Pengikut

Nuffnang

Rabu, 8 Oktober 2014

PAS KAWASAN KUBANG PASU

sumber :-

PAS KAWASAN KUBANG PASU


Haji lambang kesatuan umat Islam

Posted: 08 Oct 2014 07:15 AM PDT

Oleh Hasri Harun

AIDILADHA menjadi saksi kepada beberapa ibadah istimewa yang dikhususkan dalam bulan mulia ini. Antara ibadah yang istimewa ini adalah ibadah korban yang melambangkan pengorbanan umat manusia bagi Tuhan Maha Pencipta.

Pada Aidiladha juga, umat Islam seluruh dunia berhimpun di Tanah Suci untuk menegakkan rukun Islam kelima iaitu ibadah haji.

Di samping mendidik umat Islam untuk sanggup berkorban dengan meninggalkan keluarga dan harta demi Allah SWT dan Rasul-Nya, ibadah haji juga mengajak umat Islam bersatu demi mencapai matlamat yang mulia bersama.

Ibadah haji lambang puncak kesatuan umat Islam sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya umatmu ini adalah umat yang satu dan aku adalah Tuhanmu maka sembahlah aku." (Surah al-Anbiya', ayat 92)

Begitulah kehidupan di dunia ini, kita dituntut oleh Allah SWT untuk menyembah-Nya dan mengagungkan-Nya. Kewujudan kita di muka bumi ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk mengabdikan dan menyerahkan diri kepada-Nya.

Pastinya segala amal ibadah yang dilakukan tidak kira apa juga rupa dan bentuknya adalah untuk kita mendapat keredaan serta pahala daripada Allah SWT.

Korbankan keselesaan hidup

Pada musim haji ini, saudara kita mengorbankan masa, tenaga dan keselesaan hidup bersama keluarga untuk menunaikan kewajipan haji. Semoga tercapai cita-cita mereka mendapat haji mabrur, yang mana tiada ganjarannya melainkan dikurniakan syurga.

Bagi sebahagian daripada kita yang akan mengerjakan ibadah korban, pastinya kita ingin mendapatkan pahala daripada ibadah ini dan dihapuskan segala dosa. Tujuan untuk mendapat pahala dalam mengamalkan ibadah adalah satu tujuan murni.

Namun, selain mencari pahala, ada tujuan lebih besar di sebalik melakukan amal ibadah iaitu untuk mengukuhkan lagi keimanan kepada Allah SWT dan menambahkan lagi kecintaan kepada Baginda Rasulullah SAW.

Inilah yang dimaksudkan dengan kemanisan iman yang tidak dapat digugat walau apapun dugaan dan cabaran dihadapi. Bagi mencapai kemuncak keimanan, amal ibadah yang dilakukan perlu memberi kesan pada diri dan kehidupan kita. Amal ibadah yang kita lakukan perlu melahirkan nilai mulia dalam diri kita.

Antara nilai yang dapat kita pelajari daripada Aidiladha adalah pengorbanan dan perpaduan. Bersempena hari mulia ini bersamalah kita pelajari kepentingan nilai dan menerapkannya dalam kehidupan.

Ibadah korban mencontohi sejarah Nabi Ibrahim yang bersedia mengorbankan anak kesayangan demi mentaati perintah Allah SWT. Pengorbanan pertama dilakukan Nabi Ibrahim apabila baginda meninggalkan anaknya, Nabi Ismail yang masih kecil bersama ibunya di sebuah lembah gersang dan kering kontang.

Pengorbanan kedua ialah Nabi Ibrahim sanggup menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail yang sudah meningkat dewasa dan Nabi Ismail pula sanggup dikorbankan kerana mentaati perintah Allah SWT.

Cerita ini diabadikan oleh Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: "Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi (sebagai satu perintah) bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati aku dari orang yang sabar. Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah itu) dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya atas tompok tanah (untuk disembelih) serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim, engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu, demikianlah sebenarnya kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan." (Surah as-Saffat, ayat 102-105)

Peristiwa itu bukanlah hanya untuk mengembalikan syiarnya sahaja tetapi yang lebih utama dan perlu dihayati ialah nilai pengorbanan dalam kehidupan. Untuk menjadi seorang yang berjaya di dunia dan akhirat, kita perlu ada pengorbanan.

