Pengikut

Nuffnang

Selasa, 23 September 2014

Jasindaily Online

sumber :-

Jasindaily Online


Tiada Campur Tangan Politik Sepanjang Khidmat Tan Sri Khalid Ibrahim

Posted: 22 Sep 2014 07:01 PM PDT

SHAH ALAM: Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, berkata sepanjang empat tahun beliau berkhidmat dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, tiada sebarang campur tangan politik dalam urusan pentadbiran di negeri ini. Beliau berkata, Abdul Khalid yang menjadi Menteri Besar dua penggal berturut-turut sejak Mac 2008, memberi kepercayaan penuh kepadanya untuk melaksanakan segala dasar membabitkan negeri dan rakyat.

 "Kita dalam barisan pentadbiran negeri tidak pernah menghadapi sebarang tekanan sewaktu Abdul Khalid berkhidmat dan bebas membuat keputusan mengikut dasar yang telahpun dipersetujui," katanya ketika berucap di majlis perpisahan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor di Bangunan SUK hari ini.


 Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali, menerima surat pelantikan sebagai Menteri Besar Selangor baharu menggantikan Abdul Khalid. Majlis mengangkat sumpah Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR akan berlangsung di Istana Alam Shah, Klang pada 10 pagi esok. 

 Mohammed Khusrin juga berkata, antara pencapaian terbesar Abdul Khalid dalam pentadbirannya ialah mengembalikan hak air kepada rakyat Selangor dengan menstruktur semula industri air di negeri ini. Sementara itu, sumber dari Pejabat Menteri Besar Selangor berkata Abdul Khalid tidak akan menghadiri majlis angkat sumpah menteri besar baharu esok sebab akan ke luar negara untuk bercuti. - BERNAMA

Terima Kasih Rakyat Selangor .. Terima Kasih Semua

Posted: 22 Sep 2014 06:57 PM PDT

Tan Sri Datuk Abdul Khalid bin Ibrahim 


Syukur Alhamdulillah hari ini merupakan hari terakhir saya sebagai Dato' Menteri Besar Selangor selepas lebih enam tahun memegang jawatan ini bermula pada Mac 2008 sehinggalah ke hari ini, 22 September 2014. Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua terutama kepada rakyat Selangor yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menerajui pentadbiran negeri termaju di Malaysia ini. 


 Saya juga amat berbangga dengan kerjasama dan komitmen yang telah ditunjukkan oleh pegawai dan kakitangan kerajaan, anak-anak syarikat, agensi kerajaan dan badan-badan berkanun yang membolehkan banyak perubahan dilaksanakan berbanding pada awal pertukaran pucuk pimpinan. Saya berbangga kerana dalam tempoh enam tahun ini, Negeri Selangor yang diurus berlandaskan prinsip-prinsip urus tadbir yang baik terutama kompetensi, ketelusan, kebertanggungjawaban dan integriti telah mencapai banyak kejayaan yang membanggakan dan lebih penting Negeri Selangor bebas dari gejala rasuah dan penyelewengan. 

 Dasar Hasil Negeri Untuk Rakyat yang diperkenalkan sejak 2008 menerusi program-program kebajikan di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) berjaya mencapai matlamat untuk meningkatkan taraf hidup rakyat terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana. Kita telah membelanjakan lebih RM1.6 bilion semenjak 2008 bagi membiayai pelbagai inisiatif dan skim bersifat kebajikan di bawah MES di mana sekurang-kurangnya empat juta penduduk di Selangor menikmati salah satu daripada inisiatif ini. Menerusi dasar berjimat cermat dan perbelanjaan berhemah, rizab simpanan negeri Selangor meningkat kepada RM3.3 bilion setakat ini dan sebahagian simpanan ini telah kita gunakan untuk projek-projek pembangunan seperti pembinaan Jambatan Ketiga Klang dan perumahan mampu milik. Di bawah pentadbiran saya dan rakan-rakan EXCO, Negeri Selangor meneruskan tradisi sebagai pemangkin ekonomi negara dengan menyumbang lebih kurang 24 peratus kepada KDNK Malaysia di samping kekal menjadi antara destinasi pelaburan terunggul. Kita juga telah mencapai persetujuan bersejarah dengan Kerajaan Persekutuan dan empat syarikat konsesi untuk menstruktur semula perkhidmatan air setelah melalui satu proses yang bermula sejak 2008 supaya semua aset air dapat dikembalikan kepada rakyat di samping memastikan perkhidmatan air bertaraf antarabangsa pada harga berpatutan.

