Pengikut

Nuffnang

Ahad, 15 Februari 2015

PAS KAWASAN KUBANG PASU

sumber :-

PAS KAWASAN KUBANG PASU


Menyambung warisan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz

Posted: 15 Feb 2015 12:01 AM PST

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kehilangan tokoh penting yang kembali mengadap Pencipta, Allah azza wajalla iaitu al-Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sesungguhnya pemergian Almarhum kerahmatullah adalah satu kehilangan yang sukar dicari ganti khususnya kepada PAS dan amnya kepada negara serta seluruh umat Islam.

Almarhum adalah pemimpin, guru, bapa dan sahabat yang telah mendamba dan memperhambakan diri kepada al-Khaliq dengan teguh menyambung usaha Rasulullah SAW dan para Nabi menegakkan risalah agama ini.

Dunia dan umat kurun ini telah menyaksikan, bahawa Almarhum telah meletakkan bumi Serambi Makkah yakni Kelantan ke peta dunia dalam istiqamahnya beliau memartabatkan Islam di negeri itu.

Almarhum juga negarawan di mana telah melakar sejarah sejak usia mudanya bersama PAS untuk memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah, sebagaimana nyata di dalam Perlembagaan PAS.

Tuan Guru Datuk Nik Aziz juga seorang ulama yang tekun menyebar aqidah Islam dan bertegas terhadap semua idealogi asing.

Pemergian Almarhum telah meninggalkan tapak kukuh dan jasa yang mesti dilangsungkan oleh generasi Islam hari ini dengan itqan sebagaimana telah diteladaninya.

Antaranya untuk melaksanakan Enakmen Syariah dalam perundangan negeri Kelantan, menjadi amanah dan warisan yang wajib disambung.

Semoga roh Almarhum berbahagia di sisi Allah dan dipertemukan dengan roh Rasulullah yang dicintanya sepanjang hidup.

Saya merakamkan takziah kepada seluruh ahli keluarga serta para pendukung dan penyokong PAS semoga kita redha dan sama-sama bersabar menghadapi saat-saat sukar ini.

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bekas mejar Zaidi akan sertai PAS

Posted: 14 Feb 2015 11:58 PM PST

OLEH MELATI A. JALIL 


Bekas mejar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Zaidi Ahmad, yang mula menimbulkan isu mengenai dakwat kekal semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), akan menyertai PAS sebaik memperolehi kad pengenalan baru sebagai rakyat biasa.

Bercakap pada majlis pelancaran buku terbaru kartunis Zunar di Petaling Jaya hari ini, beliau mengakui berminat dengan PAS kerana parti itu menegakkan Islam.

"Saya akan menjadi ahli PAS. Saya sedang menunggu MyKad saya sebagai rakyat biasa," katanya yang ditamatkan perkhidmatan serta-merta pada 12 Januari lalu selepas didapati bersalah atas dua dakwaan yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Tentera.

"Saya lebih (cenderung) kepada Islam, sebab itu saya pilih Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Saya mahu menyumbang dengan cara ini," katanya merujuk kepada nama penuh parti pembangkang yang merupakan sebahagian Pakatan Rakyat (PR) itu.

Zaidi dipecat dari TUDM kerana melanggar dua perintah tetap iaitu tidak bercakap dengan media sebelum mendapat kebenaran Menteri Pertahanan dan kerana berkongsi maklumat sulit tentang perintah tetap dengan media tanpa kebenaran Majlis Angkatan Tentera mengikut Seksyen 50 Akta Angkatan Tentera 1972.

Beliau didapati bersalah melanggar protokol dengan membuat pengumuman terbuka mengenai dakwat kekal yang digunakan semasa PRU13 tetapi boleh dibasuh dengan mudah, menimbulkan persoalan mengenai integriti PRU.

Selepas dibebaskan, Zaidi menyuarakan hasratnya memberi ceramah dan meningkatkan kesedaran politik di kalangan orang ramai.

