Pengikut

Nuffnang

Rabu, 8 Julai 2015

PAS KAWASAN KUBANG PASU

sumber :-

PAS KAWASAN KUBANG PASU


Pemimpin PAS saran media tidak pecah belah pimpinan parti

Posted: 08 Jul 2015 01:27 AM PDT

OLEH YASMIN RAMLAN

Naib Presiden PAS Idris Ahmad  menyarankan media tidak memecahbelahkan pimpinan PAS dengan mengapi-apikan sesama mereka, apatah lagi pada bulan Ramadan yang mulia ini.

Idris berkata demikian kepada The Malaysian Insider ketika diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din di akhbar Utusan yang dilihat seperti mempertahankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dilanda skandal terkini susulan pendedahan Wall Street Jounal (WSJ).

"Pergi tanya dia (Haron) betul atau tidak betul. The Malaysian Insider kalau nak mencanangkan kepimpinan tidak baik pada bulan puasa ini, tak elok," katanya.


Ahli Parlimen Bukit Gantang itu juga mencadangkan Najib menyaman WSJ sekiranya terdapat maklumat yang tidak benar berhubung laporan tersebut.

"Laporan WSJ kalau ada apa-apa perkara yang tidak betul, pihak Najib perlu saman kerana itu satu tuduhan besar pada dia," katanya.

PAS hari ini dilihat mempertahankan Najib daripada pendedahan WSJ mengenai aliran wang berbilion ringgit ke dalam akaun peribadi beliau.

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia memetik Haron yang menyifatkan dakwaan WSJ itu tidak logik dan menggesa siasatan dilakukan terlebih dulu.

Katanya, jika seseorang individu hendak mengambil dana awam untuk tujuan tertentu, dia akan menggunakan akaun sulit dan bukannya menerusi akaun peribadi.

"Oleh itu, saya merasakan laporan itu mesti disiasat kebenarannya sama ada benar atau tidak.

"Jika sebelum ini banyak laporan dikaitkan dengan perdana menteri dan syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB), tetapi setelah dijelaskan satu persatu, banyak berita didapati tidak benar," katanya dipetik akhbar itu, hari ini.

Idris berkata, artikel terbabit dianggap tuduhan berat kerana boleh menjejaskan ekonomi negara menerusi kehilangan kepercayaan dalam kalangan pelabur

Tuduhan WSJ: PM perlu kemuka respons konkrit

Posted: 08 Jul 2015 01:24 AM PDT

Dakwaan The Wall Street Journal (WSJ) berkenaan wujudnya aliran wang sebanyak hampir US$700 juta (RM2.67 bilion) melalui agensi kerajaan, bank dan syarikat yang ada kaitan dengan 1MDB ke akaun peribadi YAB Perdana Menteri adalah suatu yang serius kerana bakal memberikan implikasi yang besar terhadap persekitaran ekonomi negara dan kestabilan politik.

Terbaru dan lebih menggemparkan, lewat petang tadi WSJ sekali lagi membuat pembongkaran dengan mendedahkan sembilan dokumen yang memperincikan bagaimana RM2.67 bilion itu boleh berada di dalam akaun DS Najib Razak seperti yang didakwa portal itu pada 2 Julai lalu. (Rujuk : http://graphics.wsj.com/documents/doc-cloud-embedder/?sidebar=1#2158723-1mdb-documents)
Tuduhan ini mestilah dileraikan segera dengan sebuah penyiasatan yang adil dan telus serta menyeluruh.

Jika disabitkan benar dakwaan itu, maka tindakan undang-undang dan hukuman mesti dikenakan kepada semua yang terlibat dalam skandal yang telah mencemarkan dan memalukan negara di peringkat antarabangsa. Jika tidak benar, tindakan tegas mesti diambil terhadap pelapor tuduhan palsu kerana ia menimbulkan kekalutan dan ketidaktentuan kepada politik dan ekonomi negara.
Dakwaan ini jika benar akan menyebabkan persekitaran ekonomi dan pasaran kewangan negara kita bertambah lebih teruk.

