknologi NLEP merupakan pilihan terbaik kerana produk tersebut boleh menggantikan cermin tingkap, pintu mahupun mana-mana strukur berkaca untuk menghasilkan tenaga elektrik.

Hapuskan aedes habis-habisan

Posted: 15 Jan 2016 08:50 PM PST

KES wabak denggi di negara ini nampaknya masih berlarutan dan tiada tanda-tanda yang jumlahnya
akan menurun dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Apatah lagi dengan berlakunya fenomena El-Nino yang boleh menyebabkan cuaca menjadi panas dan kering sekali gus memendekkan kitaran hidup nyamuk aedes daripada peringkat telur ke dewasa kepada kurang dari tujuh hari.

Paling membimbangkan keadaan itu boleh membuatkan populasi nyamuk berkenaan meningkat dalam tempoh tersebut.

Perkara itu diberitahu sendiri oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan yang siarkan oleh akhbar ini tiga hari lalu.

Membaca kenyataannya itu Dr. Noor Hisham turut memaklumkan suhu panas akan menyebabkan nyamuk lebih aktif dan frekuensi menggigit mangsa adalah tinggi serta penyebaran virus denggi akan lebih meluas.

Yang pasti, El-Nino boleh menyebabkan hujan semakin kurang dan apabila hujan semakin kurang sudah tentu bekalan air kepada pengguna akan terjejas.

Pada kebiasaannya jika berlaku kekurangan bekalan atau bekalan terputus, pengguna akan mengambil air yang dihantar oleh syarikat bekalan air kemudian menakungnya untuk menampung keperluan seharian mereka.

Isunya sekarang, takungan air tersebut sekiranya dibiarkan begitu sahaja atau tidak diperiksa setiap hari boleh menjadi pusat pembiakan nyamuk aedes.

Mungkin ramai masyarakat yang tidak sedar tentang perkara itu hingga menyebabkan kes denggi meningkat dari semasa ke semasa.

Oleh itu, setiap pemilik rumah di negara ini perlu lebih bertanggungjawab dengan melakukan pemeriksaan berkala terhadap semua takungan air di sekeliling kawasan rumah terutama pasu-pasu bunga atau kolah supaya mereka menghapuskan segera jentik-jentik aedes sekiranya ada.

Setiap ahli masyarakat perlu lebih berperanan dan tidak hanya meletakkan tanggungjawab menghapuskan nyamuk aedes di atas bahu kerajaan semata-mata.

Sekurang-kurangnya mereka menyembur rumah masing-masing dengan penyembur nyamuk pada setiap waktu pagi dan senja kerana pada kedua-dua waktu itu nyamuk aedes aktif.
Begitu juga dengan peranan jawatankuasa penduduk atau komuniti dalam satu-satu penempatan.
Mereka seharusnya menggerakkan usaha itu secara lebih bersepadu dalam bentuk gotong-royong dengan turut melibatkan kerjasama semua pihak supaya tempat pembiakan nyamuk aedes dapat dimusnahkan dengan lebih berkesan.

Jawatankuasa penduduk atau komuniti yang saya maksudkan bukan hanya membabitkan taman-taman perumahan sahaja malah perlu melibatkan kumpulan komuniti di kampung hinggalah kawasan setinggan.

Mereka perlu bergabung tenaga mencari tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes antaranya pusat pembuangan sampah dan kemudian memusnahkannya dengan segera.

Tin-tin kosong, pasu-pasu bunga, tayar dan tong-tong kosong adalah contoh tempat yang sering dijadikan sasaran oleh nyamuk aedes untuk membiak.

Kekerapan mengadakan gotong-royong perlu dipertingkatkan agar risiko berlakunya demam denggi dapat dikurangkan dari semasa ke semasa.

Di peringkat kerajaan pula sudah pasti Kementerian Kesihatan perlu terus membuat semburan fogging di kawasan berlakunya kes denggi selain meningkatkan pemeriksaan khususnya di tapak-tapak pembinaan.

Berdasarkan angka terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, sebanyak 3,337 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara berbanding 2,511 kes pada minggu sebelumnya (minggu akhir tahun 2015) iaitu peningkatan sebanyak 33 peratus.

Peningkatan kes tersebut melibatkan 13 negeri iaitu Selangor, Johor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Terengganu, Pahang, Melaka, Sarawak, Pulau Pinang, Kelantan, Perlis, Sabah serta Perak.

