Pengikut

Nuffnang

Isnin, 8 September 2014

PAS KAWASAN KUBANG PASU

sumber :-

PAS KAWASAN KUBANG PASU


Bincang isu PAS di muktamar, bukan laman sosial

Posted: 08 Sep 2014 08:36 AM PDT

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS mahu ahli-ahli parti menggunakan peluang Muktamar Tahunan ke-60 di Batu Pahat bagi membincangkan masalah dalaman parti.

Oleh itu, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, ahli dan penyokong tidak sewajarnya mengeruhkan suasana politik sekarang dengan kenyataan tidak wajar melalui laman-laman sosial.

Kata beliau ahli parti peringkat akar umbi dan pimpinan sewajarnya menerima keputusan pimpinan tertinggi parti demi kebaikan semua pihak.

Katanya, setiap mesyuarat mengikut kaedah Islam diberi kuasa kepada pemimpin tertinggi parti membuat keputusan.

"Zaman Rasulullah s.a.w. baginda mempengerusikan mesyuarat dengan diberi kuasa untuk membuat sebarang keputusan.

"Begitu juga dalam kaedah parti kita sekarang, keputusan mesyuarat ditentukan pengerusi," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Institut Pemikiran Tok Guru hari ini.

Beliau diminta mengulas isu yang berlaku di Selangor terutamanya cara Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menangani kemelut yang berlaku.

Mursyidul Am berkata, ahli parti diingatkan jangan mengeruhkan suasana kerana ada pihak mengambil kesempatan bagi melumpuh gerakan parti.

Katanya, apabila ahli parti sendiri mengeruhkan suasana ia memberi ruang pihak lawan menangguk di air keruh.

Ditanya penubuhan Persatuan Ummah Sejahtera (PasMa) diterajui pemimpin-pemimpin PAS, katanya, setiap parti baru yang ditubuhkan akan menemui kegagalan.

"Waktu saya mula-mula sertai parti PAS dulu ada tiga parti iaitu Hamim, Berjasa dan Bebas Bersatu. Yang pegang jawatan tertinggi parti bukan sebarangan orang, tetapi hasilnya macam mana," soalnya.

Menyentuh peluang Pakatan di Pengkalan Kubor, kata beliau sebelum ini PAS ada rekod kemenangan di Dun terbabit.

Insiden baling kerusi cemari sekolah

Posted: 08 Sep 2014 08:35 AM PDT

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Premis sekolah tidak sepatutnya dijadikan tempat bersidang atau pun bermesyuarat bagi parti-parti politik terutama Umno yang sering menggunakan kemudahan sekolah kerajaan untuk programprogram anjuran mereka.

Bercakap dalam sidang media di Markas PAS Pokok Sena di sini, Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato' Mahfuz Omar berkata insiden yang berlaku semasa mesyuarat agung Umno bahagian Pokok Sena baru-baru ini secara tidak langsung mencemar institusi pendidikan.

"Kita bukan berhajat mencampuri urusan masalah dalaman Umno, tetapi insiden yang berlaku di Sekolah Menengah Hutan Kampung baru-baru ini perlulah dinilai.

"Kejadian itu tidak wajar berlaku di dalam kawasan sekolah kerana ianya satu contoh tidak baik serta tidak bermoral kepada para pelajar," tegas beliau yang juga Yang Dipertua PAS Pokok Sena.

Beliau mengharapkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan memandang serius penggunaan premis sekolah atau institusi pendidikan atas tujuan politik dan bukannya meletakkan tanggung jawab sepenuhnya kepada Jabatan Pelajaran atau Guru Besar semata- mata.

"Kementerian Pendidikan jangan memandang ringan insiden ini. Pada masa akan datang program politik Umno, sama ada rasmi atau tidak rasmi, tidak wajar diadakan di sekolah atau pun premis pen didikan.

"Sekolah adalah institusi pendidikan untuk melahirkan pelajar yang berwibawa, bermoral serta berakhlak mulia tapi kalau mesyuarat sampai balingbaling kerusi, adakah ini contoh baik?

"Sewajarnya Kementerian Pendidikan men gadakan peraturan tidak membenarkan mana-mana parti politik menggunakan sekolah. Bagi kami parti pembangkang memang sudah lama tidak dibenarkan berbuat demikian. Bukan sahaja nak buat program, nak rasmi mesyuarat PIBG sekolah pun tak dibenarkan," sambung Mahfuz.

