Pengikut

Nuffnang

Rabu, 5 November 2014

Jasindaily Online

sumber :-

Jasindaily Online


Padah Hilang Kerusi

Posted: 04 Nov 2014 08:27 PM PST

SHAH ALAM - Pada 7 Mac, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara terhadap Anwar, 67, bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 27 di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit  Damansara antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008. Tuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan. 


 Pendengaran rayuan itu pada mulanya ditetapkan dua hari mulai 28 Oktober, dilanjutkan sehingga enam hari selepas kedua-dua pihak membentangkan hujahan dengan panjang lebar. Jika Anwar kalah dalam rayuannya, Anggota Parlimen Permatang Pauh itu boleh hilang kelayakan sebagai seorang anggota parlimen sebagaimana Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan seseorang anggota parlimen boleh dilucutkan jika dijatuhkan hukuman penjara lebih daripada setahun atau didenda lebih daripada RM2,000. Ini adalah kes liwat kedua terhadap Anwar.

 Dalam kes pertama, beliau didapati bersalah kerana meliwat pemandu keluarganya Azizan Abu Bakar di Tivoli Villa di sini pada tahun 1994 dan dijatuhkan hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos, 2000. Mahkamah Tinggi telah memerintahkan Anwar menjalani hukuman itu selepas selesai hukuman penjara enam tahun ke atasnya kerana kesalahan rasuah. Mahkamah Tinggi telah menyabitkan Anwar atas empat kesalahan rasuah pada 4 April, 1999. Bagaimanapun, selepas hampir enam tahun dalam penjara, Anwar dibebaskan pada 2 September 2004, setelah Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Hakim Tun Abdul Hamid Mohamad, yang kemudiannya menjadi Ketua Hakim Negara, mengetepikan sabitan dan hukuman ke atas Anwar kerana meliwat Azizan menerusi keputusan majoriti 2-1. 

 Anwar dibebaskan apabila Abdul Hamid dan dua lagi hakim Datin Paduka Rahmah Hussain dan Tengku Datuk Baharuddin Shah Tengku Mahmud bercanggah dari segi tarikh kejadian liwat, walaupun umumnya, mereka bersetuju berlaku aktiviti liwat antara Anwar, Azizan dan adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja.

PPIM Pantau Isu Imej Berhala Pada Botol Air Mineral

Posted: 04 Nov 2014 08:24 PM PST

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyiasat dan mengambil tindakan segera berhubung imej berhala yang digunakan pada label pembalut plastik botol air mineral yang turut tertera logo halal. Penggunaan gambar berkenaan didakwa mempunyai kaitan dengan kempen Visit Malaysia 2014. 

 Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, keadaan itu bukan sahaja menimbulkan kekeliruan, malah menyentuh sensitiviti pengguna Islam dan ia perlu diberi perhatian serius kerana produk tersebut dijual secara terbuka di pasaran. "Perkara ini amat sensitif, kita gesa jualan produk ini digantung atau dibekukan serta-merta sehingga satu keputusan dibuat oleh pihak bertanggungjawab. "Kami di PPIM menerima aduan daripada dua pengguna yang terkejut dengan penggunaan lambang agama lain di atas label botol mineral yang mempunyai logo halal. "Kita tidak tahu apakah ini sengaja atau tidak. Namun ia melibatkan akidah umat Islam kerana penggunaan peralatan yang ada lambang-lambang agama lain ini adalah tidak dibenarkan dalam Islam," katanya pada sidang media, semalam. 


 Ujarnya, penggunaan lambang agama lain ini juga dikhuatiri mengandungi unsur pemujaan. "Jika mereka menjualnya tanpa menggunakan logo halal, ia tidak memberi sebarang masalah tetapi apabila ia turut menggunakan logo halal sudah tentu boleh menimbulkan kecelaruan dalam masyarakat Islam," tegasnya lagi. Sementara itu, Ketua Biro Pemantauan Perkhidmatan, Sheikh Abdul Kareem Said Khadaied berkata, sebagai sebuah syarikat pengeluar air, pihak berkenaan perlu sensitif dengan hal berkenaan. Katanya, penggunaan imej berhala itu amat tidak wajar dan menunjukkan pihak berkenaan tidak menghormati agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan. "

