Pengikut

Nuffnang

Khamis, 18 September 2014

Jasindaily Online

sumber :-

Jasindaily Online


Mungkinkah YB PAS Pilihan Istana Selangor ?

Posted: 18 Sep 2014 07:13 AM PDT

BATU PAHAT - Exco Negeri Selangor Sallehen Mukhyi menafikan beliau menjadi pilihan Istana Selangor untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu. Sallehen, yang juga Timbalan Pesuruhjaya (1) Pas Selangor, dikerumuni wartawan sebaik sahaja selesai berucap membahaskan ucapan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Pas ke-60 di Parit Raja, hari ini. "Bukan, bukan (saya). Kita tidak tahu lagi (nama Menteri Besar Selangor yang baharu). 


Saya tidak ada maklumat lagi. Isnin pagi atau Selasa akan dimaklumkan. Yang pasti bukan saya," katanya. Selain beliau, turut dinamakan sebagai calon pilihan Pas untuk menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar ialah Dr Ahmad Yunus Hairi dan Iskandar Abdul Samad, kedua-duanya exco negeri. Iskandar juga merupakan Pesuruhjaya Pas Selangor. Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani hari ini mengesahkan majlis angkat sumpah Menteri Besar Selangor yang baru, bakal diadakan Selasa ini di Istana Alam Shah, Klang. 

 Kenyataan daripada Istana Selangor itu bakal menandakan berakhirnya krisis berpanjangan jawatan Menteri Besar Selangor. Sallehen juga berkata pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu diharap menjadi jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi kemelut jawatan itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini. "Kita berharap ini adalah jalan penyelesaian yang terbaik, sebab kita tiada forum atau ruang yang terbaik kecuali rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat terima pilihan Istana (Selangor)," katanya. - Bernama

PERTIKAI LAGU NEGARAKU TINDAKAN TAK PATRIOTIK

Posted: 17 Sep 2014 09:53 PM PDT

KUALA LUMPUR - Mengaitkan tindakan memainkan lagu Negaraku di panggung wayang dengan era komunis adalah perbuatan keterlaluan dan tidak bertanggungjawab kerana menghormati lagu kebangsaan merupakan asas seorang warganegara. Pakar sejarah, Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim berkata setiap warganegara seharusnya mempunyai 'pertalian' dengan Negaraku, dan mereka yang mempertikaikan langkah memainkan lagu itu dalam sesuatu acara seharusnya dikenakan tindakan. "Apa yang dimaksudkan dengan komunis? Mereka yang mengaitkan Negaraku dengan komunis hanya pandai temberang, tidak banyak pengetahuan tetapi mahu berkata-kata," katanya kepada Bernama di sini, hari ini. Kay Kim juga kesal kerana semangat menghormati lagu kebangsaan lebih menebal di dalam diri masyarakat di luar negara, berbanding rakyat Malaysia. "Jika dikatakan itu (memainkan Negaraku di panggung wayang) sebagai komunis, adakah rakyat lain yang menunjukkan sikap kenegaraan tinggi semasa lagu kebangsaan mereka dimainkan juga komunis?," soalnya. 


 Semalam, Ahli Parlimen Kuching, Chong Chieng Jen dari DAP dikecam kerana mempersoalkan lagu Negaraku dimainkan di pawagam semasa sambutan Kemerdekaan dan Hari Malaysia, dalam akaun Facebooknya. Status Chieng Jen, antara lain, menyebut "Since when has this playing national anthem in cinema started? Is Malaysia heading towards the communist Mao era where everywhere you go you must shout out loud and show that you are a patriot?" Selepas mendapat komen reaksi negatif daripada pengguna laman sosial, Chieng Jen kemudiannya memohon maaf dan memadamkan status berkenaan. Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah Universiti Malaya Dr Mardiana Nordin pula berkata individu tidak seharusnya melihat 'keperluan untuk berdiri menghormati Negaraku sebagai satu bentuk paksaan yang keterlaluan', apatah lagi ia tidak mengambil masa yang lama. "Sepatutnya individu yang tidak menghormati lagu kebangsaan berasa malu pada diri sendiri kerana Negaraku apabila dimainkan di negara luar pada kejohanan sukan misalnya, mereka (orang luar) akan berdiri walaupun tidak memahami maksudnya," katanya. Menghormati lagu kebangsaan juga merupakan satu cara untuk menzahirkan sikap patriotik dan cintakan negara dalam diri, berbeza daripada cara generasi terdahulu yang sanggup menggadai nyawa mendapatkan kemerdekaan, tambahnya. 

