Pengikut

Nuffnang

Ahad, 7 Disember 2014

PAS KAWASAN KUBANG PASU

sumber :-

PAS KAWASAN KUBANG PASU


Jangan buang pahala kerana telefon bimbit

Posted: 07 Dec 2014 06:14 AM PST

TELEFON bimbit ibarat menjadi kemestian dalam hidup masa kini. Rasanya tidak sempurna hidup

tanpa alat komunikasi itu. Lebih-lebih lagi dengan gajet pintar (smart phone) banyak gunanya. Jika sesat jalan, boleh menggunakan google earth bagi mencari destinasi tujuan.

Malah di Masjidilharam, orang Malaysia kini boleh mendengar khutbah dalam bahasa Melayu menggunakan smart phone. Ia hasil inisiatif Kerajaan Arab Saudi yang menyediakan penterjemah bagi kemudahan ratusan ribu umat Islam dari rantau ASEAN mengikuti khutbah secara langsung yang disampaikan dalam bahasa arab.

Demikian hebatnya teknologi membantu kita dalam memudahkan lagi pelaksanaan ibadat harian. Bagaimanapun, terlalu obses dengan gajet tersebut secara tidak disedari boleh menyebabkan pahala ibadat kita menjadi sia-sia terutama ketika solat Jumaat.

Solat Jumaat adalah masa di mana kaum muslimin berhimpun di masjid tanpa mengira pangkat, kedudukan atau bangsa. Khutbah pula adalah satu daripada lima syarat sah solat Jumaat. Justeru, ia adalah wasilah terbaik untuk menyampai dan menerima nasihat, peringatan serta mesej-mesej ukhrawi dan duniawi kepada masyarakat Islam.

Sebab itu, Rasulullah SAW menyuruh para jemaah supaya diam dan khusyuk mendengar khutbah. Sabda nabi SAW yang bermaksud: Jika engkau mengatakan kepada sahabatmu pada hari Jumaat 'diam' padahal imam pada ketika itu sedang berkhutbah, maka sesungguhnya engkau benar-benar berkata sia-sia. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Dapatlah difahami daripada hadis ini bahawa apa pun jenis kata-kata mahupun perbualan adalah dilarang sama sekali ketika khutbah Jumaat sedang dibacakan. Ini kerana jika kata-kata seorang jemaah yang menyuruh seorang jemaah lain supaya diam dan mendengar khutbah itu pun dikategorikan sebagai sia-sia, sedangkan perbuatan itu merupakan satu suruhan ke arah kebaikan, apatah lagi kata-kata biasa atau perbualan kosong semata-mata.

Malangnya, masih ada dalam kalangan umat Islam terutama remaja yang tidak boleh berenggang dengan telefon bimbit mereka. Sehinggakan semasa khatib berkhutbah pun, ada yang melayari internet, chatting dan bermain game.

Perbuatan sebegini tidak patut berlaku kerana ia menjejaskan kesempurnaan solat Jumaat. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Sesiapa yang berwuduk dan menyempurnakan wuduknya, kemudian dia (pergi ke masjid) untuk menunaikan solat Jumaat, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah disampaikan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat itu dan hari Jumaat berikutnya dan ditambah tiga hari lagi. Dan sesiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu (ketika khutbah), maka dia telah berbuat sia-sia. (riwayat Muslim)

Adapun perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khatib membaca khutbah Jumaat boleh diqiaskan kepada maksud hadis di atas. Dalam hadis ini, Rasulullah SAW menegaskan sesiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu ketika khutbah Jumaat itu telah melakukan suatu perbuatan yang sia-sia.

Maksud 'sia-sia' dalam hadis ini adalah bertentangan dengan sunnah, adab dan mengakibatkan rugi pahala dan kelebihan-kelebihan solat Jumaat walaupun sembahyangnya masih dikira sah.

Menurut ulama, larangan itu tidak hanya terbatas terhadap bermain dengan anak batu sahaja tetapi menyeluruh terhadap semua perbuatan yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat.

Jika dinilai dan diteliti, perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khutbah dibacakan adalah lebih buruk daripada perbuatan bermain dengan anak batu kerana perbuatan seperti bermain game, melayari halaman internet, berkomunikasi melalui halaman rangkaian sosial dan sebagainya itu adalah sangat jelas lebih menghilangkan kekhusyukkan dan menjejaskan tumpuan.