Hari ini beliau menyatakan harapan memainkan peranan menyatukan PR yang ketika ini dilihat seperti berada di ambang perpecahan kerana beberapa isu dan konflik dalaman sesama tiga ahlinya – PAS, PKR dan DAP.

"Saya ni 'middle ground' (pertengahan)... Saya bukan ustaz, insyaAllah saya cuba main peranan untuk satukan PR untuk menghadapi PRU14.

"Cabaran itu memang besar, terutamanya dengan ketiadaan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim), kita terpaksa menghadapinya, harap-harap pemimpin baru akan muncul," katanya.

Katanya, rakyat memerhatikan tindakan Putrajaya dan dasarnya, dan ini akan menentukan bagaimana mereka akan mengundi dalam PRU berikutnya.

"Apa saja yang mereka lakukan diawasi rakyat. Rakyat tahu siapa benar, siapa salah.

"Apa saja yang kerajaan mahu lakukan, biarkan mereka lakukan. Di pihak kami, kami akan terus berjuang. Kita mohon pertolongan Allah.

InsyaAllah, pada PRU14, akan ada perubahan."
Zaidi juga mengulas mengenai pemergian Mursyidul Am PAS Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyifatkannya satu kehilangan besar.

Beliau yang sepatutnya melancarkan buku Zunar bertajuk "ROS in Kangkongland" yang menampilkan kartun isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor itu berkata, kartunis satira itu tidak sepatutnya dihukum kerana hasil karyanya.

Sejumlah 200 naskhah buku itu dirampas polis ketika ia sedang dalam perjalanan di bawa ke lokasi majlis pelancaran.

"Zunar seorang yang unik, kerana beliau berjuang melalui kartun. Secara tidak langsung beliau membantu perjuangan kami menegakkan keadilan," katanya.

Minggu nestapa buat rakyat Malaysia

Posted: 14 Feb 2015 11:57 PM PST

Oleh Dian Anais

Anwar Ibrahim dipenjara. Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia. Ini adalah minggu nestapa, bukan sahaja buat pembangkang, tapi juga buat rakyat Malaysia.

Memang, ini adalah minggu kenestapaan. Kita tidak lagi dapat mendengar alunan retorika ketua umum PKR, setidaknya buat sementara ini. Kita juga tidak lagi dapat memandang wajah jernih Tok Guru, buat selama-lamanya.

Semua ini telah lenyap, dengan pemenjaraan dan pemergian mereka. Jasad mereka tidak lagi bersama kita. Tubuh mereka tidak lagi hadir untuk berkomunikasi langsung dengan kita.

Namun, nanti dulu. Sapu dahulu air mata kita.

Di sebalik air mata ini, terdapat sebuah berita gembira: Anwar dan Nik Abdul Aziz masih lagi bebas dan masih lagi hidup. Tatap sajalah media massa: sampai saat ini, nama dan tindakan mereka terus hidup. Mereka, dalam bahasa komunikasi, rupa-rupanya tidak pernah dipenjara dan tidak pernah meninggal dunia.

Sebab, komunikasi– tentang mereka–boleh saja terus berkesinambungan meski tanpa memerlukan kehadiran sosok tubuh. Pemenjaraan Anwar, rupa-rupanya, hanyalah melanjutkan lagi sebuah komunikasi politik yang berantaian.

Bagi saya, disumbatnya Anwar ke penjara Sungai Buloh hanyalah merancakkan lagi komunikasi politik di Malaysia. Rancak kerana politik kini telah ditambah dengan perisa babak-babak dramatik. Dan, di sinilah politik terus berkomunikasi dengan rancaknya.

Hemat saya, untuk membunuh politik Anwar, itu bukanlah dengan memenjarakannya. Malah, bukan juga dengan membebaskannya. Kini, yang menjadi tanda-tanya musuhnya: bagaimanakah caranya untuk membunuh karier politiknya? Malangnya, memang tidak ada cara.