 Bagi Anggota Jawatankuasa Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara, Prof Dr Othman Lebar berpendapat perbuatan tidak menghormati lagu kebangsaan berpunca kerana sifat 'mengambil mudah' dengan kemakmuran negara. Beliau yang berpeluang mengalami pengalaman berdiri di dalam panggung wayang baru-baru ini, juga kesal kerana terdapat segelintir masyarakat khususnya generasi Y yang tidak memandang serius keperluan menghormati lagu kebangsaan. "Mereka yang melihat perlu menegur individu itu (tidak berdiri), namun disebabkan nilai masyarakat yang semakin berkurangan menyebabkan mereka hanya memandang, kerana bimbang dianggap mencampuri urusan orang," katanya. 

 Sementara di Kuching, Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional Sarawak, Abdullah Saidol melahirkan perasaan meluat dengan status Facebook Chieng Jen dan komen terhadap lagu kebangsaan itu tidak akan dilupakan walaupun Ahli Parlimen DAP itu sudah memohon maaf. "Banyak orang telah membaca komen beliau (Chieng Jen) dan beliau sepatutnya malu dengan diri sendiri," kata Abdullah, menambah inisiatif untuk memainkan lagu itu di dalam panggung wayang untuk menimbulkan kesedaran pentingnya sambutan bulan kemerdekaan di Malaysia. TGV Cinemas Sdn Bhd (TGV) dan Golden Screen Cinemas (GSC) pula memberitahu mereka tidak menerima aduan daripada penonton yang terganggu kerana perlu berdiri sebelum tayangan filem bermula.

 Lagu Negaraku berkumandang di 70 pawangan seluruh negara bermula 28 Ogos lalu sehingga 16 September di GSC, manakala di TGV bermula juga 28 Ogos dan berakhir semalam. Langkah ini hasil cadangan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Pengurus Kanan Pemasaran TGV Celeste Koay berkata mereka bangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam memupuk semangat patriotisme dalam rakyat Malaysia. "Kami berbangga apabila pelanggan kami, tidak mengira bangsa dan agama berdiri semasa Negaraku dimainkan," katanya dan turut berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang memberikan kerjasama. Sementara itu, jurucakap GSC pula memberitahu mereka bersedia untuk terus memainkan lagu Negaraku jika diminta untuk berbuat demikian. - Bernama

AZAN IRINGI PEMERGIAN ASSYAHID USTAZ LOTFI

Posted: 17 Sep 2014 09:49 PM PDT

ALOR SETAR - Jenazah Mohd Lotfi Ariffin, 45, yang meninggal dunia selepas Maghrib (waktu Syria), kelmarin, selepas bertarung nyawa enam hari lalu kerana koma akibat diserang hendap 9 September, selamat dikebumikan bersama rakan seperjuangannya dari Malaysia yang turut terkorban. Berdasarkan maklumat yang dikemas kini melalui Facebook rakannya, Akel Zainal II yang berada di negara bergolak itu, awal pagi semalam, memaklumkan, jenazah Mohd Lotfi atau diberi gelaran Abu Musab tiba di Kafr Zetta, Syria selepas waktu Maghrib. "Sepatutnya jenazah dijangka tiba esok (hari ini), Alhamdulillah tiba lebih awal dari jangkaan. Jasadnya masih lagi berpeluh dan darah terus mengalir dari kesan-kesan luka walaupun selepas sehari syahid. Ketika jenazah diturunkan ke liang lahad, azan Isyak berkumandang," katanya. 


 Seorang lagi rakannya yang turut berada di Syria, Ahmad Salman Abdul Rahim turut memuat naik status berhubung urusan pengebumian Mohd Lotfi. "Kelewatan urusan pengebumian berlaku kerana beberapa proses dokumentasi dan sebagainya yang perlu diselesaikan di Hospital Antarkia, Turki, sebelum dibawa masuk ke Syria. Namun syukur pengurusan Ajnad Al Sham khususnya bertungkus lumus menjaga dan menguruskan proses rawatan di Turki sehinggalah kembali ke Syria," katanya. Beberapa gambar ketika urusan pengebumian Mohd Lotfi turut dirakamkan sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Kafr Zatay, berdekatan pusara sahabatnya, yang terkorban dalam kejadian serang hendap itu, Mohammad Fadhlan Shahidi, 21, atau diberi gelaran Abu Muhajir. Kejadian terbaharu ini menjadikan tiga rakyat Malaysia terkorban di Syria setelah menyertai kumpulan Ajnad Al Sham memerangi tentera Bashar al-Assad. Sebelum ini, dalam kejadian 20 Ogos lalu, Zainan Harith, 52, atau dikenali Mat Soh dengan gelaran Abu Thurab meninggal dunia selepas dibedil kereta kebal tentera al-Assad.