 Ingin saya tegaskan bahawa tawaran untuk mengambilalih syarikat-syarikat konsesi adalah adil dan saksama bagi semua pihak tanpa memberi kelebihan kepada mana-mana pemegang konsesi memandangkan matlamat utama adalah memelihara kepentingan rakyat kerana air merupakan antara hak asasi. Walaupun hanya satu konsesi yang belum memuktamadkan tawaran namun ia tidak sepatutnya menjejaskan tawaran yang telah kita buat sejak 2012 berjumlah RM9.65 bilion. Pada hari ini juga, kerajaan negeri telah menandatangi Perjanjian Pemindahan Aset untuk memindahkan semua aset air milik negeri bernilai RM14.92 bilion kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor). Perjanjian ini ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Khusrin Munawi mewakili kerajaan negeri manakala Air Selangor diwakili oleh Suhaimi Kamaralzaman. Saya berpuashati dengan perkembangan penstrukturan semula industri air Selangor yang sedang berlaku sekarang dan yakin hasrat untuk memberi semula hak air kepada rakyat sepertimana yang terkandung dalam manifesto akan tercapai. Justeru, saya berharap kepimpinan baharu kerajaan negeri akan berjaya merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk memberi saham air kepada seluruh isi rumah di Negeri Selangor.

MOHAMAD AZMIN ALI MB SELANGOR GANTI TAN SRI KHALID IBRAHIM

Posted: 22 Sep 2014 06:53 PM PDT

Sultan Selangor telah berkenan melantik Timbalan presiden PKR Azmin Ali sebagai menteri besar yang baru berkuatkuasa esok. Majlis angkat sumpah akan berlangsung di Istana Alam Shah, Klang jam 10.30 pagi esok. Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, ketika dihubungi Malaysiakini, mengesahkan surat pelantikan itu telah dihantar kepada Azmin hari ini. Sementara itu, Munir dipetik oleh Bernama sebagai berkata pihak Istana Selangor akan keluarkan kenyataan akhbar esok bagi memberi penjelasan mengapa Azmin dipilih sebagai menteri besar Selangor yang baru. Ketika ditanya mengenai surat pelantikan itu yang tersebar di media sosial, Mohamad Munir berkata perkara itu berada di luar kawalan pihaknya. Azmin akan menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang tamat perkhidmatan sebagai menteri besar hari ini. Petang tadi, Khalid diraikan dalam majlis perpisahan yang dihadiri lebih 200 kakitangan. 


 Azmin kemudiannya pemberita bahawa pelantikannya sebagai menteri besar Selangor mendapat restu sebulat suara parti. Ini sekaligus melabuhkan tabir krisis pelantikan menteri besar Selangor. Azmin mengesahkan kepada pemberita di ibu pejabat PKR di Tropicana bahawa kepimpinan parti itu telah bersetuju untuk menyokong beliau sebagai MB selepas bermesyuarat dua jam dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan pemimpin parti lain. Katanya, beliau bersyukur bahawa baginda sultan telah memperkenan pelantikannya sebagai menteri besar dan pihak parti telah sebulat suara merestuinya. Apabila ditanya sama ada dia tahu sebab mengpa pencalonan Wan Azizah ditolak, Azmin hanya berkata: "Tiada sebab diberikan."

 Surat pelantikannya diterima petang ini dan ADUN Bukit Antarabangsa itu mengesahkan beliau akan mengangkat sumpah-pagi esok. Sebelum itu, mesyuarat Azmin dengan Anwar dan Wan Azizah selesai pada kira-kira jam 7.30 malam. Anwar dan Wan Azizah meninggalkan ibu pejabat untuk menghadiri mesyuarat Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur. Ketiga-tiga mereka tersenyum ketika mereka keluar dari bilik mesyuarat. Sementara itu, PAS mengucapkan tahniah kepada Azmin Ali ekoran pelantikannya sebagai menteri besar Selangor yang baru. Menulis dalam facebook, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata semoga Pakatan Rakyat terus utuh.

0 ulasan:

Pimpinan

Sayap Parti

Kawasan