Pernah disiarkan pada Jun tahun lalu, berita tentang jumlah kematian akibat denggi yang meningkat 100 peratus pada bulan berkenaan berbanding tempoh sama tahun 2014.

Meskipun berita itu telah disiarkan lebih tujuh bulan lalu namun semua pihak perlu mengambilnya sebagai peringatan memandangkan implikasi denggi amatlah besar iaitu sehingga boleh membawa kematian.

Oleh itu marilah kita bersama-sama berpadu tenaga menghapuskan aedes.

Fahami konsep nasihat

Posted: 15 Jan 2016 08:45 PM PST

APABILA saya menegaskan bahawa PAS mengambil pendekatan menjadi pembangkang yang
menasihati kerajaan, ramai kalangan yang terlalu bersemangat, sehingga mahu menjadi pembangkang semata-mata, atau terpengaruh dengan  musuh Islam yang mencipta provokasi. Maka, yang lemah imannya menjadi tidak Istiqamah. Di sini saya kemukakan huraian Al-Quran dan Sunnah yang menjadi perkara dasar yang tertinggi dalam Undang-Undang Tubuh PAS.

PAS menetapkan supaya setiap majlisnya, usrah, perjumpaan besar dan kecil  ditutup dengan bacaan Surah Al-Asr, di dalamnya ayat yang menegaskan betapa konsep nasihat sangat penting kepada Jamaah Islam dan ummatnya dengan makna yang luas bagi diri dan terhadap semua pihak temasuk musuh yang paling zalim. Ini kerana mesejnya kepada seluruh manusia, firman Allah:

وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

"Dan berpesan-pesan (Nasihat menasihati) dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran." [Surah Al-Asr: ayat 03]

Ayat ini menegaskan gabungan konsep nasihat dan sifat sabar.

Hadis Rasulullah SAW pula menegaskan:

الدِّينُ النَّصِيحةُ  قلنا : لِمَنْ ؟ قَالَ : لِلهِ وَلِرَسُولِهِ وَلأئِمَّةِ المُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ

"Agama itu nasihat.
Kami (Para sahabat) bertanya: Untuk siapa?
Sabdanya: Kepunyaan Allah, Rasulnya, para pemimpin kaum muslimin dan seluruh mereka." [Riwayat Muslim]

Hadis ini menegaskan nasihat dengan rukun Iman yang asasi dan hubungannya secara bermasyarakat madani yang menjadikan manusia bersaudara. Perkataan nasihat adalah salah satu daripada perkataan bahasa Al-Quran (mukjizat ilmu) yang sangat luas makna dan mafhumnya, sehingga merangkumi segala kata dan pendekatan untuk mengajak kepada kebaikan dan kebajikan, termasuk meninggalkan segala kemungkaran atau kejahatan dalam segala aspek. Jangan peduli kepada yang buta Al-Quran.

Allah juga mengesah dan menafsirkan dalam Al-Quran bahawa konsep nasihat dilakukan oleh semua Para Rasul AS terhadap manusia di zamannya, termasuk terhadap penentangnya yang paling zalim. Nabi Nuh AS menegaskan kepada kaumnya:

وَأنْصَحُ لَكُمْ

"Dan aku memberi nasihat kepada kamu." [Surah Al-A'raf : ayat 62]

Nabi Hud AS menegaskan kepada Kaum Aad:

وَأنَا لَكُمْ نَاصِحٌ أمِينٌ
 
"Dan aku juga adalah penasihat yang amanah kepada kamu." [Surah Al-A'raf: ayat 68]

Apabila seorang hamba Allah datang menasihati Khalifah Abbasiyyah Al-Makmun kerana ketelanjurannya, tiba-tiba menggunakan kata-kata yang kesat, kasar dan keras. Maka Al-Makmun menjawab ; "Sesungguhnya orang yang lebih baik daripadamu, diperintah Allah supaya menasihati orang yang lebih jahat daripadaku, dengan bahasa yang baik". Allah menegaskan kepada Nabi Musa AS dan Harun AS yang lebih baik daripadamu, ditugaskan menghadapi Fir'aun  yang lebih zalim daripadaku supaya mengunakan bahasa yang lebih baik. Allah berfirman:

اذْهَبَا إِلَى فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَى * فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى *

"Wahai Musa dan Harun !, pergilah kamu berdua kepada Fir'aun. Sesungguhnya Dia toghut (terlalu melampau). Katakanlah kepadanya dengan ucapan yang lembut, mudah-mudahan dia menerima pengajaran atau merasa takut (kepada Allah)." [Surah Toha: ayat 43-44]