Akan tetapi tidak makruh ke atas orang yang mendengar khutbah Jumaat itu berkata-kata jika berlaku darurat misalnya kerana hendak menyelamatkan orang buta yang hampir jatuh ke dalam parit atau ternampak binatang berbisa seperti kala jengking atau ular menghampiri seseorang. Maka dalam hal sedemikian, tidaklah dilarang orang yang mendengar khutbah Jumaat itu berkata-kata, bahkan wajib baginya melakukan demikian. Akan tetapi lebih baik (sunat) baginya untuk menggunakan isyarat sahaja jika dia mampu mengelakkan daripada berkata-kata.

Marilah memastikan solat Jumaat kita terpelihara daripada sebarang hal yang lagha agar kita beroleh keampunan Allah seperti yang dijanjikan dalam hadis di atas.

2015: Malaysia bakal berdepan 'darurat ekonomi'

Posted: 07 Dec 2014 06:08 AM PST

 Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menjangkakan Malaysia bakal berdepan dengan 'darurat ekonomi' pada tahun hadapan berikutan berlakunya penyusutan nilai matawang ringgit, penurunan harga minyak serta peningkatan inflasi.

Menurut beliau, keadaan cukup membimbangkan apabila nilai mata wang ringgit terus menjunam pada kadar RM3.43 untuk USD1 dan RM2.63 bagi satu Singapore Dollar (SGD1).

Penurunan ini amat tinggi yang kita alami sejak 1997 ataupun 1998, pada waktu yang sama berlaku penurunan harga minyak kepada USD70 satu tong.

"Ini semua akan meningkatkan kadar inflasi dan sekaligus bajet 2015 akan menyusut lebih kurang 30 peratus," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu bimbang apabila negara sedang menuju kepada darurat ekonomi, walaupun kerajaan menjangkakan ia boleh ditampung melalui Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

"Petronas sendiri sudah meramalkan dan umum sumbangan Petronas akan menyusut sebanyak RM25 bilion dalam bentuk cukai mahupun royalti," ujarnya.

Beliau menambah, ia satu jumlah yang besar, kebergantungan kerajaan dari hasil minyak dan gas akan tergugat.

"Jika kerajaan berharap GST dapat menampung kelompangan tersebut tetapi dalam keadaan ekonomi sedemikian rakyat akan lebih berhemah dalam berbelanja.

"Bila berbelanja dengan berhemah ini bermakna cukai GST yang disasarkan kepada RM23 bilion itu tidak akan tercapai," katanya lagi.

Beliau turut berharap dalam keadaan kritikal itu, kerajaan perlu melantik segera seorang Menteri Kewangan sepenuh masa bagi memberi tumpuan khusus kepada 'darurat ekonomi' yang bakal berlaku

PAS lancar portal berpusat

Posted: 07 Dec 2014 06:04 AM PST

KUALA KANGSAR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah melancarkan portal berpusat PAS yang bertujuan menghimpunkan semua web kendalian PAS.

Pelancaran tersebut disempurnakan ketika Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun PAS kali ke-63 di Kompleks PAS Kuala Kangsar, 30 November lalu.

Menurut Pengarah IT PAS Pusat, Suhaimi Embong, portal berpusat itu akan turut menghimpunkan web kendalian PAS termasuklah di negeri-negeri dan kawasan-kawasan.

Katanya, dengan adanya portal berpusat itu, ia akan mengatasi banyak masalah termasuklah kegagalan penyelenggaraan web yang bersarang di alam siber dengan baik.

Menurutnya, pihak IT pusat mengambil inisiatif itu apabila mendapati PAS di semua peringkat banyak membina laman portal namun gagal konsisten dalam penyeleggaraannya dan ada daripadanya tidak dikemaskini bertahun lamanya.

"Banyak web yang tidak diselenggara dengan baik akibat pertukaran jawatan parti serta pentadbiran laman portal tidak dibuat dengan cara yang teratur.

"Ini adalah salah satu usaha IT PAS untuk menambah baik pengurusan PAS dalam menyebarkan maklumat kepada masyarakat," katanya kepada Harakah.

Suhaimi menjelaskan, pembangunan web di dalam PAS bermula sekitar akhir 90-an dan telah mengalami beberapa evolusi selama 15 tahun usia Jabatan IT PAS.

Pengoperasian laman portal berpusat itu jelas beliau adalah dibawah kelolaan Jabatan IT PAS Pusat dengan kerjasama Lanjah Penerangan dan Hubungan Media PAS Pusat.