Sejauh mana mereka sensitif terhadap agama persekutuan dan menghormati nilai perlembagaan negara. Dengan penggunaan logo halal, ia juga seperti satu penghinaan kerana menyebabkan kekeliruan. "Menerusi Akta Perihal Dagangan juga tidak membenarkan penggunaan simbol keagamaan yang menyentuh sensitiviti," katanya. Bagi seorang lagi aktivis PPIM, Mohd Mustaffa Hamzah, pengguna Islam juga perlu lebih berhati-hati dan berharap kerajaan memandang serius hal ini dengan tidak menggunakan perkhidmatan syarikat yang dimonopoli oleh mereka yang tidak sensitif dengan umat Islam di negara ini. "Satu laporan polis akan dibuat esok (hari ini) berhubung perkara ini, dan kita mahu pihak polis siasat kerana ia melibatkan isu sensitif," katanya. 

 Ketua Unit Komunikasi Korporat KPDNKK, Akhtar Sahari berkata, hasil semakan pihaknya mendapati penggunaan label imej berkenaan tidak menyalahi perihal akta perdagangan. "Dari penelitian saya, gambar berkenaan adalah salah satu promosi oleh Kementerian Pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014," katanya. Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di beberapa pasar raya dan kedai runcit mendapati ia dijual seperti biasa. Daripada penilitian, terdapat sekurang-kurangnya tujuh gambar lokasi pelancongan menarik di Malaysia turut dijadikan label pada pembalut plastik botol air mineral yang dipasarkan. Manakala, bahagian bawah gambar setiap label berkenaan turut tertera ringkasan maklumat berhubung lokasi pelancongan yang dipamer. 

 Bagaimanapun ia hanya tertera pada label di botol mineral bersaiz kecil sahaja. Sementara itu, pengurus sebuah pasar raya yang enggan dikenali berkata, dia tidak menyedari sejak bila label berkenaan digunakan untuk bekalan air mineral jenama berkenaan. Bagaimanapun katanya, sebelum ini tiada sebarang label berkaitan 'Visit Malaysia 2014'  tertera pada botol mineral itu. "Biasanya dapat stok, kita akan terus susun di rak. Tidak pasti sejak bila ada gambar-gambar lokasi pelancongan ini," katanya.

Kurang Beri Komitmen : PAS Sangkal Dakwaan DAP

Posted: 04 Nov 2014 06:12 PM PST

MUAR - Pas menyangkal dakwaan DAP yang menyifatkan parti itu tidak menunjukkan komitmen kepada PR berhubung krisis Menteri Besar Selangor, baru-baru ini. Adun Maharani, Dr Mohamad Taslim berkata, parti itu menolak Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana berpegang teguh kepada prinsip parti berkenaan serta keputusan yang dibuat itu atas persetujuan bersama Majlis Syura.

 "Seperti mana dalam perjanjian asal prinsip PR, ada perkara yang dipersetujui, tetapi prinsip parti masing-masing tidak berubah. "Bagaimanapun, dalam kes itu (pertukaran menteri besar) rakan pakatan perlu menghormati prinsip Pas dan tidak perlu menyindir parti ini dalam majlis terbuka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Beliau mengulas ucapan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada Konvensyen parti itu yang dipetik KiniTV yang menyifatkan dalam PR ada parti yang 'cakap tak serupa bikin'. Meskipun Guan Eng tidak menyebut nama parti itu, namun dipercayai sindiran itu merujuk kepada Pas. Menurutnya, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini bersetuju menyertai pakatan Langkah Kajang dalam pilihan raya kecil Dun Kajang kerana tidak mengetahui tujuan sebenar pilihan raya tersebut untuk menukar Khalid. "Kita (Pas) juga tidak setuju kerana melihat  tidak ada alasan kukuh mengapa Khalid perlu ditukar kepada kepimpinan yang baharu. 

