Pengikut

Nuffnang

Ahad, 1 Jun 2014

Blog Rasmi Dewan Pemuda PAS Puchong

sumber :-

Blog Rasmi Dewan Pemuda PAS Puchong


Asy-Syahid Imam Hasan Al-Banna ;

Posted: 31 May 2014 09:17 PM PDT


Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama dan jasa. Inilah yang dapat diperkatakan mengenai keperibadian tokoh perjuangan Islam ini iaitu Asy Syahid Imam Hasan Al-Banna. 65 tahun yang lalu, pada tanggal 12 Februari 1949, sejarah telah merakamkan satu tragedi hitam yang menyedihkan bagi masyarakat Islam ketika itu, yang mana telah syahidnya mentor perjuangan gerakan islam seluruh dunia ini, beliau telah syahid di bunuh, namun kesan kesungguhan menyebarkan agama Islam dan semangat perjuangan beliau dalam menegakkan kembali Islam di bumi mesir tetap kekal sehinggalah ke hari ini. Kesegaran idealisme dengan stamina perjuangan gencar dari tokoh besar ini wajar dicontohi oleh mereka yang ingin memperjuangan Islam. Maka menjadi tugas kepada para pejuang Islam untuk mengenang kembali jasa dan pengorbanan tokoh mujahid yang menjadi pelopor dalam mengembalikan kegemilangan Islam ini agar ialahnya menjadi sumber ikutan buat generasi ini dan generasi akan datang.

Imam Hasan Al-Banna atau nama penuh beliau Hasan Ahmad Abdul Rahman Al-Banna, dilahirkan pada hari Isnin 25 Sya'ban 1324 Hijrah, 14 Oktober 1906. Merupakan pengasas kepada gerakan Islam yang terkenal di seluruh dunia iaitu 'Ikhwanul Muslimin'. Berasal dari keluarga ulama yang berpegang teguh dengan manhaj Islam. Merupakan anak sulung daripada lima adik beradik. Ayahnya merupakan seorang ulama yang mengarang beberapa kitab hadis dan fiqh perundangan Islam, yang berkelulusan dari Universiti Al-Azhar Mesir. Sifat kepimpinan Hasan Al-Banna terserlah sejak beliau masih di bangku sekolah lagi. Sejak kecil lagi beliau telah menghafal Al-Quran dan telah dididik  dengan ajaran Islam oleh bapanya sendiri. Pada usia 16 tahun, beliau telah layak memasuki Darul Ulum di Kaherah kerana kebijaksaan dan ilmu pengetahuannya yang luas. Semasa di Kaherah beliau terdedah dengan pergolakan parti politik dan aliran pemikiran yang bertujuan  untuk melemahkan  pengaruh Islam yang dicetuskan oleh gerakan Kamal Ataturk. Beliau kemudian menyertai pertubuhan Jama'atul Makram Al-Akh,aq Al-Islamiyyah dan giat  mengadakan ceramah-ceramah di seluruh pelosok mesir sehinggalah masyarakat mula mengamalkan kembali nilai-nilai Islam.

Pada tahun 1927, Imam Hasan Al-Banna telah menubuhkan gerakan Ikhwan Muslimin, maka telah berkembanglah gerakan itu di segenap pelusuk masyarakat, dan pada akhirnya Ikhwanul Muslimin telah menjadi organisasi gerakan Islam yang terbesar di Mesir dan telah tersebar juga di negara-negara lain. Manhaj perubahan yang beliau lakukan adalah dengan mentarbiah pemikiran setiap ahlinya menjadi individu muslim yang sejahtera akidahnya dan bersedia untuk berjihad. Pada tahun 1947, beliau telah mengajak ahli Ikhwan dan seluruh umat Islam untuk melakukan jihad mempertahankan bumi Palestin dari dijajah oleh yahudi. Beliau berkata: " Sesungguhnya Ikhwanul Muslimin akan mengorbankan jiwa dan harta mereka ntuk mempertahankan setiap jengkal dari bumi palestin sehingga Allah mewarisi bumi ini dan orang-orang yang bersamanya."  Kemudian beliau telah menghantar ribuan pemuda Ikhwan ke medan jihad di bumi Palestin. Hal ini akhirnya telah  menyebabkan pemerintah Mesir ketika itu membubarkan gerakan Ikhwanul Muslimin di atas tuduhan merancang satu pemberontakan  untuk menjatuhkan kerajaan. Ahli-Ahli Ikhwan ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara, di siksa dengan kejam malah ada juga yang dibunuh. Namun begitu, beliau tidak ditangkap dan beliau sedaya upaya cuba untuk menyelamatkan Ikhwan. Seorang wartawan bertanyakan kepada beliau tentang pengharaman gerakan itu, beliau menjawab dengan kata-kata yang begitu mendalam maknanya;"apabila kata-kata diharamkan, maka tanganlah yang akan menggerakkannya."