Hikmatnya ialah kerana Islam adalah rahmat Allah yang menyelamatkan manusia dengan memberi petunjuk ke jalan yang benar, adil dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Mesej para Rasul AS yang membawa Islam adalah  menyelamatkan manusia bukannya menghalau atau mencari musuh seramai-ramainya. Allah menegaskan kepada Rasulullah SAW supaya menjadi contoh kepada umatnya sehingga hari kiamat:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ * وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ * وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ * وَإِمَّا يَنْزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ *

"Siapakah yang lebih baik ucapannya daripada orang yang berdakwah kepada petunjuk Allah (Islam) serta dia mengerjakan amal soleh dan menegaskan ; Bahawa  saya termasuk dikalangan orang-orang  Islam. Tidak sama kebaikan dibandingkan dengan kejahatan. Maka balaskan yang terbaik terhadap orang yang berlaku jahat terhadapmu. Maka tiba-tiba  orang yang bermusuh antaramu dan dia bertukar menjadi  teman yang saling mengasihi. Dan tidaklah dapat menerimanya melainkan oleh orang-orang yang sabar dan tidaklah boleh menerimanya malainkan oleh orang-orang yang berhak mendapat ganjaran yang besar (daripada Allah). Dan apabila syaitan cuba memesongkan kamu dengan sesuatu caranya, maka mintalah perlindungan Allah. Sesungguhnya Dialah Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat." [Surah Fussilat: ayat 33-36]

Apabila Rasulullah SAW menyerahkan bendera perang Khaibar kepada menantunya Ali bin Abi Talib, yang terlalu tinggi semangatnya untuk memerangi kaum Yahudi pengkhianat perjanjian, ditegaskan dengan sabdanya:

انفذ على رسلك حتى تنزل بساحتهم، ثم ادعهم إلى الإسلام، وأخبرهم بما يجب عليهم من حق الله تعالى فيه، فوالله لأن يهدي الله بك رجلاً واحداً خيرٌ لك من حمر النعم

"Laksanakan tugas sehingga apabila kamu tiba dilapangan mereka, kemudian  ajak mereka kepada Islam dan beritahu kepada mereka apa-apa yang wajib keatas mereka terhadap Allah. Maka Demi Allah! Kejayaanmu menjadikan seseorang mendapat petunjuk Allah lebih baik daripada kenderaan yang paling mahal harganya." [Muttafaqun Alaih]

Apabila berjaya membebaskan Mekah daripada jahiliyah maka jumlah yang dimaaf berlipat kali ganda daripada yang dihukum. Kita jangan berlagak lebih kuat Islam dan taqwa sehingga merasa lebih daripada Rasulullah SAW.

PAS memilih pendekatan semokrasi barat kerana perubahannya daripada demokrasi purba kepada demokrasi moden hasil kajian para orentalis mereka daripada penulisan para ulama Islam. Ini menunjukkan pengaruh Islam memilih pendekatan damai (muwajahah silmiyyah) dalam perubahan politik barat, dan Islam lebih berhak daripada mereka.

Maka ahli politik PAS yang menjadi pembangkang wajib mengambil contoh daripada Al-Quran dan Sunnah, bukannya  pembangkang daripada England, Amerika Syarikat, Amerika Latin, Taiwan, Korea, Jepun dan sebagainya.

Mesej kita  bukan merampas kuasa semata-mata kerana singgahsana, kerusi dan pangkatnya, tetapi menjadi penyelamat. Permulaannya menasihati pihak yang berkuasa supaya meninggalkan kemungkaran kepada yang baik, atau akhirnya kalau mereka tidak berubah caranya mengambil alih kuasa  menjadi penyelamat tanpa dendam kesumat.
Nasihat juga kena pada tempat dan keadaan. Allah juga berfirman:

وَلا تُجَادِلُوا أَهْلَ الْكِتَابِ إِلا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِلا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ

"Dan jangan kamu berdebat dengan ahli kitab malainkan dengan cara yang terbaik, malainkan terhadap orang-orang zalim di kalangan mereka." [Surah Al-Ankabut: ayat 46]

Walaupun terhadap yang zalim sabda Rasulullah SAW:

انصر أخاك ظالما أو مظلوما

"Tolonglah saudaramu yang  zalim dan  dizalimi."