Paradoks komunikasi

Tidak ada cara, kecuali: dengan menjadikan Anwar tidak lagi dikomunikasikan. Dan, ini sama sekali tidak mungkin. Jadi, di sinilah paradoks komunikasi.

Untuk tidak mengkomunikasikan Anwar, maka kita perlu menghentikan segala pembicaraan masyarakat mengenai Anwar. Sudah tentu, ini adalah tidak mungkin, lebih-lebih lagi di era masyarakat bermaklumat ini.

Anwar, namanya dan tindakannya, akan terus-menerus menjadi buah mulut. Penjaranya hanya menjadikan setiap hingar dalam masyarakat bertukar menjadi suara kepada langkah-langkah politiknya. Bagi saya, di sinilah cemerlangnya Anwar sebagai seorang politikus moden.

Dalam sosoknya, tidak sekadar terdapat ciri-ciri Machiavellian. Hatta, lebih dari itu, terzahir juga paparan seorang pemimpin politik yang berprinsip teguh. Malah, saya juga yakin beliau sanggup untuk mati (secara jasad), sekiranya tindakan itu dapat mengubah Malaysia ke arah yang lebih baik.

Dengan kematiannya, mungkin, Anwar hanyalah ingin mendambakan kesejahteraan buat negara kita: yakni, demi untuk melihat Malaysia yang lebih baik. Ini adalah sebuah kejujuran Anwar yang dapat kita rasai dalam sanubari kita.

Lalu, dengan kematian ini, komunikasi tentangnya akan terus harum. Malah, itu hanya akan menjadikan Anwar sebagai manusia yang abadi, yang terus-menerus, sepanjang zaman, dibicarakan dalam politik tanah air.

Mungkin kata-kata ini berlebihan. Tapi, marilah kita ambil pemergian Nik Abdul Aziz sebagai contoh.

Sebagai seorang ahli politik yang luar biasa, jenazahnya telah pun diring khalayak dari seluruh pelosok tanah air. Beliau dicintai, bukan sahaja oleh pengikut-pengikutnya, tapi juga dihormati oleh musuh-musuhnya.

Tak pernah mati

Nik Abdul Aziz, dalam hal ini, adalah sebuah sosok yang inklusif, yang merangkumi sama ada: sisi politik mahupun sisi apolitik.

Sebagai Mursyidul Am PAS, kehilangan Nik Aziz sudah tentu ditangisi oleh ahli-ahli PAS. Mereka kehilangan seorang ahli politik yang berkarisma. Ia memang tidak diragukan lagi adalah seorang politikus teladan untuk semua yang bercita-cita menjadi ahli politik unggul.

Tapi, di sebalik itu, mereka yang tidak berparti politik juga mencintai Nik Abdul Aziz. Dan, ini adalah sebuah terobosan yang menarik dalam politik di Malaysia. Kerana itu, bagi saya, kehilangan Nik Abdul Aziz adalah kehilangan buat semua.

Namun, apakah Nik Abdul Aziz memang pergi buat selama-lamanya? Tidak juga.

Nik Abdul Aziz, sama seperti Anwar Ibrahim, masing-masing terus hidup. Nama-namanya akan terus berkumandang. Cerita-ceritanya akan terus didendang. Ternyata, komunikasi mereka terus menebar. Ia ditebarkan oleh kita, yang memuji dan juga mungkin mencelanya. Kitalah (termasuklah musuh-musuhnya!) yang sebenarnya menjadikan mereka terus hidup abadi.

Sudah jadi lumrah, manusia-manusia besar memang sentiasa hidup dalam masyarakat. Kita tidak pernah kehilangan mereka. Mereka tidak pernah mati. Sama ada mereka dipenjara mahupun meninggal dunia, kita memang tidak terdaya untuk menghentikan komunikasi tentang mereka.