Pada 12 Februari  1949, satu perancangan jahat musuh telah dilakukan untuk membunuh Imam Hasan Al-Banna, pihak kerajaan  telah menjemput beliau ke Pejabat Jam'iyyah al-Syubban al-Muslimin yang kononnya untuk membuat rundingan bagi memulihkan konflik yang berlaku, beliau telah datang bersama iparnya untuk berunding bersama wakil kerajaan, namun setelah lama menunggu, wakil kerajaan itu tidak hadir. Semasa ingin pulang, mereka berdua telah ditembak ketika mahu menaiki teksi, kemudian mereka di bawa ke hospital, apa yang menyedihkan apabila mereka berdua tidak dibenarkan menerima sebarang rawatan, dan akhirnya meninggal dunia akibat kehilangan darah yang banyak. 

Sejak peristiwa itu, ramai anggota Ikhwan telah ditindas dan dizalimi, namun begitu tindakan jahat musuh-musuh Islam tidak sesekali akan melemahkan semangat pendukung gerakan itu.  Musuh-musuh Islam menyangka mereka telah mendapat kemenangan dan berjaya melumpuhkan dakwah islamiyah daripada terus tersebar, namun takdir Allah mengatasi segala perancangan jahat mereka. Meski pun Imam Hasan Al-Banna telah tiada, namun roh perjuangannya masih diwarisi oleh pengikutnya, dakwah Islam makin tersebar di seluruh pelusuk dunia, cawangan-cawangan Ikhwan Muslimin makin bertambah di negara-negara lain. Parti dan gerakan Islam  satu demi satu bercambah hasil daripada biasan sinar dakwah Imam Hasan Al-Banna.

Namun kini, dunia kembali menjadi saksi penindasan demi penindasan  yang di lakukan oleh musuh Islam ke atas umat Islam. Bilakah akan munculnya 'Al-Banna ke-2'..? Kita mengharapkan agar Allah  melahirkan seorang lagi pemimpin Islam seperti Hasan Al-Banna yang akan mengembalikan maruah Islam yang telah dirobek oleh Yahudi dan sekutu-sekutunya.

Asy-Syahid pernah berkata: " Adapun seorang mujahid yang tidur sepenuh kelopak matanya, makan seluas mulutnya, tertawa selebar bibirnya, dan menggunakan waktunya untuk bermain dan kesia-siaan, MUSTAHIL ia termasuk dalam golongan orang-orang yang menang, MUSTAHIL tercatat namanya dalam jumlah para mujahidin."





Valentine Day: Mengapakah haram disambut?

Posted: 31 May 2014 09:15 PM PDT



Valentine's Day atau dikenali juga sebagai hari kekasih merupakan satu hari peringatan yang berasal daripada perayaan tradisi agama Kristien yang diraikan pada 14 Februari setiap tahun. Pada kebiasaannya ia akan diraikan oleh golongan pemudi-pemudi dengan cara meluahkan perasaan cintanya, memberikan hadiah kepada pasangan masing-masing dan menghantar kad-kad ucapan sebagai tanda cintanya kepada kekasihnya. Namun apa yang membimbangkan, pada era pasca kemodenan ini, ianya dicemari dengan pergaulan yang terlalu bebas diantara lelaki dan wanita  tanpa sebarang ikatan perkahwinan yang sah, 'si bunga rela menyerahkan kelopaknya kepada si kumbang hitam lalu dihisaplah madunya, habis madu kumpulan sepah dibuang' inilah yang amat dirisaukan, sehinggakan ada yang berakhir dikatil-katil hotel. Pesta maksiat pula berleluasa di merata tempat, dan lebih menyedihkan apabila ia juga turut disertai oleh segolongan remaja yang beragama Islam tanpa segan silu.  Budaya buruk barat ini semakin menular dalam pemikiran generasi muda umat Islam. Saban tahun, setiap kali sambutan tahun baru mahupun valentine's day diadakan, maka akan penuhlah di dada-dada akhbar berita pasangan muda-mudi dicekup kerana berkhalwat di hotel-hotel murahan.