Kita perlu sanggup berkorban sesuatu perkara yang kita sayangi dan cintai demi mencapai matlamat yang lebih utama. Contohnya, kita inginkan anak Islam berjaya. Impian ini pasti memerlukan pengorbanan kewangan, masa, memberi kasih sayang dan sokongan.

Selain nilai pengorbanan, ibadah haji juga mengajar nilai kesatuan, perpaduan dan kasih sayang dalam kehidupan. Saat ini umat Islam dari seluruh pelosok dunia berada di Tanah Suci melaungkan takbir, tahmid dan tasbih mengagungkan Allah SWT.

Baginda Rasulullah SAW bersabda: "Perumpamaan orang mukmin dalam keadaan berkasih-sayang, rahmat-merahmati dan bersikap lemah lembut sesama mereka, adalah seperti sebuah jasad, jika salah satu anggota merasakan kesakitan, anggota lain juga akan mengadu kesakitan." (Riwayat Imam Muslim)

Hubungan di antara manusia adalah berlandaskan rahmat, kesejahteraan dan kasih sayang. Dalam kehidupan seharian kita, nilai perpaduan dan persaudaraan penting demi untuk memastikan kerukunan, kejayaan serta kesejahteraan terus kekal.

Perlu saling melengkapi

Kita tidak mampu bergerak sendiri sebagai individu dalam menangani cabaran besar dalam masyarakat. Seharusnya kita saling memperlengkap kekurangan yang terdapat dalam masyarakat.
Kita kini mengalami pelbagai cabaran sosial seperti keluarga pincang dan berpendapatan rendah dan gejala sosial yang semakin meruncing. Di samping itu, dengan saluran maklumat yang tidak terbatas, kita juga terdedah kepada pelbagai pola fikir sama ada yang baik ataupun yang tidak sihat.

Bukan sahaja emosi bahkan minda kita turut tercabar untuk terus kekal relevan dan selesa beragama dalam konteks global hari ini. Untuk menghadapi cabaran demikian, selain pembangunan daya tahan individu, masyarakat perlu menggembleng tenaga bersatu dan bekerjasama untuk mengatasinya dengan berkesan.

Kita tidak boleh berhenti setakat mengetahui masalah dan cabaran atau memberikan komen kosong semata kerana semua itu tidak akan mendatangkan perubahan. Kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh dan memikirkan untuk diri kita sahaja.

Semoga dengan menghayati semangat pengorbanan dan kesatuan di hari yang mulia ini, masyarakat Islam dapat menjadi contoh yang baik buat masyarakat lain. Penghayatan nilai pengorbanan dan perpaduan, kita akan mencapai kemuncak keimanan dan kemanisannya.

Penulis ialah Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Elak buat kenyataan jejaskan imej parti

Posted: 08 Oct 2014 07:10 AM PDT

Oleh ABD SHUKUR HARUN

SESEORANG itu dilihat kebodohannya apababila ia membuka mulutnya.Ini sebuah pribahasa klasik Inggeris yang sangat dalam maknanya, iaitu bagaimana seseorang itu tanpa disedarinya boleh memperlihatkan kebodohannya apabila ia berkata-kata.

Adakah ini bermakna seseorang itu perlu lebih banyak membisu saja, tanpa menyatakan apa-apa akan apa yang terjadi? Tentunya tidak begitu. Ini kerana sama ada ia seorang tokoh politik, atau tokoh pelbagai bidang yang lain, boleh saja memberikan pandangan, asalkan munasabah, cukup dengan fakta dan alasan kukuh, selepas lama difikirkan.


Dalam hal ini, secara umum, antara golongan yang paling banyak bercakap ialah ahli politik. Mereka bercakap siang dan malam, di medan ceramah, di pelbagai mesyuarat, seminar, dialog ketika bertemu rakyat, membuat kenyataan akhbar atau bercakap di depan sidang media, di face-book, twitter dan pelbagai lagi.

Maka itu, kata-kata mereka itu akan diikuti oleh rakyat dan tentunya rakyat menilai kualiti, atau daya intelek seseorang tokoh politik itu. Ini menyebabkan sang tokoh itu terdedah kepada penilaian masyarakat dari sudut imej dan persepsi.

