• Azman Ibrahim Azman Ibrahim
KUALA TERENGGANU – Pembangkang mengingatkan menteri supaya tidak sesekali memberi jawapan bodohkan rakyat sebagai alasan mudah untuk menjawab isu kenaikan harga barangan.

Pengerusi Lajnah Pengguna Pas Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, jawapan yang tidak munasabah memperlihatkan menteri seolah-olah lepas tangan dan hanya menjadi bahan ejekan rakyat.

Sehubungan itu katanya, perlu ada satu jentera yang mencukupi untuk melaksanakan analisis dan mampu menyampaikan jawapan berbentuk ketelitian dan berfakta.

"Apabila ayam mahal, dicadangkan makan ikan. Sedangkan harga ayam RM10 sekilogram, harga ikan RM15 sekilogram. Kalau ayam mahal, makan daging, sedangkan harga daging RM23 sekilogram.

"Menteri orang cerdik tetapi dalam masa sama, rakyat bukan orang bodoh. Jadi dalam keadaan menteri yang terpelajar, perlulah ingat jawapan akan dinilai rakyat dan dibuat penghakiman. Setakat ini, saya rasa banyak jawapan-jawapan menteri jadi bahan ketawa dan senda gurau," katanya, di sini.

Beliau turut memberitahu, menteri tidak seharusnya memberi jawapan sinis terhadap permasalahan rakyat kerana ia tidak membuka jalan penyelesaian.

"Mungkin betul negara semakin maju, harga semakin naik tetapi sepatutnya ada mekanisme lebih baik  untuk kerajaan menangani keluhan rakyat," katanya.

Sementara itu, mengulas 11 langkah untuk mengurangkan perbelanjaan sektor awam termasuk elaun keraian menteri dan timbalan menteri sebanyak 10 peratus, beliau menjelaskan, ia tidak mampu mengurangkan bebanan dipikul rakyat.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pas Kawasan Setiu berkata, secara umumnya hanya sekitar RM600,000 yang akan jimat daripada elaun tersebut.

"Tapi tidak ke mana jumlah sebenarnya. Tidak boleh menampung rakyat, 10 peratus itu mungkin daripada semangatnya adalah tetapi kesan kepada rakyat tidak ke mana, sekadar angka yang lebih setengah juta sahaja," katanya