Agama Islam tidak pernah menghalang umatnya untuk berkasih sayang yang merupakan fitrah setiap manusia, malah sifat kasih sayang ini termasuk diantara akhlak mulia yang disukai oleh Allah. Rasulullah S.A.W sendiri pernah berkata : " Barangsiapa tidak menyayangi manusia, Allah tidak akan menyayanginya." Namun apa yang menjadi kesalahan ialah apabila manusia salah menguruskannya dan melanggar batas yang telah ditetapkan dalam Islam. Bukanlah Islam itu ingin mengekang umatnya dengan menetapkan batasan dan larangan tertentu, akan tetapi adalah untuk menjaga umatnya dari berlakunya keburukan yang lebih besar.

Sesuatu perayaan dalam Islam adalah ibadah yang mendekatkan diri hamba kepada Allah Taala. Ulama telah menggariskan satu kaedah dalam beribadah "Hukum asal beribadah adalah haram dan batal kecuali bila terdapat dalil yang memerintahkannya"  dalam Islam hanya terdapat dua sahaja perayaan yang merupakan ibadah iaitulah 'Aidilfitri dan 'Aidiladha, selain daripada ini adalah tidak dibenarkan apatah lagi jika terdapat maksiat dan unsur-unsur agama selain islam di dalamnya. Agama Islam melarang umatnya meniru budaya, perayaan dan ibadah agama lain. 

Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah Ali 'Imran ayat 105 :
" Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berpecah belah dan berselisih (dalam urusan agama mereka) setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas (yang dibawa oleh utusan-utusan Allah, dan mereka yang bersifat demikian akan berolah azab seksa yang besar"

Rasulullah S.A.W juga pernah bersabda: " Sesiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka"

Dua dalil ini menjelaskan kepada kita larangan mengikuti,menyerupai dan mengikuti ajaran dan ibadah agama lain. Menurut Ibnu Taimiah, pada zaman para sahabat telah bersepakat pengharaman meniru perayaan orang kafir. Ibnu Qayyim pula menyatakan bahawa ulama telah bersepakat pada perkara ini. 

Diantara sebab lain pengharaman menyambut valentine's day ini ialah kerana ianya lebih merangsang ke arah perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan yang cenderung kepada berlakunya perzinaan, sedangkan di dalam Al-Quran, Allah S.W.T memperingatkan manusia agar menutup segala ruang yang boleh menyebabkan berlakunya perzinaan. Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Isra' ayat 32 : " Dan Janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat(membawa kepada kerosakan).

Majlis Fatwa Kebangsaan juga telah mengfatwakan bahawa 'Valentine's Day' haram disambut umat Islam.

Kesimpulannya, diharapkan kepada seluruh umat Islam dan khususnya buat generasi pemuda-pemudi Islam agar tidak melibatkan diri dengan sebarang sambutan valentine's day ini kerana jelas ianya bertentangan dengan syariat Islam, tidak pernah dalam sejarah ianya disambut dengan mengadakan bacaan yasin berserta doa selamat, qiamullail apatah lagi. Selidiklah dahulu sesuatu perkara kepada para alim ulama, jangan kerana perasaan teramat sayang ini akhirnya maruah diri sanggup digadaikan. Kepada para ibu dan bapa, awasilah setiap tingkah laku anak-anak remaja anda, jagalah amanah yang diberikan oleh Allah Taala ini sebaiknya, didikanlah hati mereka dengan didikan agama, dan kepada para agamawan, aktivis Islam, imam-imam muda, pencetus-pencetus ummah, ustazah-ustazah pilihan, mainkan peranan kita sebagai seorang da'i, sebarkan dakwah Islam ini kepada masyarakat, gunakan segala medium yang ada untuk kita mendidik dan menyedarkan masyarakat tentang pengharaman menyambut valentine's day ini.

Semoga kita diberi taufiq dan hidayah oleh Allah Taala agar dapat menjaga diri daripada sifat-sifat yang keji, dan semoga kita termasuk dalam  golongan orang yang mendengar kebaikan dan mengikuti benda kebaikan itu dalam kehidupan seharian.

0 ulasan:

Pimpinan

Sayap Parti

Kawasan