Ini berlaku kerana sang tokoh adalah milik parti yang dianggotainya, tidak kira statusnya dalam parti itu,  justeru media – lebih-lebih lagi media musuh politiknya  – akan segera mengaitkan kenyataannya itu dengan partinya.

Sama ada kenyataannya itu adalah pendapat peribadinya atau suara partinya, namun rakyat mengasosiasikannya dengan parti yang dianggotainya. Maka itu, pendukung parti politik perlulah waspada akan hal ini, supaya kenyataannya itu tidak menjadi beban kepada parti yang didukungnya,  yang  mengakibatkan persepsi dan imej buruk kepada partinya sendiri.

Di Malaysia, tidak kurang riuh rendahnya kenyataan politik pelbagai pihak yang menyebabkan suasana politik di negara ini menjadi jungkir balik, kata orang Indonesia.

Hampir setiap hari ada saja kenyataan yang kadang-kadang 'mengerikan' apabila rakyat mendengar dan membacanya, malah ada yang jadi bahan tertawaan kerana lucu, tidak munasabah, malah, mengarut.

Di kalangan PAS sendiri, pelbagai kenyataan yang serupa itu sering bermunculan, menghantar isyarat bahawa sesetengah pendukung PAS mempunyai kecenderungan luar biasa untuk membuat kenyataan.

Sehubungan itu, timbullah isu wala' dan tidak wala' atau setia dan tidak setia ahli kepada parti dan pemimpin, di mana isu ini telah sekian lama berlegar di kalangan ahli PAS, atas pelbagai sebab tertentu. Isu yang sangat merimaskan ini rupanya semakin dibubuh baja, direndangkan dan disegarkan, tanpa memikirkan akibatnya yang boleh mencederakan parti itu sendiri.

Maka itu, jika isu ini tidak ditangani dengan bijaksana dan berkesan, ia akan menyebabkan berantakan sesama ahli, yang akhirnya partilah yang rugi.

Menurut pendapat saya, masih tetap ada di kalangan pimpinan dan pendukung PAS yang mahukan isu wala' ini diselesaikan segera kerama menyedari kesan buruknya. Oleh itu ia perlulah disokong.

Berhubungan dengan pelbagai kenyataan yang keluar dari segelintir pendukung PAS, saya tertarik dengan kenyataan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Hanipa Maidin mengulas mengenai dakwaan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang mengatakan wujud konspirasi antarabangsa untuk menjatuhkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura Ulama. Hanipa menyangkal kenyataan Nik Abduh itu, malah menganggapnya sebagai pandangan peribadi semata-mata.

Menurut Ahli Parlimen Sepang itu, walaupun pihaknya mengakui sayap ulama parti itu sering dikritik sejak kebelakangan ini, tetapi itu tidak bermakna ia didalangi negara luar untuk menjatuhkan imej parti Islam itu dan pemimpinnya.

"Saya rasa kuasa besar dunia pun ada banyak masalah lain hendak difikirkannya daripada (merancang) konspirasi," kata Hanipa.

Seorang lagi AJK PAS Pusat, Khalid Samad pula menganggap Nik Abduh membuat andaian tanpa asas kukuh.

Katanya, situasi konflik di negara Timur Tengah tidak boleh diramalkan akan sama berlaku di Malaysia.
"Kena ada asas untuk buat andaian. Asas dia apa? Kalau kata usaha hendak jatuhkan ulama (PAS), siapa yang nak jatuhkan?" kata ahli Parlimen Shah Alam itu.

Khalid berkata, teguran yang dibuat ahli PAS dan pihak luar terhadap Majlis Syura tidak bererti mahu menjatuhkan badan tertinggi PAS itu.

"Kepimpinan ulama dijamin dalam perlembagaan (parti), tetapi janganlah mengagap pelbagai pandangan berbeza itu sebagai usaha hendak menjatuhkan kepimpinan ulama, kerana berbeza pendapat itu perkara biasa," katanya.

Berhubung dengan dakwaan wujudnya konspirasi itu, maka sudah tentu pelbagai pihak menuntut pembuktian yang nyata jika ada. Oleh itu, sebarang dakwaan ia mesti didukung oleh asas yang kukuh dan munasabah, bukan agak-agak atau berdasarkan bacaan politik yang naïf. Jika ada bukti yang kukuh, barulah boleh dipercayai.

