Pengikut

Nuffnang

Isnin, 8 September 2014

Jasindaily Online

sumber :-

Jasindaily Online


Isu Dalaman Parti: Bincang Di Muktamar Bukan Laman Sosial !!!

Posted: 08 Sep 2014 08:56 AM PDT

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS mahu ahli-ahli parti menggunakan peluang Muktamar Tahunan ke-60 di Batu Pahat bagi membincangkan masalah dalaman parti. Oleh itu, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, ahli dan penyokong tidak sewajarnya mengeruhkan suasana politik sekarang dengan kenyataan tidak wajar melalui laman-laman sosial. Kata beliau ahli parti peringkat akar umbi dan pimpinan sewajarnya menerima keputusan pimpinan tertinggi parti demi kebaikan semua pihak. Katanya, setiap mesyuarat mengikut kaedah Islam diberi kuasa kepada pemimpin tertinggi parti membuat keputusan. 


 "Zaman Rasulullah s.a.w. baginda mempengerusikan mesyuarat dengan diberi kuasa untuk membuat sebarang keputusan. "Begitu juga dalam kaedah parti kita sekarang, keputusan mesyuarat ditentukan pengerusi," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Institut Pemikiran Tok Guru hari ini. Beliau diminta mengulas isu yang berlaku di Selangor terutamanya cara Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menangani kemelut yang berlaku. Mursyidul Am berkata, ahli parti diingatkan jangan mengeruhkan suasana kerana ada pihak mengambil kesempatan bagi melumpuh gerakan parti.

 Katanya, apabila ahli parti sendiri mengeruhkan suasana ia memberi ruang pihak lawan menangguk di air keruh. Ditanya penubuhan Persatuan Ummah Sejahtera (PasMa) diterajui pemimpin-pemimpin PAS, katanya, setiap parti baru yang ditubuhkan akan menemui kegagalan. "Waktu saya mula-mula sertai parti PAS dulu ada tiga parti iaitu Hamim, Berjasa dan Bebas Bersatu. Yang pegang jawatan tertinggi parti bukan sebarangan orang, tetapi hasilnya macam mana," soalnya. Menyentuh peluang Pakatan di Pengkalan Kubor, kata beliau sebelum ini PAS ada rekod kemenangan di Dun terbabit. - HARAKAHDAILY

SULTAN SELANGOR Dukacita Dengan Peel PKR Dan DAP

Posted: 07 Sep 2014 10:36 PM PDT

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita terhadap tindakan PKR dan DAP mengemukakan satu nama sahaja sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu. Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, tindakan kedua-dua parti itu disifatkan telah mengingkari titah Sultan Sharafuddin supaya mengemukakan lebih daripada dua nama calon menteri besar.    

    "Dimaklumkan bahawa D.Y.M.M Sultan Selangor telah menerima senarai nama calon menteri besar Selangor yang baharu daripada ketiga-tiga parti dalam PR seperti mana titah D.Y.M.M Sultan Selangor dalam surat bertarikh 27 Ogos 2014. "Namun demikian hanya parti Pas yang akur dengan titah D.Y.M.M Sultan Selangor dengan menyenaraikan tiga nama calon Menteri Besar Selangor manakala DAP dan PKR masing-masing telah mengemukakan satu nama yang sama iaitu (Presiden PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

    Mohamad Munir berkata, tindakan kedua-dua parti itu bukan sahaja menggambarkan kebiadapan mereka terhadap institusi beraja tetapi juga merupakan perbuatan derhaka kepada Sultan Selangor. Beliau berkata titah Sultan Selangor bagi mengemukakan senarai lebih daripada dua calon Menteri Besar Selangor adalah satu amalan atau konvensi yang dilaksanakan baginda bagi membolehkan baginda membuat pilihan terhadap bakal menteri besar Selangor dengan melihat bukan sahaja sokongan majoriti Adun malah dari segi kemahiran, pengalaman, integriti dan kebolehan seseorang Adun tersebut.

   Ciri-ciri itu amat penting bagi menjamin perjalanan pentadbiran negeri Selangor agar berjalan dengan lancar dan baik bagi keharmonian negeri berkenaan, kata Mohamad Munir.      "D.Y.M.M Sultan Selangor berkeyakinan bahawa terdapat ramai calon dalam PR yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang tinggi seperti yang disebutkan bagi menerajui kerajaan Selangor," katanya. Mohamad Munir berkata, Sultan Selangor akan meneliti senarai nama calon yang telah diterima dengan mengambil kira segala aspek dalam menilai calon sebelum membuat sebarang keputusan. 

   "Dalam masa yang sama memandangkan kuasa melantik Menteri Besar Selangor terletak pada budi bicara D.Y.M.M Sultan Selangor, maka baginda akan meneliti nama-nama Adun yang lain daripada PR yang berkelayakan dan pada fikiran D.Y.M.M Sultan Selangor mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Negeri," katanya. Pada 27 Ogos lepas, Sultan Selangor bertitah agar parti-parti dalam PR iaitu DAP, PKR dan Pas mengemukakan lebih daripada dua nama sebagai calon menteri besar yang baharu. Baginda bertitah demikian selepas menangguhkan untuk menerima peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar sehingga proses pelantikan menteri besar baharu selesai. - Bernama

Bila Majlis Syura Ulama Tunjuk Kuasa ..