TG PRESIDEN : JANGAN SANGGAH DASAR PAS

Posted: 17 Sep 2014 09:43 PM PDT

BATU PAHAT - Di sebalik pendirian Pas beristiqamah dalam tahaluf siyasi dengan PR, namun parti itu mengingatkan rakan komponen bahawa Pas tidak rugi jika syarat kerjasama politik itu dicabuli. Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, hanya mereka (parti) yang konsisten menghormati syarat tahaluf siyasi itu sahaja akan selamat. "Dalam semua keadaan, Pas tidak pernah rugi, kerana kita sentiasa beristiqamah di atas dasar yang kukuh dan matlamatnya yang nyata.

 "Hanya mereka yang beristiqamah bersama Pas sahaja yang selamat, mereka yang tidak istiqamah jatuh berguguran di sepanjang perjalanan kita," katanya dalam ucapan dasar Presiden pada Muktamar Pas Pusat, di Parit Raja, di sini, hari ini. Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, Pas pernah bersendirian dalam berpolitik dan bertahaluf dengan pihak lain sama ada dalam kerajaan atau tanpa kerajaan. "Jangan ada orang yang merasakan dirinya cukup kuat, tidak sabar dalam perjuangan, merasa sangat bijak dan boleh sewenang-wenang menyanggah dasar dan matlamat perjuangan kita," tegasnya lagi.

MUKTAMAR PAS 60 RAKAM TAKZIAH PADA AHLI KELUARGA MANGSA MH370 DAN MH17

Posted: 17 Sep 2014 09:42 PM PDT

BATU PAHAT - Muktamar Tahunan Pas ke-60 yang membuka tirai hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas pada 17 Julai dan pesawat MH370 yang hilang sejak 3 Mac. Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, seluruh anggota parti melahirkan kesedihan dan mendoakan seluruh anggota keluarga penumpang dan anak kapal kedua-dua pesawat itu supaya bersabar dan tabah dengan ujian yang menimpa. "Muktamar kali ini ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan takziah dan kebersamaan perasaan duka kepada seluruh anggota keluarga mangsa yang terlibat dalam kehilangan pesawat MH370 dan MH17 yang dibedil pihak yang sangat tidak bertanggungjawab," katanya ketika berucap merasmikan muktamar yang bertemakan "Terus Beristiqamah" di Parit Salleh Ros, Parit Raja, di sini. 


Tuan Guru Presiden menyatakan, sehubungan itu, Pas mendesak pihak berkuasa dan kerajaan Malaysia supaya menggunakan seluruh tenaga yang ada untuk mencari kebenaran dalam tragedi yang mengejutkan itu. Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dari Kuala Lumpur ke Beijing, hilang dari radar pada 8 Mac lepas. Usaha untuk mencari pesawat itu masih diteruskan. Pesawat MH17, yang membawa 298 penumpang dan anak kapal pula, terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai lepas apabila ditembak jatuh di negara bergolak itu ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. 

 Laporan awal Lembaga Keselamatan Belanda, antara lain, menyebut struktur pesawat MH17 berkecai di udara berkemungkinan akibat ditembusi objek bertenaga tinggi dari luar pesawat dan tiada petunjuk bahawa nahas disebabkan masalah teknikal atau perbuatan anak kapal, selain pesawat itu disahkan 'layak terbang'. Setakat ini, sebanyak 224 mangsa MH17 sudah dikenal pasti manakala 74 lagi dalam proses dikenal pasti. Daripada 43 rakyat Malaysia yang terkorban dalam nahas itu, mayat 41 orang terdiri daripada 26 penumpang dan 15 anak kapal sudah pun dikenal pasti setakat ini. - Bernama