 "Rakyat keseluruhannya mahu Khalid dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor kerana kecemerlangan  beliau mentadbir negeri dalam keadaan yang baik," katanya. Katanya, beliau tidak menafikan krisis tersebut telah memberi kesan kepada parti tersebut dan menegaskan Pas masih kekal dalam PR serta  akan bekerjasama menghadapi PRU14. Katanya, Pas bertanggungjawab untuk merealisasikan hasrat membentuk kerajaan alternatif bagi membantu rakyat menjalani kehidupan lebih baik berbanding kini terbeban dengan kenaikan kos sara hidup. Katanya, beliau terkilan sindiran itu dibuat secara terbuka dan tidak sepatutnya dilakukan sedemikian kerana menjejaskan imej parti./sinarharian

Rehat Ilmiah Bersama Tuan Guru Presiden PAS

Posted: 04 Nov 2014 05:08 PM PST

 Biasanya waktu rehat jam 1.00 petang, pejabat sunyi sahaja tetapi hari ini ia berubah menjadi majlis ilmu. Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Marang singgah berehat di Tingkat 14. Asalnya bersembang biasa sahaja kemudian ia berubah menjadi perkongsian ilmu dan pengalaman Tuan Guru. Lantas, pen dan kertas dicapai untuk merekodkan butir-butir penting mutiara ilmu Tuan Guru. Berikut antara isi catatan tersebut:

Tuan Guru bercerita mengenai kisah Tun Salleh Abas, mantan Ketua Hakim Negara yang pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri Terengganu ketika PAS mentadbir tahun 1999-2004 dahulu. Beliau merupakan insan yang kuat berpegang kepada agama, rajin juga bertanya kepada Tuan Guru selepas Kuliah Jumaat di Rusila, berperwatakan merendah diri tapi tegas dalam soal undang-undang. Pernah ketika Sidang Dun berlangsung, Tun Salleh meninggikan suara dan berkata "Sit Down..!" kepada Adun UMNO yang bangun bertanya seolah-olah suasana di dalam Mahkamah. 


Gerun bagi sesiapa yang melihatnya.  YB Hanipa Maidin yang ada bersama ketika kami bersembang ini turut menceritakan kisah Tun Salleh yang begitu dihormati dalam kalangan warga mahkamah atas ketegasan, nilai integriti dan taat beragama.  Kemudian perbincangan berkisah kepada soal perbezaan Mazhab. Tuan Guru bercerita ketika beliau menuntut ilmu di Madinah dahulu, beliau belajar mengenai perbezaan Mazhab termasuklah mengenai Syiah, Khawarij, Muktazilah dan juga agama-agama lain. Pada zaman dahulu, mazhab tidak pun dijadikan asas untuk berbalah sesama sendiri tetapi saling menghormati. Sebagai contoh, Imam Syafie sendiri belajar daripada anak murid kepada Imam Abu Hanifah iaitu Al Syaibani. 

 Tuan Guru meneruskan mengenai kisah Imam Syafie yang pernah dituduh berfahaman Syiah. Imam Syafie pernah diuji dengan soalan bagaimana hukum terhadap 5 orang lelaki yang merogol seorang wanita..? Imam Syafie berkata yang pertama itu dibunuh, yang kedua itu direjam sampai mati, yang ketiga itu disebat 100 kali, yang keempat pula disebat 50 kali dan yang kelima itu dibebaskan. Mereka yang bertanya mengapa hukuman sedemikian rupa..? Imam Syafie pun menjawab : 🔸yang pertama itu kerana dia berkata zina itu halal maka hukum murtad jatuh kepadanya, 
🔸yang kedua pula dia lelaki yang sudah berkahwin, 
 🔸yang ketiga pula dia masih bujang, 
 🔸yang keempat pula dia seorang hamba,
 🔸manakala yang terakhir itu orang gila maka dia pun dibebaskan. 

mam Syafie begitu menitikberatkan soal kebersihan maka tidak hairanlah adanya kitab ensiklopedia binatang yang ditulis Ad Dalimi yang mengandungi penerangan terperinci mengenai ratusan binatang. Tuan Guru berkata beliau merujuk kitab tersebut untuk mengetahui mengapa Imam Syafie tidak membenarkan orang Islam makan Burung Merak. Hal ini kerana jika limpanya pecah ia boleh menyebabkan sesiapa yang memakannya menjadi gila. 

Seterusnya, Tuan Guru menekankan peri-pentingnya mempelajari Sejarah supaya ilmu Akidah,Feqah, dan Ibadah yang dipelajari itu dapat difahami dalam konteks asal-usulnya. Tuan Guru juga menyebut kepada YB Ustaz Ahmad Baihaki, akan pentingnya diadakan seminar kepada Tok-Tok Guru Pondok agar pembaharuan manhaj/silibus dapat dibuat khususnya tentang pelaksanaan Islam dalam konteks masyarakat majmuk.   Tuan Guru menerangkan ulama terdahulu sudah pun membuat pembahagian 4 jenis orang bukan Islam yang tinggal dalam negara umat Islam iaitu: 

a) mereka yang tidak masuk Islam tetapi bersetuju dengan pentadbiran Islam  
b) mereka yang tidak bersetuju dengan pentadbiran Islam  
c) mereka yang diam sahaja (tidak jelas pendirian mereka) d) mereka yang menjadi ejen kepada musuh (golongan ini yang perlu ditentang) Ini membuktikan PAS mempunyai ruang dan peluang untuk berdakwah dan mendapatkan sokongan bukan Islam. 