Sementara itu, perlulah diakui hakikat bahawa PAS yang kini sudah berusia 60 tahun memiliki sejarahnya yang unik. Ahlinya mencapai 1.3 juta orang dari pelbagai golongan, latar belakang pendidikan, ekonomi, keluarga, budaya dan tradisi yang membentuk pelbagai cara berfikir dan pandangan.

Tetapi walaupun wujud warna warni kepelbagaian mereka, namun selepas mereka menyertai PAS, mereka sangat istiqmah dengan dasar dan perjuangan parti. Tidak ada siapapun yang berhak mencabar wala' atau kesetiaan mereka, walaupun diakui ada segelintir pendukung PAS –sepanjang sejarahnya - yang tersingkir dari jamaah atas pelbagai sebab tertentu.

Dengan itu sewajarnyalah diterima hakikat kepelbagaian pendapat dalam jamaah dalam usaha mendapatkan keputusan terbaik. Ini kerana Seerah Nabi SAW sendiri menyerlahkan hal ini. Cuma apabila sesuatu telah diputuskan oleh parti, maka semua pihak wajib mematuhinya.

Oleh itu, jika semua ahli matang berpolitik, memahami fikul-waqie, mamahami kaedah dan struktur parti, saya kira pelbagai kenyataan kontrovesi dan tidak munasabah tidak akan bermunculan lagi.

Sewajarnyalah setip ahli sentiasa memikirkan secara positif akan hal ini, bagaimana hendak memperkukuh parti, meningkatkan perpaduan supaya dapat menyerlahkan imej dan persepsi cemerlang kepada masyarakat. Ini kerana masyarakat sedang memerhati dan mengadili PAS.

Begitulah hendaknya dan ini adalah sebuah harapan.

Maafkan adik, adik yang tersilap

Posted: 08 Oct 2014 07:08 AM PDT

Oleh TUAN IBRAHIM TUAN MAN

Alkisah dua beradik

Satu masa dahulu, ada dua beradik yang tinggal di dua kebun bersebelahan telah berbalah dan berkelahi antara satu sama lain.

Ia adalah satu pertelingkahan yang serius dalam tempoh 40 tahun untuk dua adik beradik petani berjiran ini, yang berkongsi tanah, peralatan, pekerja dan hasil untuk sekian lama.


Kerjasama utuh antara dua adik beradik sebelum itu akhirnya berkecai. Ia bermula daripada satu salah faham yang kecil sehingga menjadi satu masalah yang besar sehingga akhirnya pertukaran kata-kata melampau serta melukakan hati diikuti dengan perang dingin berminggu lamanya.

Satu hari, ada seorang datang mengetuk pintu rumah si abang. Lalu abang membuka pintu dan melihat seorang yang penuh dengan peralatan pembinaan.

"Saya sedang mencari kerja untuk beberapa hari," kata Riduan. "Bolehkah abang beri berikan beberapa tugas kecil yang saya boleh buat?"

"Ya," jawab si abang. "Saya ada kerja untuk saudara. Lihat parit besar di kebun belah sana itu. Dia jiran saya. Oh tidak, sebenarnya dia adik saya. Minggu lepas kami bergaduh besar, dan dia ambil bulldozer lalu mengorek dari sungai itu dan membina parit antara dua kebun kami. Adik saya telah melakukan ini untuk menunjukkan dia benci kepada saya. Saya nak buat yang lebih baik untuk balas dendam."

"Lihat kayu balak di belakang kebun saya. Saya nak saudara binakan satu pagar 8 kaki tinggi mengelilingi kebun saya supaya kebun dia tidak lagi saya kelihatan buat selama-lamanya," tambah si abang lagi.

Riduan mengangguk. "Saya faham situasi encik. Berikan saya paku, mesin untuk mengorek lubang dan saya akan siapkan kerja yang encik mahu itu."

Selepas itu, si abang itu terpaksa ke bandar selama seminggu untuk mencari pelanggan baru.

Setelah menyediakan semua bahan mentah untuk Riduan, si abang terus ke bandar.

