Pengikut

Nuffnang

Rabu, 23 Julai 2014

Jasindaily Online

sumber :-

Jasindaily Online


MALAYSIA TERIMA MAYAT MANGSA TRAGEDI MH17

Posted: 23 Jul 2014 12:34 AM PDT

KHARKIV (Ukraine) 22 Julai - Beberapa anggota Pasukan Siasatan Khas Malaysia menerima mayat mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di Ukraine, Khamis lepas. Kesemua 282 mayat terbabit tiba di Kharkiv, kira-kira 500 kilometer dari Kiev, pukul 12 tengah hari (waktu tempatan). 

 Ketua Pasukan Siasatan Khas Malaysia Khairil Hilmi Mokhtar mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama. Bagaimanapun, petugas media rasmi tidak dibenar memasuki kawasan operasi di mana mayat terbabit akan dikenal pasti dan dipindah daripada kereta api yang dilengkapi bilik sejuk meskipun menunggu lebih enam jam sejak pukul 6 pagi. Seorang pegawai kerajaan Kharkiv berkata, kesemua mayat itu dibawa ke pangkalan tentera sebelum dihantar balik ke negara asal. Kumpulan itu dihantar ke Kharkiv berikutan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya pada Isnin malam, bahawa 282 mayat akan dipindahkan dengan kereta api dari Torez ke Kharkiv selepas beliau berjaya mengadakan rundingan dengan Alexander Borodai, yang menguasai wilayah Ukraine yang bergolak, lokasi pesawat itu terhempas. 


 Najib berkata, mayat terbabit akan diterbangkan ke Amsterdam dengan pesawat C130 Hercules Belanda bersama-sama anggota Pasukan Siasatan Khas Malaysia. Mayat rakyat Malaysia akan diterbangkan ke tanah air selepas selesai semua kerja forensik. Pasukan itu terdiri daripada 23 petugas daripada Pasukan Penyelamat Khas Malaysia (SMART), 12 anggota forensik polis dan pegawai Kementerian Pengangkutan. Sembilan pemberita turut menyertai mereka. Mereka berlepas dari Kiev pada 10.30 malam Isnin (3.30 pagi Selasa waktu Malaysia) dan tiba di tempat pertemuan pada 6 pagi semalam (11 pagi waktu Malaysia). Semalam, pasukan itu turut menerima dua kotak hitam di Donetsk. Susulan kejayaan mendapatkan mayat serta kotak hitam itu, pasukan penyiasat Malaysia akan memindahkan operasinya ke Belanda dan mereka akan berlepas ke Amsterdam malam ini. Pesawat MAS MH17 itu dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika terhempas di Donetsk, timur Ukraine yang terletak berhampiran sempadan Rusia pada Khamis. Pesawat jenis Boeing 777-200 itu membawa 298 orang iaitu 283 penumpang dan 15 anak kapal. Ia dipercayai telah ditembak jatuh tetapi sehingga hari ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab menyebabkan nahas itu. - BERNAMA

KEJADIAN RIBUT DI DURIAN TUNGGAL

Posted: 22 Jul 2014 11:07 PM PDT






Kurangkan Hiburan Sempena Idulfitri

Posted: 22 Jul 2014 09:57 PM PDT

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa pihak kerajaan khususnya agensi di bawah Kementerian Penerangan agar mengurangkan aktiviti berbentuk hiburan sepanjang akhir bulan Ramadan al-Mubarak ini. Naib Presidennya, Hasri Harun berkata kedapatan usaha-usaha pihak-pihak yang terlibat khususnya stesen radio dan televisyen menggerakkan program sambutan menjelang hari Raya Idulfitri. 


 "Sesungguhnya Abim berpandangan bahawa pihak berwajib harus peka dan prihatin dengan suasana dan permasalahan terkini yang berlaku khususnya di bulan yang mulia ini. "Ia termasuklah isu pembunuhan rakyat Islam di Palestin oleh tentera rejim Israel yang amat mendukacitakan seluruh dunia," ujarnya dalam satu kenyataan. Tambahnya, Abim juga menyeru agar kempen digerakkan oleh seluruh rakyat malaysia agar mengurangkan aktiviti hiburan yang mana ia bertujuan untuk menghormati bulan Ramadan yang masih berbaki dan memberikan keselesaan kepada umat islam untuk beribadah dengan tenang sepanjang akhir Ramadan ini. Katanya, program-program berbentuk kerohanian sama ada dari pelbagai agama juga wajar dijalankan agar dapat sama-sama mendoakan agar negara dihindari dari sebarang malapetaka pada masa akan datang. 