Beliau menyatakan, dalam portal berpusat atau Centralized PAS Porta (CPP) itu membolehkan setiap negeri mempunyai 'page' dan pentadbir sendiri untuk mengemaskini informasi dan berita PAS berkaitan dngan negeri masing-masing.

"Ini adalah satu lagi kejayaan PAS yang mengikut peredaran semasa dengan mempunyai kemahiran terhadap teknologi terkini.

"Ia akan menyemarakkan lagi medan dakwah ke arah mencapai matlamat perjuangan PAS," jelasnya lagi.

Ustaz ustazah ekspres, sindiran dan jenaka

Posted: 07 Dec 2014 06:00 AM PST

Oleh Subky Latif

MUNGKIN Dr. Masitah Ibrahim sekadar hendak menegur dan memberi peringatan betapa artis yang menyertai PAS sekonyong-konyong menjadi ustaz dan ustazah. Jika menjadi ustaz dan ustazah atau dijadikan ustaz dan ustazah, maka mereka akan dikira ustaz dan ustazah ekspres.
    
Yang dibimbangkannya dengan latar belakang dan pengetahuan agama mereka, ditakuti mereka menyampaikan maklumat Islam yang tidak betul. Nescaya celarulah jika yang disebarkan itu Islam yang salah.
   
Saya suka bersangka baik tentang apa yang disampaikannya dalam Perhimpunan Agung Wanita Umno sebagai perwakilan Kedah dari Baling.
   
Kebimbangannya berasas. Sebagai ilmuwan berpengetahuan PhD Islam, pernah memberi pandangan Islam yang menyesatkan. Antaranya tentang hukum ibu melacur bagi menyara anak. Sebagai Timbalan Menteri hal ehwal agama, jawapannya diharuskannya. Banyak lagi pandangan Islamnya tidak kemas.
   
Jika Masitah berpengetahuan PhD agama bercakap sesat dan menyesatkan, maka kesilapan sama boleh dilakukan oleh ustaz ustazah ekspres. Jika artis yang diketahui jahil memberi pandangan silap, kurang kesan impaknya. Tapi kalau Masitah yang  berPhD membuat kepalsuan, boleh patah tiang agama.
   
Apapun tanggapan Masitah terhadap artis itu tidak dilihat umum sebagai ingatan dan teguran, tetapi ia lebih kepada sindiran dan jenaka. Bagi pasaran dakwah, artis yang terjun ke dalam PAS lebih laris daripada Masitah yang berpengetahun tinggi Islam dari mereka. Itulah penilaian orang awam pelbagai lapisan.
   
Reaksi Abby Abadi, antara artis yang jadi PAS itu dalam sambutan 63 tahun PAS di Kuala Kangsar, penampilan mereka dalam dakwah, tidak pernah mengajar tetapi mengajak. Dibimbangi, Masitah mengajar tidak, mengajak pun tidak tetapi menyindir orang hendak kembali kepada Islam.
   
Jika mereka dipanggil ustaz dan ustazah, tidaklah mereka memintanya tetapi itulah penghormatan orang awam terhadap orang yang berhijrah kepada yang betul. Semua tahu saya bukan ustaz. Apabila saya masuk PAS, orang PAS yang saya bukan ustaz panggil saya ustaz, tak tahu pun panggil ustaz. Bukan PAS saja, Umno yang kenal saya pun panggil saya ustaz. Dari muda saya berkawan dengan Tun Musa Hitam. Dia tahu saya. Bila saya jadi PAS, dia pun panggil saya ustaz.
   
Kadang-kadang semasa solat berjemaah yang ada pegawai kanan Jakim dan pemimpin Umno yang berpengetahuan tinggi, baik bacaannya, lebih kelayakannya bagi menjadi imam, tetapi mereka tolak saya jadi imam. Apa saya nak kata apabila jadi imam ekspres? Ia bukan salah ustaz/ustazah ekspres, tetapi itulah penerimaan masyarakat termasuk orang Umno sendiri.
   
Kita arif tentang ustaz mengeletek hati, berlagu dan bergurindam dalam ceramah. Mengikut pakar, teknik dakwah sekarang pendakwah wajar berjenaka, berlagu sikit dalam dakwahnya supaya orang tidak mengantuk dan bosan. Disyaratkan pula oleh penaja Program Pencetus Ummah di TV, imam dan ustaz yang menyertainya kena berlakon, nyanyi dan melucu. Jik TG Nik Aziz dan TG Haji Hadi yang berceramah tegang dari awal menyertai Pencetus Ummah, mereka akan kalah. Apa kita hendak kata dengan ilmu dakwah yang menekankan keadaan begitu?
    