Nilai Ringgit kini sudah pun berada berada pada paras RM3.809 berbanding US$1 akibat terkesan dengan krisis ekonomi Greek yang sangat meruncing dan ekonomi China yang sedang melemah serta diburukkan lagi dengan ketidaktentuan politik tempatan dan masalah hutang 1MDB serta hasil minyak yang lebih rendah. Ringgit kini merupakan matawang paling rendah nilainya di Asia.

Sentimen yang wujud kesan daripada isu ini juga akan menarik keluar pelabur-pelabur dari Malaysia sekaligus menjejaskan pelbagai sektor dalam negara. Pendedahan akaun peribadi seumpama ini juga bakal merosakkan kepercayaan rakyat dan dunia serta menjejaskan sistem perbankan negara.
Oleh itu, Dewan Ulmaka PAS Pusat (DUPP) mendesak YAB Perdana Menteri supaya segera tampil mengemukakan respon yang konkrit terhadap tuduhan yang telah dibuat ke atas beliau.

DUPP juga mengingatkan jawatankuasa khas yang telah ditubuhkan untuk menyiasat perkara ini yang terdiri daripada Peguam Negara, Gabenor Bank Negara, Ketua Polis Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM supaya berlaku amanah dalam menguruskan kes ini kerana ia melibatkan hak rakyat dan harta negara.

DUPP menyokong desakan pelbagai pihak supaya isu ini dibawa ke parlimen dan Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat tuduhan ini. Sekurang-kurangnya ia melegakan sebahagian kerisauan dan keraguan rakyat terhadap kredibiliti beliau sebagai Perdana Menteri. Tindakan ini penting bagi menjamin keharmonian rakyat dan kestabilan politik dalam negara dapat terus dipertahankan.

DUPP mengarahkan semua DUP Negeri-negeri (DUPN) dan Urusan Ulamak Kawasan-kawasan (UUK) agar mengadakan program munajat dan solat hajat untuk bermohon semoga Allah melindungi negara kita daripada musibah pemimpin yang tidak amanah.

DUPN dan UUK juga diminta untuk mengadakan siri-siri program penerangan secara berterusan berkenaan isu-isu semasa dan penyelesaian Islam terhadap pelbagai masalah yang melanda umat manusia hari ini.

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ketua Penerangan DUPP yang juga Ahli Parlimen Kula Nerus
Tarikh: 8 Julai 2015 / 21 Ramadan 1436H

Puasa bekalan buat Duat

Posted: 08 Jul 2015 01:22 AM PDT

Oleh Ustaz Idris Ahmad 

ALLAH SWT mewajibkan orang beriman berpuasa pada tahun kedua hijrah. Ertinya perintah puasa setelah Nabi s.a.w. dibangkit menjadi Rasul selama 15 tahun. Menunjukkan Islam mewajibkan sesuatu perkara setelah mereka benar-benar beriman, maka baru diperintahkan untuk melakukan ibadah puasa supaya masyarakat yang baru menerima Islam tidak terkejut.

Allah memerintahkan wajib berpuasa kepada orang beriman.

Menunjukkan bahawa puasa tidak akan diterima oleh orang yang tidak beriman kepada Allah SWT. Mereka yang tidak beriman tidak sanggup menahan makan dan minum sepanjang mereka berpuasa.
Mereka anggap amalan yang membinasakan tubuh badan dan tidak mempunyai nilai tambah kepada keuntungan duniawi. Tetapi ia berbeza dengan pandangan orang beriman, mereka menerima dengan penuh kegembiraan seperti pengantin hendak bertemu kekasihnya di malam pertama. Kerana mereka mengetahui bahawa Ramadan bulan yang mempunyai seribu kelebihan yang Allah SWT tidak beri kepada bulan yang lain.