Selama seminggu, Riduan bertungkus lumus menyiapkan kerja sebaik mungkin. Hampir seminggu, kerja yang dijanjikan hampir siap.

Si abang kembali daripada bandar dengan harapan menyaksikan pagar 8 kaki telah terbina.

Setibanya di kebun, si abang terkejut sehingga ternganga mulutnya melihat apa yang dibuat Riduan dan terus berasa marah dan menjadi bengis.

Tiada pagar 8 kaki, tapi satu jambatan melintasi parit yang dibina adiknya menyambung kedua-dua kebun bersama kembali.

Apabila terjumpa Riduan, si abang dengan marah mahu berkata, tetapi belum sempat dia berkata, si adik menyampuk "Apa awak buat." Rupa-rupanya adiknya telah datang ke kebun abang setelah jambatan itu siap.

"Tak sangka setelah kata-kata kesat dan melampau adik pada abang, abang masih bina jambatan menghubungkan dua kebun ini. Maafkan adik. Adik yang tersilap. Adik sayang abang," kata adik kepada abang.

Kemarahan abang pada Riduan kini bertukar menjadi kagum dan terhutang budi.

Riduan mula mengumpulkan barangnya untuk beredar.

"Mana kamu nak pergi? Banyak lagi kerja untuk kamu!" kata si abang.

"Saya nak pergi, terdapat banyak lagi jambatan yang sedang menunggu saya untuk dibina," kata Riduan.

"Mengapa saudara berani buat jambatan dan bukannya pagar seperti yang diminta?" tanya si abang yang masih tidak memahami niat Riduan.

"Apa gunanya kehebatan ilmu membina saya jika saya gunakannya untuk galakkan permusuhan dan bukan persahabatan antara dua adik beradik yang hanya marah kerana tersilap kata?

"Apa gunanya umur panjang kalau kita biarkan mereka yang dalam kebencian hidup dalam kebencian tanpa cuba membantu mereka?" jawab Riduan.

"Hidup ini singkat. Jangan bazirkan dengan membiarkan kebencian, kemungkaran, ketidak-adilan dan kezaliman berterusan. Bantu setakat boleh untuk Allah swt," tambah beliau lagi.

Wahai anakku,

Aku ceritakan ini untuk engkau mengerti perbezaan orang yang positif dengan yang negatif. Jika kamu seorang yang positif, kamu akan selalu berfikir untuk menyelesaikan masalah.

Sebaliknya jika engkau seorang yang negatif, kamu akan selalu menimbulkan keburukan dan mencari masalah.

Wahai anakku,

Jika kamu seorang yang positif, kamu akan suka meringankan masalah sekiranya engkau seorang yang negatif, kamu suka merumitkan masalah.

Jadilah seorang yang positif dengan mengecilkan masalah yang besar, daripada menjadi seorang yang negatif membesarkan masalah yang kecil.

Senyum kerana Allah menyuruh kita terus berusaha untuk mencapai kemenangan.

Ibadat haji selesai dengan sempurna

Posted: 08 Oct 2014 07:05 AM PDT

MEKAH . - Pihak Berkuasa Arab Saudi menyifatkan haji tahun ini adalah yang paling berjaya
selepas lebih dua juta umat Islam dari seluruh pelusuk dunia selesai menunaikan rukun Islam kelima itu dengan aman dan sempurna.

"Haji 1435 merupakan satu kejayaan besar, saya bersyukur kerana jemaah haji dapat menunaikan ibadat dengan mudah dan dalam keadaan selesa," kata Gabenor Mekah, Putera Mishaal Abdullah.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Abdullah, Putera Mahkota Putera Salman, Timbalan Putera Mahkota, Putera Muqrin kerana kelancaran operasi.

Beratus-ratus jemaah haji bergerak dari Mina selepas mengerjakan wajib haji iaitu melontar sebagai simbolik menghalau syaitan dengan melempar tujuh biji anak batu di tiga jamrah.

Walaupun cuaca panas tetapi pergerakan ke jamrah berjalan dengan teratur tanpa sebarang gangguan.
Seorang jemaah dari Mesir, Ahmad Al-Masri memberitahu Arab News bahawa ini kali ketiga dia mengerjakan haji.