Jadi, apa yang dapat kita belajar dari minggu nestapa ini? Kita belajar bahawa sebenarnya terdapat sebuah cara untuk kita hidup selama-lamanya di dunia ini. Untuk hidup abadi, kita hendaklah meninggalkan sebuah bakti untuk masyarakat terbanyak.


DIAN ANAIS adalah seorang suri rumah sepenuh masa dan boleh dihubungi menerusi dian.anais@yahoo.com

'Walau baru sehari, saya amat rindukan dia...'

Posted: 14 Feb 2015 11:55 PM PST

PERMERGIAN insan tersayang yang berkongsi hidup selama 53 tahun sudah pasti memberi kesan hebat kepada diri seseorang, apatah lagi insan itu seorang suami penyayang yang lebih dikenali sebagai Tok Guru, juga menjadi pemimpin disayangi ramai, di dalam dan luar negara.

Ikuti luahan hati DATIN TUAN SABARIAH TUAN ISHAK, isteri bekas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam wawancara eksklusif bersama wartawan Sinar Harian, ROSMIZA KASIM dan SITI FATIHAH AWANG di kediaman beliau sehari selepas pemergian suami yang dicintai itu.

"Nanti abang tak dok (meninggal dunia) lepas ni, sapo nak jago Yah," itulah kata-kata yang membuatkan hati saya sedih dan sayu apabila mengenangkan suami yang baru sehari meninggalkan saya buat selama-lamanya.

Kata-kata abang itu yang diluahkan tiga hari sebelum meninggal dunia, ketika dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) itu saya sambut dengan senyuman, sambil memegang tangan insan yang selama ini berkongsi hidup suka dan duka dengan saya.

Sambil menggenggam tangan abang, saya kata "anak-anak kita kan ada, mereka boleh jaga saya sampai bila-bila. Abang janganlah risau," walaupun dalam hati saya ketika itu sebak tidak terkata.

(Perasaan yang ditanggung itu diluahkan Tuan Sabariah sambil menyapu air mata dengan tisu yang dihulurkan saudara-mara yang datang menziarahi keluarganya di kediamannya).

Kini, anak-anaklah yang akan menjadi peneman saya, menghilangkan kesunyian hidup saya. Walaupun baru sehari, saya mengakui saya sangat merindui beliau.

Tiada istilah mahukan 'privacy' dalam kamus hidupnya. Walaupun wartawan sentiasa menerjahnya tidak kira di mana, termasuk di kediamannya di Pulau Melaka. beliau akan melayan mereka.

Beliau juga tidak pernah amalkan ungkapan 'off the record' (tidak boleh siar) walaupun perkara yang dijawabnya agak kontroversi.

Apa yang diucapkan nampak datangnya dari hati, tanpa nampak sebarang percubaan untuk menyembunyikan sesuatu. Kadang-kadang kenyataan beliau menjadi bahan untuk dikritik,  namun  beliau tidak pernah memulaukan wartawan atau media terbabit, tetapi hanya membiarkan ia berlalu.

Umum mengetahui beliau seorang pemimpin sederhana.
Pada suatu hari semasa  masih menjadi menteri besar, wartawan menunggu di depan rumahnya di Pulau Melaka, beliau  tiba dengan membawa dua bungkus nasi.

"Minta maaf la, ambo (saya) rasa nak makan nasi bungkus, tadi ke pasar di Bachok. Cukuplah untuk dua orang (bersama isteri), " katanya sambil menguntumkan senyum kepada wartawan.

Oleh kerana rumahnya terbuka dan tidak berpagar, ia sering kali dikunjungi pelawat mahupun peminta sedekah.

Sering kali diperhatikan walaupun penat seharian menjalan tugas beliau cuba sedaya upaya melayan pelawat atau peminta sedekah sebaik mungkin.