Oleh itu perkara Iman adalah perkara yang tidak boleh diukur dengan mata benda tetapi mesti dengan nor keimanan kepada Allah SWT. Orang kafir Musyrikin ketika baginda membawa Islam kepada mereka, ditolak dengan mentah-mentah.

Pada mereka seruan baginda tidak masuk akal. Bagaimana mereka hendak menyembah Allah SWT yang tidak nampak dan berobjek? Tetapi baginda meneruskan juga berdakwah dengan seruan Tauhid tanpa mengira menolak atau tidak. Walaupun sukar itulah perjuangan yang dilalui oleh baginda dan para Rasul yang terdahulu.

Akhirnya agama Islam telah sampai seluruh dunia hasil kesabaran dan ketabahan mereka di dalam berdakwah. Begitulah juga kita, sebagai duat Ilallah perlu yakin dengan akidah perjuangan, walaupun sukar untuk masyarakat menerima seruan kita, namun kebenaran akhirnya terserlah. Hanya masa dan waktu sahaja akan menentukannya. Jika baginda pun memakan masa yang lama untuk meyakinkan manusia tentang akidah Islam.

Walaupun baginda dianugerahkan wahyu, mempunyai sifat maksum namun masyarakat masih sukar untuk menerima seruan baginda. Tambahan kita sebagai manusia yang mempunyai jutaan kekurangan, sudah pasti masyarakat sukar untuk menerima dakwah kita. Namun kita tidak boleh kecewa di dalam kerja dakwah.

Tanpa takwa, tumbang di tengah jalan dakwah Matlamat puasa ialah untuk menjadikan hamba Allah yang bertakwa.

Hamba yang menjunjung perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah. Ungkapan takwa yang begitu menarik disebut oleh Sayidina Ali Karramallhuwajhah "Bahawa takwa adalah takut kepada Allah yang Maha Agung, dan beramal dengan al-Quran (at-tanzil) dan menerima (qona'ah) terhadap yang sedikit, dan bersiap menghadapi hari akhirat."

Masya-Allah satu ungkapan yang indah.

Alangkah bahagianya jika kita mampu melaksanakan intipati daripada konsep takwa di dalam kehidupan duat. Ia merupakan perkara asas dan menjadi sendi kekuatan kepada seorang duat. Tanpa takwa seorang akan mudah tumbang di pertengahan jalan dakwah.

Ia merupakan prasyarat untuk mendapat nusrah daripada Allah SWT. Kita tidak boleh bergantung kepada kepintaran dan kekuatan makhluk sematamata.

Puasa melatih hambanya untuk melawan nafsu yang jahat yang sentiasa bertarung di dalam diri manusia.

Sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w. "Nafsu yang sentiasa bertarung di dalam diri manusia." Salah satu daripada mekanisme untuk melawan nafsu jahat ialah dengan berpuasa. Perut yang kenyang senang terikut dengan nafsu yang jahat. Nafsu inilah banyak menggagalkan kerja-kerja dakwah. Ia boleh menyerupai dalam berbagai bentuk untuk menggoda manusia supaya tersasar dalam hidup dan meninggalkan kerja perjuangan.

Benarlah kata-kata seorang ahli Sufi: "Kami pulang daripada jihad kecil kepada jihad besar (lawan nafsu)." Jihad qital tidak boleh dilaksanakan jika nafsu masih berkarat dengan noda dan dosa.

Badan akan terasa berat, jiwa akan terasa kosong sehingga sukar untuk bergerak dan melaksanakan tuntutan agama dan jemaah. Perkara ini boleh dirasai oleh kita semua jika nafsu ammarah menguasai batang tubuh kita. Ini merupakan kayu ukur yang boleh dilihat oleh setiap individu, apakah kita merasa malas untuk bergerak dan berat untuk melakukan amal fardi dan amal jemaah.