Saya tidak perkenan imam dan lebai disuruh berlakon, tetapi itulah pencapaian dakwah terbaik mengikut pakar ilmu dakwah.
   
Memanglah kita rasa tidak kena alim ulama banyak berjenaka semasa mengajar dan berceramah. Majlis ilmu bukan panggung wayang, tetapi saya bimbang Masitah yang menyebut ustaz/ustazah ekspres dan pertandingan raja lawak dalam hujah di Perhimpunan Umno itu juga sengaja hendak berjenaka. Tanpa disedari terperangkap dengan Raja Lawak juga.
   
Perhimpunan Umno boleh diisi perkara lebih penting daripada ustaz/ustazah ekspres. Seperti ucapan Muhyiddin Yassin ketika merasmi sidang Pemuda, Wanita dan Puteri. Ucapannya kelas. Saya cemburu PAS tidak dapat buat ucapan macamnya.

Kerajaan Najib tidak jujur

Posted: 07 Dec 2014 05:57 AM PST

Usul mansuh Akta Hasutan ditolak Speaker Parlimen


PADA 24 November lalu, usul pemansuhan Akta Hasutan 1948 yang dibawa Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad ditolak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Jadi bagi mendapat penjelasan mengenai usul tersebut Wartawan ROY RASUL mewancara, Setiausaha Lajnah Undangundang dan Hak asasi Manusia (LUHAM) PAS Pusat, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus

WARTAWAN: Apa pandangan saudara ber hubung penolakan usul oleh parlimen mengenai usul pemansuhan Akta Hasutan 1948? 

ABANG AHMAD KERDEE: Saya nampak kerajaan tidak jujur dalam isu ini dengan apa yang diuaruarkan sebelum ini.

Antara perkara yang Perdana Menteri maklumkan sebelum ini beliau akan beri satu bentuk pengadilan dalam setiap perkara yang melibatkan rakyat. Dalam isu ini apabila salah seorang ahli parlimen daripada Pakatan Rakyat mengusulkan supaya dibincang di peringkat parlimen ditolak.

Walaupun daripada segi pentadbiran perdana menteri boleh mengatakan itu bukan beliau yang menolak tetapi dewan rakyat. Mesej itu daripada kerajaan sendiri.

Jadi kita nampak kalau betul kerajaan ingin menjadikan usul tersebut disampaikan di parlimen itu sepatutnya dari dahulu kita faham.

Nampaknya usul yang hendak disampaikan dalam dewan rakyat itu sepatutnya dengar dahulu dan faham apa yang dibangkitkan itu.

Ini menampakkan kerajaan tidak mahu membahas langsung walaupun ada tekanan demi tekanan di luar sana biarpun ada segelintir kumpulan yang mahukan akta hasutan itu dipertahankan.

Kita lihat reaksi kerajaan sendiri terhadap akta baharu iaitu Akta Keharmonian Nasional setakat ini nampaknya masih tidak tahu apa status mengenai kemahuan untuk menggantikan Akta Hasutan itu. Hampir setahun tetapi masih tidak ada apa-apa perkembangan dan sebagainya.

Oleh itu kita hendak tahu apa pandangan kerajaan tentang status Akta Hasutan itu?

Adakah kerajaan betulbetul hendak menghapuskannya sebagaimana dimaklumkan sebelum ini atau sekadar sandiwara sebelum pilihan raya umum sebelum ini.

Bagi saya ini satu lakonan dan mungkin tahun depan akan timbul lagi polemik akta tersebut sebab pilihan raya negeri Sarawak akan diadakan. Nampaknya sekali lagi kerajaan BN akan berlakon.

Mungkin mereka akan kata Akta Keharmonian Nasional di peringkat terakhir.

Jadi ia akan menjadi seperti 'wirid' apabila dekat pilihan raya dan mereka akan bangkitkan perkara itu.

Respon saya, perdana menteri setakat ini boleh dikatakan tidak jujur dengan yang beliau sebutkan sebelum ini.

Mengapa kerajaan bersung guh mahu kekalkan akta draconian itu?