AJARAN SESAT : SULTAN MAHMUD JADIAN DITAHAN

Posted: 17 Sep 2014 09:40 PM PDT

MELAKA – Pernah didakwa bekas pengikut sebagai Imam Mahdi dan Sultan Mahmud, lelaki berusia 51 tahun yang dikenali sebagai Pak Engku atau dipanggil Wak ditahan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) kerana menyebarkan ajaran bercanggah dengan landasan Islam sebenar. Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Jaim, Rahimin Bani berkata, siasatan awal mendapati, lelaki berkenaan sudah kira-kira 10 tahun menyebarkan ajaran mirip kepada ilmu Hakikat Insan yang difatwakan haram. Malah, katanya, individu terbabit juga sudah berpindah-randah di 13 lokasi di beberapa negeri; antaranya Johor dan Melaka. Beliau berkata, beberapa amalan jelas terpesong daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah; antaranya suspek bersama pengikut melakukan pemujaan dengan menggunakan telur ayam, susu lembu, pulut kuning yang dialas dengan kain merah untuk dipersembahkan kepada makhluk halus. 


 Manakala, difahamkan lafaz syahadah juga berbeza antara lelaki dan perempuan. "Berdasarkan makluman diberikan, seramai 20 orang akan terlibat dalam sekali upacara tertentu yang kebanyakan pengikut berasal dari luar Melaka. "Beberapa amalan seperti puasa pemutih dan mandi suci dilakukan. Terdapat satu peringkat tertinggi, mereka tidak perlu lagi solat kerana menjadi jelmaan ALLAH. "Di buku nota yang dirampas turut tercatat seluruh badan adalah lembaga Muhammad. Kita turut menemui dua pil perangsang seks dalam bilik suspek yang masih tidak diketahui untuk apa kegunaannya," katanya. Beberapa risalah, buku, barangan pemujaan, keris-keris lama turut dirampas dan kesemua mereka ditahan reman sehingga semalam bagi membantu siasatan.

 Rahimin berkata, rumah yang disewa di Kampung Batu Gajah Pasir, Merlimau, Jasin itu memiliki tujuh bilik menjadi markas penyebaran ajaran itu sejak 10 bulan lalu dan salah sebuah bilik khas dipanggil Bilik Ratu. Beliau berkata, bilik berkenaan berfungsi untuk kegunaan pengikut yang melepasi peringkat ajaran tertentu dan dikhuatiri digunakan untuk melakukan perbuatan seks haram. Menurutnya, terdapat pelbagai catatan unsur-unsur penabalan kerabat diraja seolah-olah mereka menuju ke arah kerajaan ghaib iaitu kerajaan yang dikongsi bersama makhluk halus. 

 "Terdapat amalan seruan-seruan jin, nabi-nabi seperti Nabi Khidir dan Sulaiman. Semasa serbuan mendapati terdapatnya botol-botol mengandungi air yang tertulis nama-nama nabi untuk diberi minum kepada pengikut. "Malah, banyak botol-botol air dipercayai sudah mengandungi zikir untuk diminum pengikut. "Banyak buku-buku nota menyamai konteks ilmu Hakikat Insan seperti rajah yang dibuat berkaitan alam roh, alam nur," katanya di sini, semalam susulan serbuan dilakukan pihaknya di rumah individu terbabit. Serbuan dilakukan petang Isnin lalu turut menahan tiga lelaki iaitu suspek bersama isterinya berusia 60 tahun, dua pengikut lelaki berusia 30-an berasal dari Kuala Lumpur dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun dipercayai anak angkat suspek. Manakala, isterinya seorang warganegara Singapura akan dirujuk ke Jabatan Imigresen berikutan memiliki visa tamat tempoh sejak dua tahun lalu. Rahimin tidak menolak kemungkinan ajaran berkenaan masih tersebar luas di negara ini dan pemantauan berterusan akan dilakukan.

MAHASISWA BANTAH LATIHAN TENTERA AMERIKA DI MALAYSIA

Posted: 17 Sep 2014 09:36 PM PDT


1. Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) mengutuk tindakan kerajaan Malaysia dibawah kepimpinan Dato' Seri Najib Tun Razak kerana telah membenarkan tentera Amerika Syarikat mengadakan latihan eksesais bilateral di negara ini. 

 2. GAMIS meluahkan rasa kebimbangan dan kerisauan disebalik apa yang terjadi. Walaupun dimaklumkan oleh Angkatan Tentera Darat Malaysia bahawa tujuan pendaratan mereka adalah untuk latihan dalam bidang pengurusan bencana alam dan perlaksanaan Operasi Pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), namun ia sungguh mencurigakan.

 3. Pendaratan tentera Amerika ini juga sebagai satu simbolik pengiktirafan kerajaan Malaysia terhadap keganasan Amerika dan sekutunya Israel terhadap umat Islam di seluruh dunia, khususnya di bumi Gaza melalui Operasi Perlindungan Sempadan (Operation Protective Edge) selama tujuh minggu. 