Tegas beliau lagi, ahli politik sewajarnya menjaga adab lebih-lebih lagi di tempat sedemikian tetapi insiden yang berlaku itu jelas menunjukkan sukarnya mengawal adab dan akhlak.

Isu kemelut Selangor, kaji yang tersirat, jangan hanya kaji yang tersurat

Posted: 08 Sep 2014 08:32 AM PDT

Oleh Aspan Alias

Tindakan mengingkaran titah Baginda Sultan untuk menamakan lebih dari dua nama calon pengganti Khalid Ibrahim oleh DAP dan PKR amat mendukacitakan Sultan Selangor. Kedua-dua parti seolah-olah tidak mrenerima hakikat yang dalam sistem demokrasi kita, Raja itu merupakan proponen yang didalam sistem ini termasuk dalam memilih seorang Menteri Besar dalam sebuah negeri yang berdaulat kita ini. 

Apabila berlakunya tindakan yang derhaka ini, maka tidak lagi susah untuk mempercayai yang jika parti-parti ini menjadi pemerintah institusi Raja itu tidak akan dikekalkan dan mereka akan menggunakan kuasa dan pengaruh untuk menghapuskannya setelah berkuasa beberapa ketika sahaja. Sebagai seorang Melayu yang merupakan komponen terbesar dari rakyat negara ini, kita amat khuatir dan dalam kebimbangan jika identiti Melayu itu akan terhakis dalam jangka masa yang tidak berapa lama lagi.
Kehilangan identiti sesuatu bangsa ini merupakan permulaan kepada kehilangan bangsa-bangsa di dunia ini yang kita telah banyak membaca dari sejarahnya. Bagi diri saya secara peribadi ini merupakan satu isu yang sangat sensitif dan saya merasakan akta-akta yang mendindingi keselamatan dan maruah bangsa yang terbesar dalam Negara itu wajar diwujudkan atau pun ditambah kekuatannya dari apa yang ada pada hari ini.
Nyata dan jelas sekali tanggapan yang ada bangsa-bangsa yang memainkan politik secara halus dan mengelirukan orang Melayu itu mempunyai agenda jangka panjang iaitu untuk menakluki budaya dan cara hidup bangsa Melayu itu semata-mata untuk menghilangkan identiti yang membezakan orang Melayu dengan bangsa-bangsa lain di negara ini. Sesuatu bangsa itu akan dicemari identitinya melalui dua acara setidak-tidaknya.
Pertamanya kelirukan mereka dalam agama dan keduanya ialah dengan menghilangkan atau menakluk budaya dan cara hidup bangsa itu. Selain dari itu ialah dengan melemahkan kedudukan ekonominya bangsa itu dan berbagai cara yang halus dan ini amat merbahaya bagi bangsa Melayu dan Islam itu sendiri.
Apa yang berlaku di Selangor sekarang ini, kita sudah nampak 'consequence' sampingan yang amat merbahaya kepada orang Melayu yang kebetulan beragama Islam itu. Malahan Negara kita ini adalah satu-satunya negara di dalam dunia yang berkerajaan yang bangsa terbesarnya, iaitu Melayu itu di definasikan oleh perlembagaan negara kita dan salah satu dari yang di definasikan ialah bangsa Melayu itu adalah beragama Islam.
Hasil dari perkembangan dan sikap 'confrontational' parti yang mewakili satu  kaum itu, tidak dapat dinafikan parti itu sedang mengambil kesempatan sambil menangguk di air yang keruh untuk memecah belahkan orang Melayu dalam Islam itu.  Yang kita hadapi sekarang ini bukan lagi masalah parti mana yang majoriti dan yang mana yang minoriti. Masalah yang dihadapi sekarang ialah masalah keselamatan bangsa terbesar di negara ini.
Masalah sekarang ialah masalah parti-parti politik yang menabur secara halus bibit-bibit anti bangsa terbesar di negara ini dengan agenda yang sangat menakutkan bangsa kita sendiri. Perpecahan bangsa Melayu itu amat penting bagi bangsa-bangsa lain untuk menjadi pencatur bangsa kita di masa hadapan dan Melayu akan kehilangan segala kuasa dan pengaruh dalam negara mereka sendiri.

