Pengikut

Nuffnang

Selasa, 7 April 2015

Jasindaily Online

sumber :-

Jasindaily Online


Kembali Kepada Islam Selepas 30 Tahun Mengkaji

Posted: 06 Apr 2015 05:51 PM PDT

MELAKA - Hampir 30 tahun mengkaji setiap agama di dunia ini, akhirnya seorang sami Buddha berusia 66 tahun mengambil keputusan memeluk Islam. Pengalaman menjadi sami selama 28 tahun di Taiwan mendorong lelaki yang enggan identitinya itu didedahkan, mencari kebenaran dan akhirnya mengakui Islam merupakan satu agama yang indah dan sempurna. Semalam, lelaki terbabit mengucap dua kalimah syahadah dalam satu majlis ringkas di Masjid Cina, di sini. Presiden Persatuan Cina Islam Malaysia Cawangan Melaka (Macma), Lim Jooi Soon berkata, sepanjang menjadi sami di Taiwan, lelaki berkenaan banyak menghabiskan masa mengkaji setiap agama di dunia ini. "Semasa menjadi sami, dia begitu banyak mengkaji tentang banyak agama di dunia ini. Dalam pengkajian itu, dia cuma menemui Islam sebagai sebuah agama paling lengkap dan meliputi segala aspek setiap kali berhujah. "Dia banyak melihat agama Islam ini semakin berkembang, tetapi dia tidak tahu puncanya," katanya. Menurutnya, lelaki yang berasal dari Johor itu datang ke negeri ini sejak tiga minggu lalu. 


 "Akhirnya, dia berjumpa saya dan saya telah menerangkan dengan menggabungkan bagaimana logik, sains dan hujah dapat dikaitkan dengan pencipta alam ini menyebabkan dia tertarik untuk memeluk Islam," katanya selepas majlis itu semalam yang disempurnakan penaung Macma, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik. Hadir sama, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (Maim), Datuk Yaakub Md Amin dan Mufti negeri, Datuk Dr Mohadis Yasin. Jooi Soon berkata, kini tugas Macma adalah untuk membimbingnya agar dapat mengetahui ajaran Islam secara mendalam. "Kerja kami baru hendak bermula untuk mengajarnya dan kami hanya boleh mengajar dalam bahasa Mandarin kerana dia tidak fasih bahasa Melayu dan Inggeris. Ia mungkin menuntut sedikit kesabaran," katanya.

 Sementara itu, pada majlis sama semalam turut menyaksikan pengislaman seorang lelaki kurang upaya (OKU) berusia 31 tahun. Menurut Jooi Soon, lelaki dikenali sebagai Teo itu dikatakan ditemui ketika hidup di dalam gelandangan dan hanya mengharapkan belas ihsan orang ramai untuk sesuap nasi. "Dia mengalami kecacatan anggota kaki dan tangan. Rakan-rakan kami menemuinya sehingga akhirnya kami dakwah dia untuk tertarik terhadap Islam. "Paling mencabar lagi bagi kami, OKU ini juga tidak berpelajaran dan tidak tahu membaca," katanya.

Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) Di Luluskan

Posted: 06 Apr 2015 05:50 PM PDT

KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (Pota) 2015 diluluskan tanpa pindaan di Dewan Rakyat pada 2.25 pagi ini, selepas dibahaskan lebih 12 jam. Pota diluluskan selepas undian belah bahagian kesembilan dilakukan dengan undian terakhir memihak kepada kerajaan dengan kiraan 79 bersetuju dan 60 tidak bersetuju (untuk meluluskan). Sebelum itu, rang undang-undang yang dibahaskan lancar di peringkat dasar, namun melalui waktu sukar di peringkat jawatankuasa apabila pelbagai pindaan dicadangkan oleh ahli Parlimen pembangkang sehingga sesi perbahasan dan penggulungan di peringkat itu berlarutan sehingga awal pagi ini. 


 Lebih menyukarkan apabila pembangkang berkeras untuk meminda hampir kesemua 35 Fasal, memaksa lapan undi belah bahagian dilakukan bagi setiap usul pindaan yang dikemukakan sepanjang perbahasan di peringkat jawatankuasa, sebelum undian terakhir dibuat bagi meluluskan rang undang-undang itu. Bagaimanapun, semua undi belah bahagian berakhir dengan undian memihak kepada kerajaan, sekali gus menolak usul-usul pindaan dibawa pembangkang. Antaranya, cadangan pindaan termasuk supaya pangkat pegawai polis dalam penangkapan suspek hendaklah tidak rendah daripada Superitendan, selain berhubung tempoh tahanan reman yang digesa tidak melebihi 14 hari berbanding cadangan rang undang-undang itu yang membolehkan suspek ditahan sehingga 21 hari. Ahli Parlimen pembangkang turut mengusulkan supaya beberapa peruntukan termasuk di bawah Perkara 13 hingga 28 yang menyentuh mengenai perintah tahanan dan sekatan dibatalkan kerana disifatkan berniat jahat.

 Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu di peringkat jawatankuasa, berkata kerajaan tidak melihat pindaan yang diusulkan itu perlu dibuat pada masa ini. Katanya Pota harus dilihat dengan 'mata hati' untuk memahami tujuan sebenar kerajaan memperkenalkan undang-undang itu, selain tidak harus dibandingkan dengan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca). Terdahulu, Ahmad Zahid ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu di peringkat dasar, berkata elemen pemulihan menjadi keutamaan dalam pelaksanaan Pota. Tegas Ahmad Zahid, ini kerana Pota tidak boleh dilihat hanya dari sudut perundangan semata-mata sebaliknya ia bersifat pencegahan.