Pertama sekali itu jawapan yang diberikan perdana menteri sendiri yang mengatakan, kita mendengar luahan rakyat. Sebelum pilihan raya mereka mendengar luahan rakyat. Jadi kita pun akan mansuhkan akta Hasutan dan digantikan dengan Akta Keharmonian Tetapi sehingga sekarang tidak ada apa-apa.

Maknanya apa yang dicakapnya itu bohong. Beliau tidak dengar pun apa yang rakyat mahu.

Kesimpulannya pimpinan BN akan dengar apa sahaja suara rakyat apabila hampir pilihan raya.

Sejauh mana akta ini sebenarnya menyekat kebebasan rakyat?

Sebenarnya Akta Hasutan itu hanya perkaraperkara tertentu yang mana perkara tersebut sudah ada dalam perlembagaan dan termaktub dalam perlembagaan yang melibatkan soal agama, sultan bangsa Melayu dan sebagainya.

Perkara itu sememangnya sudah ada dalam perlembagaan.

Kenapa kita hendak wujudkan satu akta yang mahu mengawal perkara tersebut.

Jika ada berlaku juga sebarang isu hasutan, sebenarnya banyak lagi akta lain contoh akta Kanun Keseksaan atau akta Ketenteraman Awam. Kita boleh pakai akta itu. Sebabnya apabila melibatkan akta Hasutan, kuasa menteri Dalam Negeri terlalu luas dan orang awam akan nampak ruang untuk menyalahguna kuasa itu ada.

Apa cadangan lain seki ranya akta ini mahu dihapuskan?

Maknanya kena menyegerakan akta Keharmonian Nasional yang melibatkan wakil parti-parti politik.
Umpamanya PAS diwakili Ahli Parlimen, Parit Buntar, Dato' Dr Mujahid Yusoff Rawa. Ia melibatkan satu unit undang-undang dan itu kita bawa suara dari Pakatan Rakyat dan ia kena disegerakan pelaksanaan dan akta tersebut kena segerakan dan dibawa ke parlimen dan seterusnya diwartakan.

Memandangkan kini terlalu banyak isu sen timen antara kaum dan agama berlaku, layakkah akta ini dikekalkan?

Seperti mana saya sebut tadi kerana akta sudah ada dalam perlembagaan dan tidak perlu kepada akta.
Apa yang ada dalam perlembagaan semuanya sudah diterima dan sekiranya ada akta lain boleh digunapakai Banyak lagi akta lain, bukan akta hasutan sahaja yang perlu gunakan dan yang paling pen ting akta hasutan itu diwujudkan sebelum pembentukkan Malaysia. Di zaman British lagi digunapakai akta Hasutan jadi tidak boleh diwarisi kerana tidak relevan lagi. Zaman sekarang kita kena sesuai dengan kehendak semasa.

Oleh sebab itu apabila kerajaan mahu laksanakan akta Keharmonian Nasional itu makna nya Pakatan Rak yat menawarkan untuk memberi saranan agar akta yang baharu itu tidak disalahguna untuk tujuan politik.

Baru-baru ini perdana menteri mengingat rak yat tidak menjadi internet sebagai medan untuk semarakkan isu perkauman dan agama?

Dalam masa sama bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad dilaporkan berkata dalam Konvensyen Perpaduan Negara di Pusat Islam, Kuala Lumpur 24 November lalu, PAS dan Umno mesti berfikir untuk bekerjasama sekurang-kurangnya di peringkat persekutuan demi mempertahankan kerajaan daripada jatuh kepada DAP dan KeADILan.

Apa pandangan saudara?

Antara benda yang kita boleh duduk bersama semeja apabila akta baharu diwujudkan. Wakil PAS pun ada seperti Dr Mujahid.

Maknanya kita boleh duduk semeja dalam soal kepentingan rakyat untuk mewujudkan akta tersebut.
Kita boleh berbincang apabila melibatkan soal perundangan.Malah dalam parlimen sekali pun jika BN tidak mahu bahas dan sebagainya tidak mengapa.

Namun di luar sana kena tunjukkan kebersamaan kita dalam soal menghapuskan akta tersebut. Di segi ketegangan kaum pula sekarang ini, jika kita lihat ia bukan sekadar wujud tetapi di segi siasatan, pembukaan kertas siasatan atau pendakwaan pun kita boleh nampak perkara itu tidak adil.

0 ulasan:

Pimpinan

Sayap Parti

Kawasan