Tidak menghormati institusi Raja seperti yang berlaku di Selangor sekarang in, merupakan tanda-tanda dan dalil yang jelas untuk membuktikan Melayu itu sedang menuju kehancuran ini. Kita wajar menerima hakikat tidak menghormati seorang Raja Melayu itu adalah sikap tidak menghormati orang Melayu sendiri. Tetapi diluarannya mereka jugalah yang mengakui sebagai parti berbilang kaum dan menjunjung perlembagaan negara. 
Ada pihak yang sudah hampir berjaya untuk memecahkan bangsa Melayu yang masih leka dengan politik dan politiking yang menjahanamkan kita sendiri. Sekarang ini sudah ramai pemimpin Melayu sendiri yang telah termakan dengan permainan politik bukan Melayu dengan menjaja apa yang bukan Melayu telah berikan kepada mereka seperti peruntukan dana yang besar untuk majlis agama di sebuah negeri di utara Semenanjung.
Ada pemimpin dari PAS sendiri sedang dilamun dengan keseronokan dengan jawatan-jawatan dalam syarikat-syarikat kerajaan negeri di utara Semenanjung itu sehinggakan apa yang diputuskan oleh parti Islam nya sendiri dipersoalkan. Pemimpin-pemimpin yang menempelkan diri mereka sebagai pemimpin Islam lebih setia kepada kumpulan yang mereka tidak sedari sedang memecahkan bangsa dan agamanya sendiri.
Kita perlu menilai dari sudut apa yang tersirat dari yang tersurat dalam isu ini.  Apabila sampai waktu dan masanya, blog ini mungkin akan menulis mengikut kemampuan untuk menghalusi keadaan ini secara berhemah dan membuka pemikiran baru dalam perjuangan jika benar-benar untuk memperjuangkan bangsa dan agamnya.
Mereka bercakap diatas nama perpaduan dan perpaduan bangsa-bangsa, sedangkan dalam proses perpaduan bangsa-bangsa dan berbagai agama yang dilaungkan mereka terselit agenda-agenda yang melemahkan bangsa Melayu dan Islam itu untuk kepentingan mereka yang bersama-sama melaungkan slogan perpaduan itu.
http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Cukup-cukuplah; kuatkan PAS, Pakatan

Posted: 08 Sep 2014 08:28 AM PDT

OLEH ZULKIFLI YAHAYA

SUASANA sangat tidak menggembirakan para pendukung dan penyokong Pakatan Rakyat di seluruh negara apabila kita dipaksakan dengan satu babak konflik politik yang berpanjangan.

Seluruh mata bertumpu kepada karenah para pemimpin Pakatan. Isu besar di mata rakyat bukan siapa layak jadi Menteri Besar Selangor. Tidak juga isu berkaitan para pemimpin Pakatan, sikap, ketegasan, toleransi atau apa-apa yang berkaitan dengan hukum hakam. Di mata rakyat, isunya ialah keupayaan Pakatan mengurus konflik. Ahli akademik tidak perlu membuat kajian lapangan untuk mencerap berjaya atau gagal Pakatan mengurus konflik. Dengan sebelah mata kasar, semua pihak boleh membuat kesimpulan berasaskan persepsi bahawa konflik telah gagal diurus! Tempoh mengurus konflik telah melepasi tarikh luput.

Musuh politik Pakatan, BN sangat berharap konflik ini terus berpanjangan. Mudah mereka memberitahu rakyat, "Tengok, baru perintah negeri sudah kelam kabut, macam mana nak perintah negara." Persepsi itu mampu terpahat kukuh di pemikiran rakyat kerana ia berserta bukti.

Bahaya yang menanti ialah persepsi itu yang akan dibawa ke hadapan untuk diterjemahkan di peti undi dalam pilihan raya.

Pakar pengurusan konflik, Datuk Mujahid Yusof Rawa menjelaskan bahawa politik secara pakatan memang dinamik dan rapuh. Konflik dalam parti politik boleh tercetus dengan pendekatan politik pakatan atau lebih selesa disebut tahaluf.

"Oleh sebab politik Malaysia adalah 'ideological base' maka ia menjadi semakin sukar. Menjadi semakin sukar dalam suasana ini apabila kepimpinan tidak urus konflik 'intra-party' dan sekali gus membawa kepada 'inter-party'," ulasnya.