"Kali pertama saya datang pada 1994 dan saya tidak boleh bayangkan bagaimana sukarnya menunaikan haji pada masa itu," katanya.

Menurutnya, ketika itu tiada perkhidmatan kereta api dan jemaah haji terpaksa berjalan beberapa kilometer antara tanah suci, Mina dan Arafah.

Kerajaan Arab Saudi layak mendapat pujian kerana berjaya melaksanakan tugas mengurus jemaah haji dengan baik pada tahun ini.

BAM belum ketandusan pemain - Norza

Posted: 08 Oct 2014 07:00 AM PDT

KUALA LUMPUR - Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih belum cemas terhadap kegagalan pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei menembusi kekebalan jaguh dari China pada Sukan Asia di Incheon yang lalu kerana badan induk itu mendakwa mereka sudah pun mengenal pasti wajah-wajah baharu ya ng boleh diketengahkan untuk diasah bakat sebagai persediaan ke Rio de Janeiro.

Timbalan Presidennya, Datuk Mohamad Norza Zakaria berkata, isu ketandusan pemain atau pun kebergantungan kepada jaguh No. 1 dunia itu dalam acara perseorangan lelaki sebenarnya tidak timbul kerana BAM telah memiliki pelan jangka panjang untuk menghadapi Sukan Olimpik 2016.
"Meskipun kita tidak ada pemain yang setaraf seperti dia (Chong Wei), namun pada pengamatan saya, kita masih memiliki beberapa pemain yang mempunyai bakat dan boleh melangkah lebih jauh. Kita masih ada masa untuk membentuk pemain-pemain ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.

Pada Temasya Incheon yang lalu, menyaksikan Chong Wei sekali lagi kecundang di tangan seteru lamanya dari China, Lin Dan pada separuh akhir dan kegagalan tersebut bermakna pemain yang berasal dari Pulau Pinang itu menamatkan kariernya tanpa kilauan emas di Sukan Asia.

Chong Wei meraih pingat sulungnya yang berupa gangsa pada temasya di Doha 2006 dan Sukan Asia 2010 di Guangzhou pula dia sekali lagi dikecewakan Lin Dan pada pertarungan akhir yang menyaksikan pemain itu sekadar berpuas hati memenangi pingat perak.

Menurut Norza, BAM memiliki dua tahun untuk melakukan persiapan rapi dan menjelang 2016 kelak, Chong Wei diberi jaminan tidak lagi akan dibebani dengan tanggungjawab mengejar pingat emas Sukan Olimpik kerana bakal ditemani rakan sepasukan yang berupaya menghadirkan cabaran bagi meringankan bebanan yang dipikulnya.

Mengulas mengenai pencapaian beregu lelaki dan wanita di pentas Sukan Asia, beliau yakin gandingan sedia ada mampu diperbaiki prestasi mereka untuk menggalas tugas di Rio nanti.

"Gandingan beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei berjaya menghadiahkan pingat gangsa untuk negara, malah Vivian dan Khe Wei sebelum ini turut merangkul pingat emas di Sukan Komanwel, Julai lalu.

"Pencapaian mereka ini boleh diperbaiki kerana pemain-pemain ini masih muda dan buat Vivian serta Khe Wei mereka telah melakar kejutan kerana memenangi gangsa selepas 44 tahun gagal berbuat demikian," ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Norza ketika diminta mengulas mengenai belanjawan negara yang bakal dibentangkan Jumaat ini amat berharap, peruntukan yang lebih besar dapat berikan kepada pembangunan sukan negara terutamanya badminton.

"Badminton merupakan antara sukan terbesar di negara kita. Malah, sukan ini dilihat sebagai prospek dalam menyumbang pingat untuk Malaysia pada setiap kejohanan besar yang disertai, jadi saya fikir adalah logik sekiranya sejumlah peruntukkan besar dapat disalurkan.

"Sekiranya kami mendapat peruntukkan yang bersesuaian kami merancang untuk mengambil jurulatih bertaraf dunia, malah menghantar lebih ramai pemain menyertai mana-mana kejohanan di peringkat antarabangsa dalam usaha memberi pendedahan kepada mereka," katanya.

0 ulasan:

Pimpinan

Sayap Parti

Kawasan