Ini petanda nafsu jahat sedang menguasai tubuh badan kita. Semoga tarbiah Ramadan memberi kekuatan kepada kita untuk meningkatkan amal dan membuang nafsu buruk yang bersarang di dalam diri.

>> Penulis merupakan Naib Presiden PAS

Mohon bantuan untuk mangsa ribut Alor Star

Posted: 08 Jul 2015 01:13 AM PDT

ALOR SETAR: Sebanyak 49 buah rumah mengalami kerosakan teruk akibat dipukul ribut dalam kejadian yang berlaku dalam kawasan ini sekitar jam 3 pagi semalam.

Prihatin nasib menimpa penduduk, Yang DiPertua PAS Kawasan Alor Setar, Ustaz Ahmad Yahaya segera turun menggerakkan bantuan awal dan sumbangan kepada mangsa.

Ujar beliau, ribut yang melanda itu memberi kesan kepada struktur kediaman dan sememangnya meresahkan penduduk untuk menghadapi Aidil Fitri tidak berapa lama lagi.

Maklumnya, pihak beliau akan segera mengajukan perkara itu untuk mendapatkan bantuan dari agensi berkaitan.

Beliau yang juga Adun Alor Mengkudu memaklumkan, sedang mengatur urusan membantu penduduk menerusi khidmat Jabatan Amal di bawah Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Alor Setar, Zulkifli Che Haron mengharapkan agar orang ramai turut bersimpati kepada nasib mangsa.

Katanya, pihak PAS Kawasan Alor Setar berharap para dermawan dapat menghulurkan sumbangan bantuan menerusi akaun Tabung Kebajikan PAS Kawasan Alor Setar 02011010108890 Bank Islam Malaysia Berhad.

Sebarang pertanyaan boleh dirujuk kepada beliau di talian 019-5528001 atau Mohd Amin Ismail 019-4714740.

Maaf, jika bercakap banyak saya akan batuk

Posted: 08 Jul 2015 01:11 AM PDT

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR 

SOSOK tubuh itu seperti menahan kesakitan, suaranya bergetar sayu mengucapkan terima kasih berulang kali kepada kami. Penyakit buah pinggang, keracunan pada jantung telah menyedut tubuh sasa yang pernah menjadi ikon anak-anak muda ranggi dekad 80-an dan 90-an.

Yazid Search yang juga dengan gelaran sang gendang telah sebati dengan kumpulan rock Search yang telah 33 tahun mempersada dunia seni.

Kumpulan Rock dari Johor itu pernah menjadi fenomena tanahair dengan lagu Kejora, Meniti Titian Usang, Musafir, Rozzana, Isabella, Fantasia Bulan Madu dan puluhan lagu yang lain. Yazid anak pesara tentera, sejak beberapa tahun ini mengalami tahap kesihatan yang semakin memburuk. Beliau berulang ke hospital untuk dialisis dan mendapatkan rawatan.

Yazid juga menampung kehidupan dengan berniaga tauhu bakar, untuk menampung kos perubatan. Menurut beliau, Ramadhan ini beliau 'berkampung' di Hospital Kuala Lumpur dan merasa terhibur dengan ziarah teman-teman.

"Semoga saya bertambah kuat, juga semakin sembuh. Terima kasih ustaz atas doa semua. Saya merasa kuat dengan kehadiran anda," katanya dengan nada suara yang lemah.

"Maaf, jika bercakap banyak saya akan batuk," sambungnya lirih sambil menunjukkan tempat pembedahan. Kaki Yazid kelihatan sembab, beliau kelihatan agak sukar bergerak.