 4. Kerajaan Malaysia telah meletakkan keselamatan negara dan rakyat diparas bahaya. Tidak boleh dinafikan melalui siri latihan yang diadakan ini mampu memberi peluang dengan lebih terbuka kepada tentera Amerika untuk mengakses maklumat ketenteraan Malaysia dan mengkaji geografi dan permukaan bumi di Malaysia. Seribu satu kemungkinan bakal berlaku.

 5. Justeru itu, GAMIS begitu kecewa dengan tindakan kerajaan dalam menyambut Hari Malaysia, 16 September dengan mencetuskan kebimbangan dilubuk hati rakyat akan keselamatan tanah air tercinta. Negara dalam keadaan bahaya selepas menjadi mangsa pertembungan kuasa besar dunia dengan tragedi pesawat MH370 dan MH17 serta disebalik kedatangan Barack Obama yang mempunyai seribu satu persoalan.

 6. GAMIS terus mendesak kerajaan untuk mengambil langkah proaktif dengan memperketatkan keselamatan di darat, laut dan ruang udara negara. 

 7. GAMIS sebagai sebuah gerakan mahasiswa dengan tegas mahu kerajaan Malaysia bertindak segera dengan menghentikan kerjasama ketenteraan dengan Amerika Syarikat.

 Abdul Malik Ab Razak 
 Presiden GAMIS

Hebat Bukan Lesen Besar Pertikai MSU

Posted: 17 Sep 2014 09:08 PM PDT

KULAIJAYA - 'Kehebatan' sesetengah pemimpin Pas tidak boleh dianggap sebagai lesen besar sehingga boleh mempertikai keputusan Majlis Syura Ulama, yang selama ini menjadi teras dan tunjang kepada kepimpinan parti itu.     Setiausaha Dewan Ulama Pas Selangor, Izwan Baidawi berkata, ada kalangan ahli dan pemimpin parti itu yang 'seronok' dengan istilah tahaluf siyasi (kerjasama politik) sehingga terlupa yang mereka masih ahli Pas.     "Ulama perlu jadi benteng dan pemandu supaya ahli-ahli tidak terpesong sehingga menolak pendirian atau keputusan yang telah ditetapkan oleh Majlis Syura Ulama. Kita perlu sama-sama memahami.    


 "Hebat bukan lesen besar sehingga mempertikai keputusan Majlis Syura Ulama," katanya ketika membahaskan ucap tama  Pemangku Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yakob pada Muktamar tahunan ke-53 Dewan Ulama Pas di sini, hari ini.        Beliau turut mengingatkan ahli Pas supaya tidak berbalah tetapi sebaliknya menjadikan muktamar itu medan pencernaan idea dan pendapat bagi mengatasi isu dalaman parti pada masa kini. "Ada kaedah lain dan terbaik untuk merungkai sebarang permasalahan," katanya.     Sementara itu, wakil Ulama Pelapis Dewan Ulama Pas, Hairul Nizam Hussein pula menyifatkan percanggahan pendapat sebahagian pemimpin parti itu terhadap keputusan Majlis Syura Ulama baru-baru ini, merisaukan dan sesuatu yang kritikal. 

 "Sebahagian pemimpin Pas mengeluarkan pendapat bercanggah terhadap keputusan Majlis Syura Ulama sehingga timbul persoalan sama ada keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura Ulama boleh diperbahaskan," kata beliau.     Sehubungan itu, ulama pelapis mempunyai tanggungjawab untuk menjadi benteng dan tonggak Ulama Pas dan Majlis Syura Ulama  terutama ketika ada pihak yang mempertikaikan kredibiliti Majlis Syura Ulama.     Beliau turut mengingatkan anggota dan pemimpin Pas bahawa mereka tertaklukdi bawah parti dan bukannya pakatan pembangkang.    

 "Sekali lagi saya tegaskan, kita perlu sedar kita bukan berada dalam keadaan tenang. Apabila tuan guru dan pimpinan ulama dipertikai, saya bimbang ia boleh menjadi seperti barah.     "Hati-hati, takut nanti lepas ini Dewan Ulama diperkotak-katikkan, disampahkan dan (mungkin) tidak diperlukan lagi," katanya.     Seramai 543 perwakilan menghadiri muktamar Dewan Ulama itu. - Bernama

0 ulasan:

Pimpinan

Sayap Parti

Kawasan