 "Abim juga menarik perhatian agar pihak stesen televesyen supaya sama-sama kita menghormati bulan yang mulia ini di samping menghormati peristiwa yang amat besar dalam sejarah negara, termasuk kehilangan MH370 dan kes terbaru iaitu MH17 yang ditembak di Ukraine," ujarnya. Beliau menambah, usaha ini juga bagi sama-sama menghormati saat kesedihan keluarga penumpang pesawat dan keluarga krew terbabit.

Tragedi MH17 : Pemuda PAS Gesa PBB Telus

Posted: 22 Jul 2014 09:54 PM PDT

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bertindak secara telus dalam membuat siasatan berhubung tragedi pesawat MAS MH17. Ketuanya Suhaizan Kaiat juga mendesak agar PBB mengambil tindakan terhadap mereka yang merancang dan bertindak menembak kapal terbang yang membawa orang awam milik negara ini. Beliau berkata demikian ketika menyerahkan memorandum kepada pegawai PBB di sini kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi. Memorandum itu turut mengutuk tindakan tentera Ukraine yang seolah-olah cuba untuk menghalang delegasi daripada negara ini melakukan kerja-kerja di kawasan kejadian. 


 "Kita mengutuk juga tindakan yang menghalang kita bagi mendapatkan bukti-bukti kapal terbang itu terhempas,"katanya kepada Harakahdaily. Sementara itu, wakil PBB berjanji akan menyerahkan memorandum tersebut kepada unit penyiasatan PBB di New York dengan segera mungkin. Tragedi MH17 yang terhempas ditembak oleh puak pemisah dikecam hebat oleh dunia malah ramai yang menyatakan simpati terhadap keluarga mangsa yang terlibat. Pesawat Boeing 777-200 Malaysia Airlines penerbangan MH17, sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas dipercayai ditembak jatuh dengan peluru berpandu darat ke udara pada Khamis, 17 Julali lalu. Pesawat malang itu ditembak jatuh di Donetsk, timur Ukraine.

Gaza Berdarah : Korban Meningkat

Posted: 22 Jul 2014 09:52 PM PDT

GAZA: Semalam adalah hari ke-15 berturut-turut tentera Zionis Israel melancarkan serangan terhadap penduduk Gaza. Sehingga semalam, jumlah korban terus meningkat kepada 573 orang manakala 3,400 lagi dilaporkan cedera yang sebahagian besarnya adalah wanita dan kanak-kanak. Sementara itu juga, ribuan rumah lagi musnah dalam serangan bom tentera Israel. Semalam juga seorang petugas media Palestin Khaled Hamad terbunuh ditembak tentera Israel. Hamad, 25, yang bekerja untuk syarikat Continue TV, ditembak mati ketika membuat liputan operasi tentera Israel di kejiranan Shujaia di bandar Gaza.


 Israel juga dikatakan mensasarkan beberapa lagi wartawan tempatan dalam usaha menyekat penyebaran maklumat kekejaman mereka kepada dunia. Wartawan Mahmoud Al-Louh dan jurukamera Kareem Tartouri turut menjadi sasaran Israel apabila mereka diserang semalam. Mahmoud dan Kareem yang berkerja dengan stesen radio Al-Ashab dilaporkan cedera. "Wartawan mesti dibenarkan untuk melaporkan apa yang berlaku dan tidak disasarkan oleh tentera untuk kerja-kerja mereka. "Kami menyeru Israel untuk menghormati hak-hak dan kebebasan media Palestin, " kata Presiden Persekutuan Wartawan Antarabangsa Jim Boumelha. Selain itu, agensi berita antarabangsa CNN turut dilaporkan memanggil balik wartawan mereka, Diana Magnay ekoran tindakan beliau mengutuk Israel. Beliau membuat kenyataan itu di Twitter ekoran melihat penduduk Israel bersorak melihat pembunuhan beramai-ramai ke atas warga Palesti oleh tentera rejim