Ustaz Norazli Toliban membacakan doa syifa' dengan turut diaminkan oleh teman-teman lain, termasuk pihak media yang turut hadir. Lujnah Seni turut menyampaikan sumbangan untuk Yazid, begitu juga dengan Ustazah Nuridah Salleh, Ir Mokhtar Suhaili. Pengarah filem, Adam Hamid yang juga AJK Seni dan budaya PAS turut hadir, juga Datuk Aziz Bakar mewakili kelompok industri seni.
Lujnah Seni dan budaya PAS menggalang tanggungjawab untuk merakyatkan gerakan Islam dalam dimensi inklusif, menyentuh setiap lantai capaian masyarakat. Ratusan anak seni, budayawan, karyawan akan kami jaringkan dan bersinergi untuk memacu PAS meroboh stigma sosial bahawa gerakan Islam ini akan meruntuhkan seni negara dengan perjuangan bernuansa Talibanisasi.

Ramai penyokong PAS dalam industri seni, seperti ungkap Bob Lokman - "bukan semua artis dan anak seni mempunyai kekuatan untuk mengisytiharkan mereka menyokong gerakan Islam".

Namun ramai yang sanggup membantu PAS secara tidak langsung. Mereka juga ingin bersama membina negara ini supaya lebih nyaman dan bertunjang petunjuk rabbani

Penulis adalah Pengerusi Lajnah Kebudayaan Dan Kesenian Pas Pusat

Mempertahankan kerajaan yang dibina

Posted: 08 Jul 2015 01:03 AM PDT

KEPIMPINAN Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sesungguhnya menyedari bahawa iklim kerjasama yang dibina dalam Pakatan Rakyat pada waktu ini adalah pada tahap yang paling mencabar dan berdepan dengan perbezaan prinsip yang memerlukan penyelesaian yang adil bagi memenuhi aspirasi seluruh rakyat yang mahukan perubahan.

Bagi PAS, muafakat asal yang dibina adalah kebersamaan dalam perkara yang dipersetujui dan menjadi kepentingan bersama, manakala dalam masa yang sama mengiktiraf kewujudan perbezaan pandangan dan prinsip perjuangan parti masing-masing dalam kalangan parti dalam Pakatan Rakyat (PR).

Pendirian PAS terhadap kerjasama dalam PR adalah sebagaimana yang dinyatakan dalam Ucapan Dasar Presiden PAS sempena Muktamar Tahunan PAS yang baharu sahaja berlangsung.

Antaranya dinyatakan dengan jelas, bahawa "PAS akan terus dan tetap melaksanakan Tahaluf Siyasi bersama Pakatan Rakyat, selagi mana ianya tidak bercanggah dengan panduan al-Quran dan as-Sunnah"; dan juga nyata termaktub dalam Perlembagan PAS [Fasal 7(1)] bahawa hukum tertinggi dalam perlembagaan PAS ialah al-Quran, as-Sunnah, Ijma' ulama dan Qiyas.

Ingin saya pertegaskan bahawa, kerjasama PAS dengan komponen dalam PR di Selangor adalah dalam kerangka untuk mempertahankan kerajaan yang dibina bersama melalui kepercayaan rakyat.

Sehubungan dengan itu juga, PAS Pusat telah pun memberikan arahan kepada YB Datuk Iskandar Abdul Samad selaku Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan (Exco) untuk mengarahkan seluruh Ahli Dewan Undangan PAS Negeri Selangor supaya terus bersama dengan YAB Datuk Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali bagi meneruskan khidmat kepada rakyat dan seterusnya mengekalkan kedudukan kerajaan yang memerintah Selangor pada waktu ini.

Surat terbuka kepada ahli PAS: Dilema aqidah dan pendekatan

Posted: 08 Jul 2015 01:01 AM PDT

Menemui semua ahli PAS semoga berada dalam limpahan rahmat Allah SWT.Setiap pengikut perjuangan Islam wajib menyedari dan faham, bahawa ada dua aspek penting dalam perjalanan perjuangan Islam yang sangat mencabar. Gagalnya kita memahaminya, boleh mneyebabkan ada kalangan yang kecundang atau tercicir di tengah jalan dalam perjalanan perjuangan ini, kerana tidak menghayatinya dengan betul. Kedua-dua aspek tersebut mewajibkan hidayah, melalui ilmu, kebijaksanaan dan terpentingnya memohon petunjuk Allah dengan khusyuk setiap rakaat salat dan bila-bila masa sahaja.