Lima tahun saya berkhidmat dengan Sinar Harian di Kelantan, ada beberapa kenangan dengan Tok Guru, yang membuat pemergian beliau cukup terkesan, terutama apabila menyaksikan betapa teguhnya pendirian beliau dalam meneruskan perjuangan walaupun sentiasa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan ujian.

Beliau tidak pernah menjadikan kanser yang dihadapinya sebelum PRU13  itu penghalang untuk berdakwah sehingga ke akhir hayat walaupun terpaksa membawa kantung air kencing ke hulu ke hilir.

Rumah saya tidak jauh dari rumah Tok Guru dan kadang-kadang bersolat di masjid Pulau Melaka.

Biasa saya lihat dalam keadaan uzur, Tok Guru berusaha ke masjid, kadangkala terpaksa dipimpin oleh anak lelakinya Nik Omar atau pelajar-pelajar Maahad Darul Anuar yang diasaskannya.

Sepanjang bertugas di negeri ini, saya pernah mengadakan empat kali wawancara eksklusif bersama beliau dan setiap kali berjumpa saya gunakan sebaik mungkin peluang untuk bertanya isu-isu semasa, sama ada pentadbiran kerajaan negeri mahupun sebagai Mursyidul Am Pas.

Ada kalanya saya bertanya soalan yang agak sensitif dan bersifat peribadi, tetapi dijawab dengan penuh berhemah.

Dalam satu wawancara tiga hari sebelum PRU13,  iaitu tempoh akhir beliau memegang jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan, saya bertanya mengenai jawatan yang disandangnya begitu lama sehingga mengundang kritikan banyak pihak.

Jawapan yang diberikan cukup bersahaja, antara kata-katanya yang dipetik:

"Orang pilih saya, ia bermakna orang bersangka baik pada kita. Sangka baik bukan boleh dibeli. Bila kita tolak ia bermakna kita tak menghargai. Dalam umur saya, sekali sahaja saya minta mahu jadi calon. Ketika itu zaman Pas belum bergabung dengan Umno. Saya merayu  minta nak jadi calon, sebab bila jadi calon kita akan ada nilai. Saya nak bercakap atas kapasiti YB, lepas itu saya tak pernah minta, sebaliknya parti calonkan dan saya terima," katanya.

Beliau menambah: "Jawatan yang berat bagi saya bukan menteri besar, tetapi mursyidul am, (kerana) sebagai mursyidul, mesti ada gambaran macam Nabi Muhammad  SAW; (dari segi)  tutur kata, tidur, makan, minum, kuliah  kita akan  diperhatikan. Kalau nak tengok Nabi tengok mursyid. Tidak kira mana-mana negara atau gerakan, mursyid adalah sesuatu yang besar. Sebab itu saya merasakan jawatan itu sangat-sangat berat untuk dipikul."

Dalam satu soalan lain, saya bertanyakan adakah Tok Guru seorang pendendam kerana sering kali mengungkit kisah Umno dan Pas?

Beliau menjawab: "Saya tidak dendam, saya menerangkan kebenaran. Kita ikut keadaan. Kalau kesalahan kuat, kita tingkatkan serangan. Nabi ajar tak boleh surung (masuk) sekali kena sengat, tidak boleh sengat kali kedua," katanya.

Di akhir wawancara, Tok Guru meminta jurufoto Sinar Harian mengambil gambar beliau bersolat jemaah di pejabatnya, tetapi tidak siapa yang menyangka ia adalah hari-hari terakhir beliau selepas menamatkan perkhidmatan 23 tahun mengetuai kerajaan Kelantan.

September tahun lalu, saya juga sempat mengadakan wawancara terakhir dengan beliau. Antara intipati yang paling besar dalam wawancara itu adalah beliau menyatakan beliau sudah reda dengan kehidupan dan rintangan yang ditempuhi dan berpesan kepada semua cucunya "atok tidak meninggalkan harta banyak, tetapi carilah bekalan ilmu  dibawa untuk menghadap ALLAH"

Saya mengikuti perkembangan kesihatan Tok Guru dari semasa ke semasa sehinggalah hari terakhir beliau meninggal dunia. Kanser yang dihadapinya sudah lama menjadi perbualan tetapi tiada siapa yang mengesahkan sehinggalah, anaknya Nik Abduh, mengiyakan  pada awal tahun lalu ketika kami menjadi saksi kepada satu kes mahkamah.