 "Elemen pemulihan terhadap tahanan menjadi keutamaan. Rekod tahanan ISA setakat sehingga undang-undang itu ditiadakan iaitu daripada seramai 10,800 tahanan ISA, 90 peratus berjaya dipulihkan," katanya. Ahmad Zahid juga memberi jaminan Pota tidak akan disalah guna dan tiada sesiapa pun yang mempunyai perbezaan politik atau pendapat, akan ditahan di bawah undang-undang itu. - Bernama

JAIM NAFI KELUAR ENEKMEN BARU

Posted: 06 Apr 2015 05:49 PM PDT

BANDARAYA MELAKA – Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) bertindak menguatkuasakan undang-undang menerusi Enakmen Kesalahan Syariah Negeri 1991 yang memerlukan proses siasatan sebelum hukuman dijatuhkan. Ketua Pegawai Penguatkuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, pihaknya turut menafikan jabatan itu mengeluarkan undang-undang baharu berkaitan penguatkuasaan seperti pemberian kompaun secara terus kepada pesalah. Menurutnya, individu yang menyebarkan maklumat palsu berkaitan penguatkuasaan syariah disifatkan tidak bertanggungjawab dan dianggap menyamar sebagai wakil pihak berkuasa kerajaan negeri. "Penyebaran maklumat palsu ini tidak mewakili lidah rasmi kerajaan sedangkan kalau melibatkan perundangan, kita mesti merujuk kepada kerajaan negeri mahupun agensi penguatkuasa.


 "Jaim tidak melakukan hukuman denda secara terus seperti kesalahan membuang sampah tetapi masih terikat dengan proses siasatan dan pendakwaan di mahkamah syariah. "Mereka yang sengaja menyebarkan maklumat ini seolah-olah mempermainkan undang-undang dan memperlekeh institusi agama," katanya, mengenai penyebaran maklumat mengenai arahan baharu kerajaan negeri tentang tatacara berpakaian bagi wanita. Malah maklumat palsu itu juga turut mendakwa denda sebanyak RM80 bagi wanita tidak memakai tudung, denda bagi membonceng lelaki dan perempuan bukan mahram (RM100 bagi wanita) dan (RM80 bagi lelaki) serta memakai seluar ketat (RM120). Manakala, premis perniagaan seperti kedai makan diarahkan tutup dari jam 12.30 tengahari hingga 2.30 petang setiap kali tiba waktu solat Jumaat, bagi memastikan kaum lelaki menunaikan solat dan tidak melepak di tempat awam.

 Mengulas mengenai perkara itu, Rahimin berkata, enakmen di bawah Seksyen 71 sudah menetapkan perlakuan tidak sopan atau berpakaian tidak sopan yang bertentangan hukum syarak di tempat awam adalah menjadi kesalahan. "Hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau boleh di penjara selama tempoh tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali," katanya. Beliau menasihatkan umat Islam lebih peka menjaga keperibadian diri dan berpakaian mengikut landasan agama.

Hudud Tak Islamik Pandangan Dangkal

Posted: 06 Apr 2015 05:38 PM PDT

SELAYANG - Hudud bukan rekaan untuk tujuan politik, sebaliknya perkara yang terkandung dalam al-Quran dan terdapat dalam Enakman Syariah selain Qisas dan Takzir. Ketua Pemuda Pas Selayang, Mohd Fauzan Madzlan berkata, perbezaan pendapat berkenaan takrifan hudud bukan alasan mengatakan sistem tersebut tidak Islamik. Menurutnya, pemahaman berkenaan enakmen syariah perlu diutamakan terlebih dahulu sebelum mengulas berkenaan hudud. "Jika sistem sedia ada yang diguna pakai tak boleh selesaikan masalah jenayah, maka kita perlukan satu sistem yang boleh memberikan pengajaran. "Pembentangan hudud telah dilaksanakan sejak 1993 lagi terdiri pakar undang-undang yang menggubal enakmen syariah secara cermat dan teliti dakwaan mengatakannya tidak Islamik adalah pandangan individu yang dangkal," katanya kepada Sinar Harian. 


 Beliau mengulas berhubung kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad kelmarin yang menyatakan hudud dicadangkan Pas tidak Islamik. Sementara itu semalam, turut berlangsung mesyuarat Pemuda Pas Selayang di Taman Jati Rawang dihadiri 105 perwakilan dari 42 cawangan. Mohd Fauzan mengekalkan kerusi ketua pemuda bagi penggal ketiga sementara timbalan dan naib masing-masing disandang Muhammad Zuhdi Mat Piah dan Mohamad Fauzan Maaruf. Dalam mesyuarat kali ke-26 itu, Mohd Fauzan berkata, kempen penjelasan hudud akan diteruskan dan pihaknya memilih untuk memberikan penjelasan berbanding kontroversi. 

 "Kami akan pakai buat kempen penerangan di tempat terbuka di mana orang awam yang keliru berkenaan hudud boleh mengajukan soalan. "Kami turut sediakan pegawai penerangan untuk perkara hudud ini yang boleh dibawa dalam forum sebagai usaha pemahaman sistem ini kepada orang bukan Islam," katanya. Dalam perkembangan lain, beliau menekankan kepentingan perpaduan dan elakkan perpecahan dalam parti meskipun berbeza pendapat namun perlu diakhiri dengan kesepakatan. "Perbezaan pendapat perkara biasa bukan bermaksud untuk berpecah tapi mencari kata sepakat," katanya.

0 ulasan:

Pimpinan

Sayap Parti

Kawasan