Pertama: Aqidah perjuangan; dan kedua: pendekatan yang dilakukan, beramal, dakwah dan melaksanakan Islam bagi membawa rahmatnya kepada seluruh manusia.

Kedua-dua aspek ini dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. bersama para sahabatnya R.A. yang setia bersamanya dengan petunjuk Allah daripada al-Quran, dalam semua keadaan. Ianya ditunjukkan dalam Marhalah Makiyyah dan Madaniyyah, iaitu di masa lemah dan kuat di masa belum wujudnya negara dan setelah tegaknya negara.

Pertama

Beristiqamah bersama aqidah perjuangan Islam adalah sangat berbeza dengan perjuangan yang hanya bergantung kepada ideologi ciptaan manusia.

Ianya menuntut kita tetap bersama Islam dengan keimanan kepada Allah dengan segala nama dan sifatnya yang mulia. Islam adalah benar, rahmat dan adil, dalam segala hukumnya yang wajib, sunat, makruh, haram dan harus. Percaya kepada janji Allah daripada dunia sehingga akhirat, walau pun perkaranya ghaib dan tidak dapat dicapai oleh akal dan panca indera. Perkara aqidah adalah tetap dan tidak berubah dan tidak boleh diubah; walau apapun dugaannya.

Kedua

Aspek ini menuntut kita beristiqamah melaksanakan pendekatan yang dizinkan Allah, halal dan haramnya adalah dengan cara yang diizinkan oleh Allah, berhubungan dengan bukan Islam dan musuh dengan cara yang diizinkan Allah juga. Walaupun hukumnya dari segi aqidah tegas dan tetap.

Sirah Nabawiyyah melaporkan pendekatan Rasulullah S.A.W. menerima perlindungan keluarganya yang dipimpin oleh Abu Talib di atas semangat kekeluargaan tanpa menerima Islamnya, menerima pembelaan salah seorang pemimpin kaumnya Mut'im bin 'Adi yang menentang kezaliman walaupun dia bukan Islam, meminta khidmat petunjuk jalan berhijrah ke Madinah daripada seorang bukan Islam bernama Abdullah bin 'Uraiqit dengan keimanan menegakkan negara di Madinah dan menjanjikan hadiah gelang emas kerajaan Parsi kepada Suraqah bin Malik, musuh yang datang untuk membunuhnya di tengah jalan.

Hakikatnya ialah, apabila Abu Talib dan lain-lain menawarkan keamanan dengan meninggalkan aqidah, maka ianya ditolak dengan keras.

 Apabila pemimpin Makkah menawarkan pertabalan menjadi raja yang berkuasa dan tawaran harta kekayaan dengan syarat meninggalkan aqidah perjuangan maka ditolak dan bersedia untuk mati kerana mempertahan aqidah dan perjuangannya.

Sikap yang sama ditunjukkan oleh semua para sahabat R.A. ketika berada di Makkah, sehingga bersama melakukan Hijrah yang menghasilkan kejayaan.

 Maka bersabdalah Rasulullah S.A.W.
إنّمَا الأَعْمَالُ بالنِّيّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امرِىءٍ مَا نَوَى، فَمَنْ كَانَتْ هجرته إلى الله ورسوله، فهجرته إلى الله ورسوله، ومن كانت هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصيبُهَا، أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكَحُهَا، فَهِجْرَتُهُ إِلى مَا هَاجَرَ إِلَيْه. (البخاري ومسلم).