Mujahid mencadangkan langkah awal dalam mengatasi konflik ini iaitu, berhenti tuduh-menuduh dan serang menyerang 'dalaman' dan 'luaran' parti yang bertahaluf. Penegasan yang sangat penting ialah pemimpin tertinggi parti yang bertahaluf wajib bertemu tanpa lengah.

Mujahid adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat. Ironinya, pakar pengurusan konflik itu tidak dapat melihat konflik tamat dengan segera. Serangan antara pihak dalaman dan antara parti berterusan juga. 'Nangoi-nangoi' bawahan usah dikira, terus berperang di alam maya.

Pengkaji pengurusan konflik,  Kirchoff dan Adam, menghuraikan empat keadaan di mana konflik terjadi iaitu persekitaran stres (tekanan) yang tinggi, peranan dan tanggungjawab yang kabur, situasi di mana terdapat ramai ketua (bos) dan kewujudan teknologi yang canggih. Pemikiran tersebut yang dicetuskan pada 1982 mendahului zaman kerana kewujudan teknologi canggih, khususnya ICT pesat di masa mutakhir ini. Teknologi canggih itulah yang banyak memburukkan keadaan dalam konflik.

Lagi pengkaji konflik, Filley (1975), menjelaskan bahawa terdapat juga kesan positif apabila berlakunya konflik iaitu dapat menyekat atau mengurangkan terjadinya konflik yang lebih serius, menggalakkan pencarian kepada fakta-fakta baru atau jalan penyelesaian dan menilai keupayaan individu khususnya pemimpin. Namun bahana negatif dari konflik adalah lebih banyak dan lebih buruk.

Menurut Hellriegel dan rakan-rakan (2001), pengurusan konflik mengandungi proses-proses diagnostik, gaya-gaya interpersonal, strategi-strategi perundingan, dan kaedah-kaedah lain yang mana direka untuk mengelakkan sebarang konflik yang tidak diperlukan dan mengurangkan atau menyelesaikan konflik yang berlebihan. Kebolehan untuk memahami dan mengdiagnos konflik dengan betul merupakan satu perkara penting untuk mengurus konflik.

Sepatutnya kita rasa malu untuk menyenaraikan idea pakar pengurusan konflik Barat kerana isu yang berlegar sekarang adalah berkaitan dengan batang tubuh parti Islam yang sedang bertahaluf dengan parti-parti lain. Tiada yang lebih hebat daripada jalan penyelesaian Islam. Namun retorik itulah yang disebut berulang-ulang lebih 1,000 tahun lalu, sejak bermulanya Perang Jamal dan Siffin. Hingga kini, konflik yang melibatkan umat Islam, parti dan jemaah Islam tidak juga berakhir. Lepas satu, satu. Islam tidak salah tapi yang salahnya kaedah Islam hanya diretorikkan semata-mata, tidak digunakan.

Dr Mujahid menegaskan, satu acara penting ke arah menghentikan konflik ialah setiap parti daripada rakan yang berpakat wajib mengawal partinya untuk tidak memburukkan keadaan. Itu kaedah Islam sebenarnya. Islam tidak benarkan umatnya menghina sembahan orang kafir sekalipun, kerana implikasinya akan berlaku tindak balas. Maka konflik jadi tidak selesai akan berterusan. Nah, kalau etika Islam dipatuhi tidak ada orang yang membuat sidang media, memanggil media talibarut pihak lawan yang selama ini kita benci habis-habisan, untuk menyerang pula rakan sekutu dalam Pakatan. Pihak yang diserang pula akan buat perkara serupa. Bila konflik akan berakhir?

"Semua pihak berpakat perlu melihat objektif besar pakatan untuk membawa perubahan politik baru dan apa sahaja yang menghalang matlamat ini perlu dihentikan segera," tegas Mujahid. Hukum aulawiyatnya begitu. Jangan dilayan nafsu serakah untuk berdendam dan melepas geram sesama sendiri.

Cukup-cukuplah dengan apa yang dilalui. Semoga Allah memberi jalan terbaik agar konflik ini ditamatkan. PAS kembali bersatu dan persefahaman Pakatan kembali mantap.

0 ulasan:

Pimpinan

Sayap Parti

Kawasan