Pengikut

Nuffnang

Khamis, 5 Februari 2015

PAS KAWASAN KUBANG PASU

sumber :-

PAS KAWASAN KUBANG PASU


Berfesyen sekadar ikut trend atau sunnah?

Posted: 05 Feb 2015 06:38 AM PST

Oleh NORSHARI NASIR 


ISLAM agama relevan dengan setiap keadaan dan tempat, bukan sahaja ia sesuai pada zaman baginda Rasulullah s.a.w., akan tetapi sesuai sepanjang zaman hingga hari kiamat. Ini kerana ia adalah satu-satunya agama daripada Allah SWT yang lengkap, sejagat dan menepati naluri manusia, termasuklah dalam isu pemakaian khususnya kepada muslimat.

Islam menitik-beratkan persoalan menutup aurat ketika berpakaian adalah untuk memelihara kehormatan wanita daripada sebarang pencerobohan ke atas diri mereka. Namun etika berpakaian dalam Islam mempunyai garis panduan dengan tidak berlebihan dalam hingga dianggap sebagai fesyen.

Walaupun Islam tidak menghalang berfesyen, ia mesti dengan prinsip dan etika yang tersendiri. Di Malaysia masa kini nyata ramai yang berfesyen bertujuan untuk menonjol pada khalayak ramai berbanding dalam mengekalkan imej bersopan mengikut sunnah yang digariskan dalam Islam terutama golongan wanita. Bahkan dilihat mereka telah semakin jinak dengan perkembangan hidup masyarakat "luar" yang jelas tidak mementingkan agama sebagai nilai kehidupan.

Masyarakat luar yang dimaksudkan adalah masyarakat Barat yang kini seakan-akan telah mengubah pemikiran dan cara hidup masyarakat Islam khususnya di Malaysia pada ketika ini secara keseluruhannya.

Tidak salah bagi setiap wanita untuk mengikuti perkembangan fesyen semasa selagi panduan syarak diutamakan dalam semua keadaan dan mampu mengawal diri supaya tidak melanggar batasan yang digariskan dalam Islam terutamanya dalam soal perhiasan dan berpakaian.

Aurat itu adalah perkara yang perlu dijaga dan ditutupi oleh semua anggota masyarakat Islam dulu kini dan selamanya.

Paling ketara kita dapat lihat dalam pemakaian tudung mula bertukar menjadi fesyen selari dengan peredaran masa dan dunia yang semakin moden.

Tetapi ada juga sebahagian wanita yang mengutuk golongan bertudung ini dengan mengatakan bahawa mereka pakai tudung tetapi akhlak mereka tidak baik. Pada hari ini juga dapat kita perhatikan ramai wanita mulai sedar akan kewajipan mengenakan tudung (menutup aurat sepenuhnya).

Walau bagaimanapun, sayangnya kebanyakan daripada mereka masih belum mengenakan tudung yang benarbenar sesuai dengan kehendak syariat dan hanya lebih selesa mengikut trend masa kini.

Dalam keghairahan bertudung mengikut pembangunan fesyen semasa, mereka masih alpa mengenai aurat sehingga menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan umat Islam. Kini, pelbagai fesyen tudung dipakai mengikut proses transformasi dan permodenan semasa. Namun, pemakaiannya masih dianggap tidak sempurna jika masih menampakkan bahagian leher dan dada.

Menutup aurat bukan sekadar jika kepala sudah kemas diliputi tudung sudah dikira menutup aurat tetapi wajib menutup seluruh badannya kecuali pada bahagian muka dan kedua-dua tapak tangan. Padahal telah jelas dalil menyebutkan: "Dan hendaklah mereka menutupkan tudung ke dada mereka…" (QS. An Nur : 31)

Dalam isu pemakaian tudung, ia bukan sekadar berfesyen atau budaya untuk dijadikan ikutan semata-mata tetapi demi menjaga maruah mereka sebagai wanita Islam. Jika wanita itu berpakaian dengan sempurna pasti dapat mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan mungkar.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka. Aku belum pernah melihat mereka iaitu golongan yang mempunyai cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang dan golongan kedua adalah para wanita yang berpakaian tetapi telanjang, berlenggang-lenggok ketika berjalan, menarik perhatian orang yang melihat mereka.

Kepala mereka bagaikan bonggol unta yang senget. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak dapat mencium bau wanginya." (Riwayat Muslim) Namun, apa yang ditonjolkan oleh golongan wanita pada hari ini masih tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan syariat Islam. Oleh itu, setiap wanita Muslim perlu mengambil serius perkara ini supaya mereka terlepas daripada fitnah pandangan lelaki bukan mahram selain menjaga maruah wanita Muslim.

Wanita juga perlu mengelak daripada berhias atau berpakaian secara berlebihlebihan sehingga menarik perhatian orang ramai. Islam tidak pernah melarang umatnya untuk berfesyen dan mengikuti aliran fesyen terkini tetapi pastikan setiap wanita yang bertudung menutup aurat keseluruhannya bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

>> Penulis adalah siswi Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), USIM

0 ulasan:

Pimpinan

Sayap Parti

Kawasan