Alhamdulillah, saya juga diberi kesempatan melihat beliau di unit rawatan rapi Hospital Universiti  Sains Malaysia, walaupun melalui cermin.

Begitu juga pada malam kematiannya, saya berada di pekarangan rumahnya setelah mengetahui beliau akan dibawa balik dari hospital, namun tidak menyangka beliau akan pergi selamanya hanya sejam selepas diusung dari ambulans.

Allahuakhbar, saat diumumkan oleh sanak saudaranya, Tok Guru sudah tiada, hati berdegup kencang, air mata mula membasahi pipi, wajah Tok Guru terus terbayang.

Moga-moga Tok Guru ditempatkan ALLAH bersama mereka yang diredaiNYA. Alfatihah.

BN tidak perlu bertanding Dun Chempaka, kata Khairy

Posted: 14 Feb 2015 11:53 PM PST

PUTRAJAYA: Pemuda Umno berpendapat Barisan Nasional (BN) tidak perlu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Chempaka bagi memberi fokus kepada proses pemulihan banjir kawasan Kelantan selatan dan tengah, kata ketuanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata proses pasca banjir memerlukan kerjasama erat antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri, dan sekiranya BN bertanding di kawasan Dun Chempaka itu, ia mungkin mengganggu proses kerjasama tersebut.

Khairy berkata demikian selepas menghadiri karnival 'Walk-A-Run' anjuran Persatuan Murid-Murid Lama Kolej Tunku Kurshiah, yang dirasmikan isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, di Pusat Sukan Air, Putrajaya, Ahad.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed juga berpendapat Sabtu, BN tidak perlu meletakkan calon di Dun Chempaka sebaliknya memberi fokus kepada soal perpaduan dan pembangunan pasca banjir.

Mengenai karnival itu, Khairy berkata ia adalah satu usaha mengumpul dana bagi memulihkan padang Kolej Tunku Kurshiah di Bandar Enstek.

Terdahulu, Presiden Persatuan Murid-Murid Tua Kolej Tunku Kurshiah Tan Sri Dr Rafiah Salim berkata kolej itu memerlukan RM500,000 bagi membaiki pulih padang itu bagi menjalankan aktiviti Hari Sukan. - Bernama

Tok Guru: Masa hidup media sekat, setelah pergi baru puji

Posted: 14 Feb 2015 11:50 PM PST

Oleh DATUK MAHFUZ OMAR 


SEJAK bermulanya berita Almarhum Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pulang ke rahmatullah tersebar, seluruh Malaysia bahkan ummat Islam sedunia turut merasai akan kesedihan atas pemergian tokoh terulung ulama yang disayangi lagi dihormati oleh segenap lapangan masyarakat.

Media arus perdana seperti televisyen, radio dan akhbar turut memberi liputan khas berkenaan Almarhum Tuan Guru.

Begitulah penghormatan dan kemuliaan yang dianugerahkan kepada Almarhum Tuan Guru semasa hayat sehinggalah ke majlis pengebumian. Kesemua pihak menyebut keindahan akhlak, kebaikan, dan jasa yang telah ditabur oleh Almarhum.

Namun, yang agak menghairankan kita ialah kerana suatu ketika dahulu pihak media yang samalah sering menyekat, memutar-belit dan memburukkan Almarhum khususnya ketika bergelar Menteri Besar Negeri Kelantan yang dipilih secara sah melalui jalan demokrasi.

Dahulunya, amat jarang sekali untuk kita melihat Almarhum Tuan Guru diberikan peluang untuk muncul menyampaikan ucapan dan tazkirah di kaca televisyen, corong radio mahupun dada akhbar.