قالوا يا رسول الله هذا ننصره مظلوما فكيف ننصره ظالما ؟

"Mereka bertanya: Wahai Rasulullah! yang ini kami menolongnya kerana dizalimi, maka bagaimana pula menolong orang yang zalim."

Sabdanya:

تأخذ فوق يديه

"Kamu pegang tangannya (mencegahnya daripada berlaku zalim)."

Kita berdepan penganut Islam yang tenggelam dalam pengaruh penjajahan pemikiran, namun dalam hati mereka masih wujud kemanisan Iman dan kalangan bukan Islam pula  sudah berilmu dan mencari kebenaran.

Rasulullah SAW mengajar kebijaksanaannya bukan marah dan semangat tanpa kawalan yang istiqamah mengikut pasang dan surut. Sabda Rasulullah SAW lagi:

ليس الشديد بالصرعة، إنما الشديد الذي يملك نفسه عند الغضب

"Bukanlah orang yang gagah perkasa itu dengan bertindak keras melulu. Sesungguhnya orang yang sebenarnya gagah perkasa itu ialah yang dapat mengawal diri  ketika marah." [Muttafaqun Alaih]

Di atas konsep ini, Rasulullah  SAW berhijrah setelah diwujudkan masyarakat Madinah yang menerima Islam dengan bai'ah ikatan perjuangan yang tidak ditukar dengan isteri, kawan, harta, pangkat serta menggabungkan  Tahaluf (Persefahaman kerjasama dalam perkara yag baik), Ta'awun dan lain-lain, bersama kalangan bukan Islam yang berdamai  tetapi menerima kedaulatan Islam.

Di atas konsep ini juga apabila Raja Masqat dan Oman, Raja Habasyah dan Bahrain yang menerima Islam dikekalkan memimpin kerajaan masing-masing, tanpa dirampas kuasa dan takhta mereka.

Di atas prinsip dan konsep Islam yang teguh juga para generasi awal bersedia menghadapi kuasa besar dunia Parsi, Rom dan lain-lain yang paling keras mengikut keadaan, tanpa menyerah kalah sehingga mati atau menang. Akhirnya kuasa paling besar, paling zalim dan keras jatuh dan tumbang. Berkonsepkan meruntuh jahiliyah dan menegakkan Islam, bukannya menggantikan jahiliyah dengan jahiliyah.

Maka perjuangan Islam tidak boleh dilaksanakan oleh mereka yang keras semata-mata dan selama-lamanya. Perjuangan Islam juga tidak layak dilaksanakan oleh kalangan yang malu meyebut Islamnya, lebih-lebih  lagi yang pengecut menyebut Islamnya. Perjuangan Islam juga tidak layak kepada mereka yang menyerah kalah menghadapi kekerasan, atau menentang kekerasan dengan kekerasan tanpa sempadan, atau terpukau dengan habuan jawatan dan harta sebelum menang dan selepas kemenangan, atau bermimpi dengan seronok  bersama kabinet bayangan.

Dalilnya apabila Rasulullah SAW tegas menolak semua tawaran, kemudahan dan kesenangan takhta, harta dan wanita yang menggadaikan prinsip. Konsep asas dan matlamat perjuangan Islam yang tidak disembunyikan, walaupun terpaksa menghadapi cabaran yang datang daripada segenap penjuru dan terpaksa  mengharungi perjalanan yang jauh tanpa dilihat penghujungnya dengan mata kasar.

Rasulullah SAW tidak berbaiah dengan para pemimpin Bani Amir yang meminta jawatan sebelum menang. Hanya berbaiah dengan kalangan Ansar yang beriman dan budiman bersama perjuangan dengan ikhlas meletakkan wawasan Akhirat. Namun melihat dengan cahaya iman kepada kebenaran daripada Allah dan janji Allah di dunia yang dekat dan akhirat yang belum dilihat. Menempah pahala menyelamatkan manusia seramai-ramainya. Bukannya merosak dan membunuh seramai ramainya.