(Sesungguhnya semua amalan itu mestilah mengikut niatnya, dan setiap orang akan menerima ganjaran dan akibat mengikut niat masing-masing. Sesiapa yang melakukan hijrah kerana Allah dan Rasul, nescaya dia mendapat fadilat hijrah kerana Allah dan Rasul. Sesiapa yang niat hijrahnya kerana dunia, atau seperti kerana mengikut wanita yang hendak dinikahinya maka terimalah dia mengikut naitnya itu).

Hadis ini adalah bersempena dengan peristiwa Hijrah dan menjadi dalil kepada semua amalan seseorang. Hijrah adalah pendekatan, wujudnya aspek 'niat' adalah menunjukkan bahawa urusan hijrah ini mempunyai 'aqidahnya'. Allah melakukan penapisan dunia sebelum penapisan akhirat.
Apabila tegaknya negara di Madinah, Allah secara tegas menunjukkan jalan istiqamah di antara aqidah dan pendekatan kepada Rasulullah S.A.W. dan para sahabatnya, dalam keadaan yang lebih mencabar dalam masyarakat majmuk berbagai agama, kaum dan sikap. Islam, bukan Islam dan munafik.

Allah berfirman:
۞عَسَى ٱللَّهُ أَن يَجۡعَلَ بَيۡنَكُمۡ وَبَيۡنَ ٱلَّذِينَ عَادَيۡتُم مِّنۡهُم مَّوَدَّةٗۚ وَٱللَّهُ قَدِيرٞۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ ٧ لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ ٩ الممتحنة
Semoga Allah akan mengadakan perasaan kasih sayang antara kamu dengan orang-orang yang kamu musuhi dari kerabat kamu itu (dengan jalan menjadikan mereka insaf dan memeluk Islam) dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa (atas tiap-tiap sesuatu), dan Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani. Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Ayat-ayat al-Quran tersebut bermaksud bahawa Allah menunjukkan kepada kita supaya berlaku baik kasih sayang terhadap seluruh manusia mengikut sempadannya. Maka Rasulullah S.A.W, menjalinkan segala pendekatan hubungan dengan kalangan bukan Islam, secara bertahaluf, berta'awun, berdamai, memaaf kesalahan dan lain-lain.

Apabila berlakunya sikap bermusuh yang mahu merosakkan aqidah maka dibatalkan segala bentuk hubungan walupun terhadap kaumnya di Makkah. Menunjukkan banyaknya keterbukaan dalam perkara pendekatan dan sangat tegas dalam perkara aqidah perjuangan.

Maka setiap ahli PAS mestilah bersama dengan jamaah yang ditubuhkan di atas prinsip dan matlamat beraqidah yang teguh bersama konsep pendekatannya, dan wajib beristiqamah mengikut kenyataan nas serta sejarah.

Sesiapa yang mengikuti perjalanan bersama atau membaca sejarah PAS, akan menyaksikan gelombang dan liku perjuangan dan hilangnya pemimpin paling tinggi, ahli biasa atau penyokong secara sendirian atau tenggelam bersama parti dan pertubuhan yang dijadikan bahteranya.
Adapun perkara yang akan datang berada dalam ilmu Allah dan kita diwajibkan mengambil iktibar serta sentiasa berilmu, berdoa dan bertawakal kepada Allah.

Ramadan: Rahmat, keampunan dan kemerdekaan

Posted: 08 Jul 2015 12:59 AM PDT

Marilah menyahut seruan Allah SWT dalam Al-Quranul Karim, (maksudnya):"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." [Al-Baqarah:183]

Betapa besarnya fadilat puasa dan kelebihan Ramadan, sehingga Nabi Muhammad SAW mengalu-alukan kedatangan Ramadan. Sabda Rasulullah SAW (maksudnya): "Telah tiba kepada kamu bulan Ramadan, bulan yang merlimpah ruah dengan kurnia pemberian Allah, maka selamat datang bulan Ramadan!"

Sabda Rasulullah SAW lagi (maksudnya): "Permulaan Ramadhan itu rahmat, pertengahannya keampunan, dan di akhirnya pembebasan dari api neraka."