Posted: 07 Sep 2014 05:37 PM PDT

Majlis Syura Ulama menegaskan bahawa presiden PAS mempunyai kuasa pemutus dalam perkara melibatkan kepentingan parti dan anggota jawatankuasa pusatnya pula harus menjalankan arahan diberikan. Menurut kenyataan badan kedua tertinggi pembuat dasar selepas muktamar itu, kedua-dua perkara itu termaktub dalam perlembagaan PAS, seperti berikut: Fasal 26 (1) (a) yang menyatakan presiden bertanggungjawab sebagai ketua bagi melaksanakan pentadbiran, gerakan dan kegiatan PAS.   

Menjadi kewajipan ahli jawatankuasa kerja pusat PAS untuk menjalankan tugas dan arahan-arahan oleh presiden sebagaimana diperuntukkan dalam Fasal 26(9)(m). 

Majlis Syura juga membariskan sebuah hadis berkaitan kepimpinan yang bermaksud: "Hendaklah kalian dengar dan taat, meskipun yang menjadi ketua di kalangan kalian seorang hamba berbangsa Habsyi." Menurut Harakahdaily, perkara itu diputuskan oleh majlis itu yang bersidang hari ini. Majlis itu sebelum ini jarang mengeluarkan kenyataan media dalam sesuatu isu. Kenyataan itu dilihat dibuat bagi meredakan kemarahan sebahagian pihak dalam PAS yang mempertikaikan tindakan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana mengambil pendirian berbeza dengan jawatankuasa pusatnya dalam isu calon pengganti menteri besar Selangor. Jawatankuasa pusat PAS sebelum ini memilih Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail di samping timbalannya Azmin Ali. Bagaimanapun, PAS kemudiannya menghantar nama lain, termasuk anggota dewan undangan negerinya dan tidak langsung mencalonkan kedua-dua pemimpin kanan PKR itu. 

 Hadi dan timbalan mursyidul AM PAS Datuk Haron Din, orang nombor dua dalam Majlis Syura, kemudiannya menjelaskan Azizah tidak layak untuk menjadi menteri besar dan ia ditolak bukan sebab seorang perempuan, seperti dispekulasikan sebelum ini. Sementara itu, kenyataan Majlis Syura juga hari ini menegaskan kuasanya untuk "menjelas, menghurai dan mentafsirkan perlembagaan PAS" seperti termaktub dalam Fasal 8 (1) (a) Perlembagaan PAS. 

 Selain Majlis Syura, jawatankuasa pusat PAS turut bermesyuarat hari ini membincangkan isu sekitar penggantian Tan Sri Khalid Ibrahim. Bagaimanapun pendirian sebenar jawatankuasa itu masih tidak apabila kenyataan dua pemimpin utamanya kelihatan berbeza nada. Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu hari ini berkata PAS akan menolak jika ADUN mereka dipilih sebagai menteri besar baru oleh istana. Manakala setiausaha agungnya Datuk Mustafa Ali pula berkata akan akur pada apa jua keputusan istana.

Khalid Tetap Bersemangat Bekerja

Posted: 07 Sep 2014 05:29 PM PDT

SERI KEMBANGAN - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilihat semakin bersemangat mengurus pentadbiran Selangor meskipun meniti hari-hari terakhir sebagai menteri besar. Exco Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi berkata, walaupun Abdul Khalid tidak mewakili PKR, pendekatan yang diambil dalam menjalankan tugasnya tidak berubah.


 "Beliau semakin bersemangat tadbir Selangor. Bukan saya seorang sahaja kata (begitu), malah tiga lagi Exco Pas turut mengakui perkara itu," katanya ketika berucap di Ijtima Pas Selangor, di sini, semalam. Sallehen, yang juga Timbalan Pesuruhjaya I Pas Selangor berkata, setiap kali mesyuarat Exco, mereka berempat akan hadir. Pada 12 Ogos lalu, tiga hari selepas dipecat daripada PKR, Abdul Khalid memecat semua Exco PKR dan DAP kerana tidak bersetuju bersama pasukannya. Pas mengambil keputusan mengekalkan semua empat Exco mereka dan bekerjasama dengan Abdul Khalid mengikut undang-undang tubuh negeri yang memerlukan minima empat ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. 

 Sallehen turut mengulas tuduhan setengah pihak bahawa keempat-empat Exco ini gila kuasa kerana tidak mahu meletakkan jawatan. Beliau menjelaskan, tindakan mereka kekal dalam barisan Exco kerana mengikut arahan parti untuk tidak meletak jawatan itu kini terbukti untuk menjaga kerajaan Selangor, bahkan portfolio Exco yang dipecat diserahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi.

 "Jangan bila serah kepada Datuk Setiausaha, dia kata kita tak ada setia kawan, gila kuasa. Tidak begitu. Exco sekarang kena tanggung beban ditinggalkan Exco lalu," katanya. Menyentuh tindakan dalam parti, Sallehen menganggap ahli yang berselisih pendapat dengan pemimpin, termasuk presidennya, boleh meluahkan pandangan tetapi mesti secara berakhlak, bukan sewenang-wenangnya. Katanya, ahli perlu bersabar dan ikut perancangan kepimpinan sekiranya ia mendatangkan kebaikan. "Sabarlah, jangan gelojoh. Nak kata apa katalah, kesabaran akan jadi kesuburan. Kalau presiden dimaki, macam mana dengan (akhlak) kita? Kita boleh lawan, tapi haruslah berakhlak, " katanya.

0 ulasan:

Pimpinan

Sayap Parti

Kawasan