Ironinya, ia terus berubah apabila Almarhum Tuan Guru meninggal dunia. Media pun memuji dan menyatakan betapa negara kehilangan Murabbi Ummah yang begitu berjasa kepada kita semua.
Jelas, ini membuktikan segala berita selama ini yang sering memburukkan Almarhum Tuan Guru adalah palsu semata-mata.

Sungguhpun demikian, saya tetap menzahirkan lafaz tahniah dan terima kasih kepada kesemua media yang telah memberikan liputan terbaik sepanjang majlis pengebumian Almarhum Tuan Guru.

Semoga keberanian untuk menyebarkan kebenaran itu akan kekal dan memanfaatkan ramai lagi tokoh sedia ada yang masih hidup yang perlu disebarluaskan nasihat mereka.

Usahlah menunggu insan hebat itu tiada lagi barulah kita mahu menyebarkan khabar yang benar mengenai jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan sepanjang hayatnya.

Sepertimana yang sering dipesan oleh Almarhum Tuan Guru, sesungguhnya segala amal baik dan buruk yang kita lakukan tetap akan dikira dosa pahalanya, maka kita tidak boleh berlepas diri daripada apa jua yang ditulis dan disebarkan kepada umum

Pemergian Tok Guru ; Satu kehilangan Besar

Posted: 14 Feb 2015 11:44 PM PST

Firman Allah Taala:
مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا
Maksudnya: Dikalangan orang yang beriman itu adanya pejuang hebat yang benar terhadap janjinya kepada Allah. Dikalangan mereka ada yang telah syahid dan dikalangan mereka ada yang masih menunggu sebagai syuhada' dan mereka sesekali tidak menukar prinsip perjuangan mereka.
( Al-Ahzab: 23 )


Hari ini terasa sangat hiba, baharu sehari rakyat di Negeri Kelantan kehilangan sosok Rijal yang agung dalam harakah islamiyah dan pengasas Kerajaan Membangun Bersama Islam. Saya pernah diamanahkan sebagai Timbalan Menteri Besar oleh Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat Pada 23 Mac 2004.

Tok Guru banyak mengajar serta memberi pengalaman kepada saya dan hari ini saya sangat terasa kehilangan beliau dengan pemergian buat selamanya ini. Dialah bapa dialah sahabat saya dalam mengemudi bahtera Kerajaan Kelantan.

Masih saya ingat ketika Tok Guru meminta saya menjadi wakil rakyat pada tahun 1995 bagi sama-sama membantu beliau dalam menegakkan perjuangan Islam di Kelantan, saya terus meletakkan jawatan dengan notis 24 jam sebagai guru siswazah selama 15 tahun hanya matlamat saya semata-mata untuk berbakti kepada perjuangan islam yang diperjuangkan oleh PAS. Sebelum itu saya telah diberi amanah untuk menjawat jawatan Pengarah Pilihanraya DUN Sungai Pinang dan juga Bendahari PAS Kawasan Tumpat pada tahun 1986 demi untuk mengurus tentang kewangan kawasan secara lebih teratur.

Tok Guru kemudian meminta saya bersama berjuang dengan beliau dan sahabat-sahabat pada masa itu untuk membangunkan pentadbiran Negeri Kelantan secara lebih menepati kehendak islam dan Tok Guru memberi mandat kepada saya untuk menumpukan kepada bahagian pengurusan dan tadbir urus Kerajaan Negeri. Jawatan saya yang pertama ditugaskan oleh Tok Guru sebagai Exco Kerajaan Negeri ialah Pengerusi Jawatankuasa Industri, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia iaitu pada tahun 1997.