Allah SWT mengingatkan akan kita semua dengan Firman-Nya di dalam Al-Quran:

فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ * وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ

"Beristiqamah sebagaimana engkau diperintah (Wahai Muhammad SAW) bersama sesiapa yang bertaubat bersamamu, dan kamu  jangan melampau, sesungguhnya Allah Maha Melihat apa-apa yang kamu amalkan. Dan jangan cenderung kepada orang-orang yang zalim nanti kamu disambar api neraka, dan tiada wali (yang wajib diberi kesetiaan) bagi kamu selain Allah, nanti kamu tidak diberi pertolongan." [Surah Hud: ayat 113]

Dan Firman Allah kepada Rasul-Nya yang menjadi ikutan kita:

خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ * وَإِمَّا يَنزغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نزغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

"Ambillah sikap bermaafan dan suruh kepada yang baik. Jangan peduli terhadap orang-orang yang jahil. Jika kamu dirasuk syaitan oleh apa-apa cara rasakannya, mintalah perlindungan Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." [Surah Al-A'raf: ayat 199-200]

Sebenarnya kini, kita tenggelam dengan bencana zaman orang-orang jahil menulis dan bercakap tanpa ilmu di bawah langit tanpa sempadan. Perjuangan kita bukan akal tanpa sempadan dan hidayah, kita mengikut sempadan Allah menghadapi peganut Islam yang paling baik, sederhana dan menzalimi diri sendiri, menghadapi golongan munafik, kafir yang berdamai dan bermusuh, namun semuanya adalah hamba Allah dan ummat Dakwah Muhammad SAW.

"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Adakah Menteri Besar Kedah Tidak Perlu Ikut Peraturan ?

Posted: 15 Jan 2016 08:41 PM PST

Oleh MOHD NASIR MUSTAFA

1. Kenyataan yang dibuat oleh Datuk Bandar Alor Setar Dato' Mat Noh Ahmad bahawa projek pembangunan pesisir pantai di Kuala Kedah adalah tidak mengikut peraturan kerana pemaju tidak pernah memohon "kebenaran merancang" dari Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) adalah mengejutkan; setelah projek menambak laut dibuat sewenang-wenangnya oleh pemaju.

2. Saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Datuk Bandar di atas tindakan tegas beliau mengarah dihentikan projek yang telah dimulakan itu, sehingga pihak pemaju mematuhi semua peraturan yang ditetapkan.

3. Rupanya projek yang dianggap misteri oleh penduduk sekitar itu adalah sebuah projek haram (tanpa kebenaran pihak berwajib) yang telah meresahkan banyak pihak, khususnya penduduk Kampung Tepi Laut. Projek itu juga telah membawa mala petaka kepada ramai pesawah yang tidak dapat mengusahakan 35 hektar tanah sawah apabila saliran MADA terganggu oleh projek tersebut.
Para petani terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM300 ribu untuk musim ini.

4. Apa yang lebih mengejutkan, projek mega tersebut adalah usahasama antara pemaju swasta dengan Permodalan Kedah Berhad (PKB) yang merupakan anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBK). Sebagai Menteri Besar yang juga selaku Pengerusi PMBK, mustahil Dato' Seri Mukhriz Mahathir tidak tahu menahu mengenainya.

Bahkan terdapat desas desus bahawa projek dimulakan dengan tergesa-gesa untuk membolehkan Menteri Besar merasmikan pecah tanah yang telah dijadualkan pada awal Disember 2015, dan kemudiannya diubah ke penghujung Januari 2016. Jika ada dalam pengetahuan Dato' Seri Mukhriz, mengapa beliau membiarkan sahaja projek dilaksanakan dengan tidak mengikut peraturan?

Tidakkah ini adalah cerminan kepada kepimpinan sebuah kerajaan yang tidak bertanggungjawab?

5. Saya mendesak Kerajaan Negeri supaya membayar pampasan mengikut jumlah kerugian yang ditanggung oleh para petani kerana sikap tidak bertanggungjawab merekalah yang menjadi punca terhadap masalah yang dihadapi oleh para petani terbabit.

6. Selaku wakil rakyat, saya juga mendesak pampasan terhadap petani diberi dengan segera kerana sepatutnya sekarang adalah tempoh mereka menuai hasil padi. Begitu juga pampasan hendaklah dikaji untuk diberi kepada penduduk yang mengalami kesusahan atau kerugian akibat projek yang telah dimulakan itu.

7. Jika perhatian sewajarnya tidak diberikan terhadap mangsa projek mega tersebut, saya serta penduduk terbabit tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis, SPRM serta lain-lain tindakan mengikut saluran undang-undang terhadap pihak berkenaan kerana telah memulakan projek tanpa mengikut peraturan sehingga menganiayai penduduk.

MOHD NASIR MUSTAFA
ADUN Kubang Rotan.

0 ulasan:

Pimpinan

Sayap Parti

Kawasan