Gaza: Angka korban meningkat ke 636 orang

Posted: 22 Jul 2014 09:50 PM PDT

GAZA: Kementerian Kesihatan Palestin semalam mengumumkan angka korban akibat serangan tentera rejim Zionis Israel ke atas Gaza yang masuk hari ke-16 semalam kini meningkat kepada 636 orang. "Sekurang-kurangnya 636 terbunuh dan 4040 yang lain cedera dalam serangan terbaru Israel ke atas Gaza semalam," kata jurucakap kementerian Ashraf al-Qodra. Beliau memaklumkan dari jumlah itu, sebahagiannya iaitu sekurang-kurangnya 162 orang adalah kanak-kanak dan 78 lagi wanita.
Tentera Zionis Israel memulakan serangan ke atas Gaza sejak 7 Julai lalu meliputi serangan udara dan laut, manakala pada Khamis serangan darat secara besar-besaran dimulakan. Sayap kanan Hamas, Briged Izzuddin Al-Qassam turut membuat serangan balas sebagai mempertahankan tanah Gaza. Pihak tentera rejim Israel sehingga kini mengumumkan lebih 30 askar mereka telah terkorban sejak serangan dimulakan. Menurut perangkaan rasmi Israel, 30 Israel - termasuk dua orang awam - telah sejak terbunuh sejak pertempuran bermula.

9 MP Pakatan, 12 BN akan bahas usul MH17

Posted: 22 Jul 2014 09:49 PM PDT

KUALA LUMPUR: Sembilan ahli parlimen daripada Pakatan Rakyat dan 12 Barisan Nasional akan mengambil bahagian membahaskan usul yang dibawa Perdana Menteri berhubung tragedi pesawat MH17 pada persidangan Parlimen Khas hari ini. Menteri di Jabatan Pedana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang ditemubual RTM memberitahu setiap pembahas akan mewakili parti masing-masing. "Penggulungan dijangkakan akan dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri pada jam 4 petang dan selepas penggulungan itu maka sesi sidang parlimen khas akan berakhir. 

 "Sebelum penggulungan itu jika kita masih ada masa, kita akan memberikan kepada wakil pembangkang untuk berucap," katanya. Wakil PAS yang akan mengambil bahagian ialah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, Datuk Kamarudin Jaffar (Tumpat) dan Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang). Pesawat MH17 yang membawa penumpang seramai 283 orang bersama 15 anak kapal dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak dan terhempas di Donestk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia pada 17 Julai lalu.

Dewan Rakyat rakam takziah kepada keluarga MH17

Posted: 22 Jul 2014 09:47 PM PDT

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen daripada kedua-dua belah pihak pada Rabu menunjukkan kesatuan berhubung tragedi Penerbangan MH17 apabila mereka berdiri dan bertafakur selama seminit untuk mengenang mangsa sebelum bermulanya persidangan khas Parlimen di sini. Bagi anggota Parlimen yang beragama Islam pula, mereka mengiringinya dengan bacaan al-Fatihah. Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mewakili anggota dewan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa pesawat Malaysia Airlines itu yang dipercayai ditembak jatuh di timur Ukraine Khamis lalu.

Pandikar Amin berkata negara menerima perkhabaran yang amat menyedihkan dan berharap keluarga penumpang dan anak kapal pesawat itu tabah serta cekal menerima takdir yang ditentukan. "Pada Khamis 17 Julai, negara dikejutkan dengan tragedi malang MH17 yang berlepas dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. "Saya dan semua anggota Dewan Rakyat bersedih dengan insiden tersebut. Seluruh Dewan Rakyat mendoakan dan berharap agar semua usaha mencari dan membawa pulang mangsa akan dipermudahkan," katanya. Pandikar kemudian meminta anggota Parlimen berdiri dan menghadiahkan al-Fatihah atau bertafakur selama seminit bagi bukan Islam. Pesawat jenis Boeing 777 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu dilapor terhempas Khamis lalu di Donetsk, wilayah yang dikuasai pemberontak Ukraine tidak jauh dari sempadan Rusia. -- BERNAMA

0 ulasan:

Pimpinan

Sayap Parti

Kawasan