Betapa besarnya kelebihan Ramadan ini, di permulaannya dilimpahi pemberian pahala yang sangat mewah. Amalan yang sedikit diganjar pahala besar. Puasa, solat dan berbagai ibadah digandakan berlipat kali lebih berbanding pahala di bulan yang lain.

Allah juga melimpahkan rahmat di kalangan hamba-hamba-Nya. Apabila kita berpuasa, kita berlapar, berdahaga dan letih. Ia mengajar kita besarnya nikmat makan dan minum yang diberikan selama ini. Ia juga membuat kita mengenang perasaaan mereka yang tidak cukup makan minum seperti kita.
Bulan ini melahirkan rahmat dikalangan hamba-hamba Allah di dunia. Disebut dalam sebuah Hadis Qudsi (maksudnya):

"Rahmat Allah SWT dibahagikan kepada 100 bahagian. Hanya satu bahagian sahaja yang diberikan kepada hamba-hamba-Nya di dunia, untuk dibahagikan sesama mereka. Ia menjadikan para hamba berkasih sayang antara satu sama lain, berkasihan belas antara satu sama lain, dan bertolong menolong antara satu sama lain. Adapun 99 lagi rahmat-Nya disimpan di sisi-Nya, untuk dibahagikan kepada hamba-NYa yang beriman di hari akhirat kelak."

Ramadan juga adalah bulan keampunan dari Allah SWT. Di bulan ini, Allah buka seluas-luasnya pintu keampunan-Nya, menjadikan bulan ini sarat dengan pengampunan bagi segala dosa dan kesalahan manusia. Sabda Rasulullah SAW (maksudnya): "Solat lima waktu, Jumaat sehingga Jumaat, Ramadan sehingga Ramadan akan datang, menghapuskan dosa-dosa yang kecil, selama mereka meninggalkan dosa yang besar."

Walaupun disebut dosa yang kecil, sedar dan insaflah dosa-dosa kecil itu akan menjadi banyak dan bertimbun. Dalam perjalanan hidup kita yang mencabar, kita akan menghadapi berbagai dosa-dosa kecil. Oleh itu jangan kita menganggap remeh tentang dosa kecil, sebagaimana seorang Sahabat RA berkata (maksudnya): "Tiadalah dosa itu kecil sekiranya ia berterusan, dan tiadalah dosa itu besar, sekiranya ia beristighfar."

Allah telah membuka pintu taubat, sejak dari kita baligh sehingga nyawa sampai ke halkum. Sejak manusia diutus ke bumi, sehinggalah matahari naik dari ufuk barat. Allah menjanjikan, walaupun hamba-Nya memohon keampunana dosa yang seluas langit dan bumi, Allah SWT juga akan memberikan keampunan sepenuh langit dan bumi.

Seterusnya, Allah terus membuka pintu taubat seluas-luasnya dibulan yang mulia dan penuh keberkatan ini. Oleh itu marilah kita merebut peluang meraih pengampunan dari-Nya. Bukan sahaja dengan menunggu melalui amalan-amalan ibadat yang dijanjikan pengampunan, tetapi turut beristighfar memohon pengampunan dari Allah.

Sekiranya kita meraih segala keberkatan, fadilat dan pengamnpunan di bulan yang mulia ini, maka kita akan mengakhiri Ramadan dalam keadaan dimerdekakan dari api neraka.

Firman Allah SWT (maksudnya): "Bulan Ramadan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pemisah (antara yang hak dan yang bathil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu berada di bulan Ramadan, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam bermusafir, maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur membesarkan Allah. Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku sangat dekat dengan mereka. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." [Al-Baqarah:185-186]

(Khutbah Jumaat pada 2 Ramadan 1436 bersamaan 19 Jun 2015 disampaikan oleh Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Dikendalikan oleh Alang Ibn Shukrimun)

0 ulasan:

Pimpinan

Sayap Parti

Kawasan