Dulu pada tahun 1960an, Timbalan Yang Dipertua PAS, Almarhum Profesor Zulkifli Muhammad pernah dikepung keretanya kerana mencadangkan PAS ini dibuka keahliannya kepada orang bukan Islam tetapi hari ini PAS sudah pun mempunyai Dewan Himpunan Penyokong P AS.   Perbincangan kian rancak apabila memasuki topik Politik Antarabangsa yang sememangnya merupakan bidang kepakaran Tuan Guru. Beliau bercerita mengenai Sarekat Islam yang ditubuhkan di Indonesia yang menjadi saingan kepada Syarikat Hindia Timur Belanda dan British. Sarekat Islam ini kian berpengaruh dan membuka banyak cawangan di Tanah Melayu. Gerakan Islam ini menjadi pencetus lahirnya gerakan Muhammadiyyah dan Majlis Syura Muslimin Indonesia (Masyumi).   

Kemudian, Tuan Guru menceritakan dengan terperinci asal usul ISIS dan Al Qaeda. ISIS ini terdiri daripada 3 kumpulan:
 a) Tajaan Amerika, CIA, Negara Arab 
 b) Puak Khawarij yang menjatuhkan hukum Kafir kepada sesiapa yang menentang mereka 
c) Kelompok bekas Mujahidin di Afganistan, dan negara lain yang tidak dibenarkan pulang ke negara asal mereka. Isu ini begitu komplikated untuk kita memahaminya.

Tuan Guru merasakan amat kesal atas apa yang berlaku dan benarlah ini zaman fitnah yang mencelarukan. Senjata dibekalkan oleh kuasa-kuasa besar Kuffar digunakan oleh kelompok ekstrem tersebut untuk bertempur sesama umat Islam sendiri yang menjadi mangsa. Perbezaan mazhab, Sunni-Syiah dijadikan alat untuk memecah-belahkan umat Islam dan Barat sanggup membuat apa sahaja untuk menyekat kebangkitan gerakan Islam di mana sahaja.  

 Tuan Guru menceritakan hubungan rapat beliau dengan Almarhum Erbakan, pemimpin parti Refah yang pernah menjadi Perdana Menteri Turki. Tuan Guru diberikan peranan penting untuk menjadi pendamai antara kelompok yang bertelagah dalam pelbagai krisis sejak dahulu lagi.  Akhir sekali, Tuan Guru menyebut bahawa beliau sering menasihatkan agar para penyokong PAS agar tidak terbabit dengan kegiatan dan fahaman ekstrem. Pihak tertentu sememangnya sering cuba untuk mengaitkan PAS dengan kelompok yang menyimpang tersebut seperti Al Maunah dan KMM dahulu. Melihatkan kedalaman dan keluasan ilmu Tuan Guru yang mampu berhujjah dan berkongsi ilmu secara spontan sedemikian rupa membuatkan saya hanya mampu berdiam diri dan mencatat sahaja apa isi penting yang disampaikan oleh beliau. 

Ayat Quran, Hadis, Hukum Fiqh, Nama Kitab.Syair Arab, Fakta Sejarah disebut dengan begitu mudah oleh Tuan Guru.Terdetik di dalam hati, tidak hairanlah insan hebat yang sedang berbicara di hadapan ini sudah dilantik sebagai Naib Presiden Kesatuan Ulamak Sedunia. Sedar tidak sedar, santai majlis Ilmu yang tidak dirancang ini berlangsung selama hampir 1 jam 30 minit.. Tuan Guru pun bertolak pulang dan memaklumkan bahawa beliau akan datang berbahas Bajet 2015 di peringkat Jawatankuasa pada Isnin depan.

Catatan : Syed Ahmad Fadhli ( Pegawai Pejabat Agong yang bertugas di Parlimen)

0 ulasan:

Pimpinan

Sayap Parti

Kawasan