Saya amat tenang dan rasa lapang berkhidmat dibawah kepimpinan Tok Guru kerana beliau tersangat unik dan begitu hikmah dalam memimpin Kerajaan Negeri tambahan pula dengan kehebatan ilmu yang dimiliki dan bertaraf seorang Tuan Guru dapat memimpin sebuah Kerajaan adalah satu peristiwa terpenting yang dicatat dalam sejarah politik Negeri Kelantan

. Latar belakang pendidikannya yang berkemahiran dalam bidang tafsir, bahasa arab dan juga perundangan islam tidak sama dengan Menteri-Menteri Besar lain. Beliau sering menekankan soal mendaulatkan islam dan beliau tidak bertindak serta tidak melakukan sesuatu kecuali untuk kepentingan islam semata-mata.

Pesanannya sentiasa terngiang-ngiang ditelinga saya betapa beliau seorang murabbi yang tidak lekang daripada memberi nasihat dan tazkirah walau dimana berada. Teringat saya kepada 'kuliah senafas' yang sentiasa mendidik rohani dan memberi thaqafah di kalangan pimpinan parti, pegawai dan kakitangan kerajaan serta rakyat jelata. 'Kuliah senafas' ini sentiasa diberikan oleh beliau sejurus solat subuh setiap hari di masjid beliau di Pulau Melaka juga sebelum bermulanya mesyuarat perhubungan Negeri dan lain-lain mesyuarat.

Setiap pagi jumaat, akan kedengaran suaranya menyapa masyarakat di sekitar Bandar Kota Bharu dan selepas ini saya dan pasti seluruh rakyat akan sangat terasa dengan kehilangan sosok besar perjuangan. Rasa hormat dan rasa sayang kepada Tok Guru ini sentiasa mekar disanubari kami dan beruntunglah Tok Guru kerana Allah telah mengambilnya ketika beliau sudah mencapai taraf kekasih Allah sebagaimana sabda Nabi SAW:
إِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ عَبْدًا دَعَا جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السَّلامُ، فَقَالَ إِنِّي أُحِبُّ فُلانًا فَأَحِبَّهُ، قَالَ فَيُحِبُّهُ جِبْرِيلُ، ثُمَّ يُنَادِي فِي أَهْلِ السَّمَاءِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ فُلانًا فَأَحِبُّوهُ، قَالَ فَيُحِبُّهُ أَهْلُ السَّمَاءِ، ثُمَّ يُوضَعُ لَهُ الْقَبُولُ فِي الأَرْضِ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah apabila kasih kepada seseorang hamba-Nya lantas Allah memanggil Jibril seraya menyatakan; Sesungguhnya Aku kasih kepada si fulan maka kasihilah dia. Lalu Jibril mengasihinya dan mengumumkan kepada para penduduk langit bahawa Allah mengasihi si fulan maka kasihilah kalian semua akan dia, maka semua penduduk langit mengasihinya seraya berkata; kemudian letakkanlah rasa kasih sayang ini juga kepada semua penduduk bumi.
( Riwayat Muslim )

Sesungguhnya Tok Guru amat dikasihi oleh rakyat, walaupun terdapat rakan politik yang tidak sehaluan pandangan, mereka akhirnya tetap menghormati dan tidak berdendam kepada Tok Guru.

Hari pemergiannya, lautan manusia dari seluruh Negeri dan Negara luar turut hadir, daripada sekecil-kecil pangkat manusia hinggalah sebesar-besar pangkat dan daripada pelbagai lapisan umur, bangsa dan agama hadir memberi penghormatan terakhir kepadanya. Allahlah yang meletakkan rasa hormat dan kasih ini kepada hamba-Nya yang bagi saya telah mencapai keahlian 'Kekasih Allah' yang sentiasa diimpikan oleh kita semua dan Tok Guru telah melaksanakan dengan penuh amanah terhadap segala janjinya kepada Allah. Bersemadilah dengan tenang wahai Murabbi Ummah.

USTAZ DATO' HAJI AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan

0 ulasan:

Pimpinan

Sayap Parti

Kawasan