Pengikut

Nuffnang

Isnin, 14 April 2014

PAS KAWASAN KUBANG PASU

sumber :-

PAS KAWASAN KUBANG PASU


Umno-BN tak peka derita umat Islam

Posted: 14 Apr 2014 06:14 AM PDT

Oleh AZIZ MUDA
PERISTIWA hitam cukup menggemparkan berlaku di Mesir pada 24 Mac lalu pasti tidak mudah dilupakan oleh umat manusia seluruh dunia, apabila mahkamah di negara itu menjatuhi hukuman bunuh ke atas 529 pemimpin dan ahli Ikhwanul Muslimin.

Serentak itu, umat Islam di seluruh dunia bangun dengan kecaman keras ke atas pihak berkuasa Mesir kerana menjatuhkan hukuman itu ke atas mereka, lebih-lebih lagi apabila keputusan yang dibuat oleh pihak mahkamah itu bukan atas dasar keadilan, tetapi kerana dendam politik kudeta tentera negara itu, setelah Ikhwan menang besar dalam pilihan raya umum tahun lalu. Di negara kita, PAS selaku gerakan Islam telah memainkan peranan penting dalam menyuarakan kecaman dan kutukan keras rakyat negara ini terhadap keputusan mahkamah Mesir yang penuh dengan kezaliman itu.
Pemimpin-pemimpin PAS yang dimulai dengan Presidennya sendiri, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah mengeluarkan kenyataan sebaik sahaja keputusan itu dibuat oleh mahkamah di negara itu bagi mengutuk tindakan itu.
Selain mengecam, PAS turut mendesak badan-badan dunia termasuk Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB), Liga Arab dan Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) campur tangan dan mengambil tindakan termasuk mencontohi tindakan Afrika yang menggantung keahlian Mesir sebagai anggota Kesatuan Afrika.
Kecaman dan kutukan keras PAS terhadap keputusan itu turut dijelmakan dengan penganjurannya ke atas satu himpunan aman secara besarbesaran yang disertai ribuan rakyat negara ini pada 28 Mac lalu, bagi menyerahkan memorandum ke pejabat Kedutaan Mesir di Kuala Lumpur.
Sehari sebelum itu, PAS menerusi Ahli Parlimen Tumpat yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato' Kamarudin Jaffar telah membawa usul khas ke Parlimen bagi membincangkan perkara itu, tetapi ditolak oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di dalam kamarnya.
Keputusan Parlimen menolak usul itu amat mengejutkan seluruh rakyat negara ini, memandangkan usul tersebut bukanlah perkara kecil. Ia dibawa ke Parlimen dengan niat suci bagi membincangkan hukuman yang penuh dengan kezaliman itu demi kepentingan umat Islam yang sedang ditindas oleh mereka yang juga mengaku beragama Islam, tetapi bertuankan orientalis Barat yang tidak senang dengan kebangkitan umat Islam di dunia ini.
Penolakan usul itu turut menyebabkan rakyat negara itu tertanya-tanya, mengapa Parlimen Malaysia begitu pasif dan penakut, khususnya kepada Amerika Syarikat, sehingga isu sebesar itu juga tidak menarik perhatian Parlimen Malaysia, sedangkan negara Barat sendiri turut menunjukkan sensitiviti mereka terhadap perkara itu.
Tindakan itu tentunya amat memalukan negara ini kepada negara-negara lain. Lebih mengaibkan lagi apabila Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dan pemimpin-pemimpin kerajaan Umno-BN turut diam seribu bahasa dalam perkara itu, seolah-olah kejadian yang berlaku itu tidak memberikan sebarang makna kepada mereka, walaupun mereka mengaku beragama Islam.
Ahli Parlimen Eropah bantah
Tindakan para pemimpin Umno-BN itu amat berbeza berbanding Ahli-ahli Parlimen Eropah yang turut tampil mengkritik tindakan rejim kudeta Mesir yang menjatuhkan hukuman mati terhadap 529 rakyat mereka sendiri yang majoritinya penyokong Presiden Mesir yang sah, Dr Mohamed Morsi.
Kritikan itu diberitakan dikemukakan secara berdepan oleh mereka kepada Menteri Luar Mesir, Nabil Fahmy ketika beliau hadir berucap pada Suruhanjaya Hubungan Antarabangsa Parlimen Eropah di Brussels pada 1 April lalu.
Antara mereka yang membuat kritikan itu termasuklah wakil Portugis di Parlimen Eropah, Mario David yang bertanya kepada Fahmy bagaimana seorang calon presiden (Abdul Fatah Al-Sisi) boleh bertindak sedemikian, manakala beratusratus orang yang lain pula telah dijatuhkan hukuman mati.
Selain itu, ahli Parlimen Sepanyol, Jose Ignacio Salafranca pula dalam kritikannya turut menegaskan, tindakan Abdul Fatah Al-Sisi itu bukan sahaja bertentangan dengan undang-undang, tetapi turut melanggar hak asasi manusia yang sepatutnya menjadi kunci kepada kestabilan politik dalam peralihan kuasa di Mesir.
Malaysia negara Islam contoh
Sekiranya para pemimpin Umno-BN bermaruah, kritikankritikan Ahli-ahli Parlimen Eropah mengenai perkara itu pasti dirasakan sebagai satu tamparan yang amat hebat kepada mereka, lantaran perbezaan sikap mereka sendiri berbanding Ahli-ahli Parlimen terbabit dalam perkara itu.
Dalam Islam, setiap umat Islam adalah bersaudara, manakala kepada yang bukan Islam pula ditegah sama sekali dizalimi. Namun bagaimanakah sikap para pemimpin Umno- BN berhubung kezaliman yang dilakukan oleh pihak-pihak terbabit ke atas umat Islam di Mesir itu.
Di tengah kelantangan para pemimpin Umno-BN mengatakan Malaysia kononnya sebagai negara Islam contoh, yang kononnya hasil dari kejayaan mereka melaksanakan dasardasar yang Islamik seperti yang dituntut dalam Islam, mereka langsung tidak menunjukkan sikap sebenar sebagai orang Islam pada diri mereka dalam hal ini, dengan ciri-ciri semangat persaudaraan Islam seperti yang dituntut oleh Allah.
Sebaliknya, mereka ternyata amat takut kepada Amerika Syarikat untuk bertindak seperti yang sepatutnya, sehingga melupakan ketakutan kita yang sebenarnya hanyalah kepada Allah SWT.
Dengan itu juga, tidaklah menghairankan jika selama ini mereka enggan mengiktiraf Hamas di Palestin yang juga menang secara sah dalam pilihan raya, sebaliknya turut bersekongkol dengan Amerika Syarikat mengiktiraf Fatah yang kalah sebagai kerajaan di bumi umat Islam yang penuh dengan kezaliman Zionis Yahudi Israel itu, sehingga menyebabkan umat Islam di Palestin tidak terbela sejak dulu hingga kini.
Begitulah sikap sebenar yang patut mereka tunjukkan sebagai umat Islam? Begitukah sikap yang patut ditunjukkan oleh mereka yang kononnya selaku pemimpin negara umat Islam yang layak dijadikan ikutan oleh negara-negara umat Islam lain di dunia ini?
Sedangkan dalam sebuah Hadis Rasulullah s.a.w. dijelaskan bahawa umat Islam itu laksana satu tubuh badan, apabila sakit satu anggota akan menyebabkan anggota yang lain turut berasa sakit dan samasama berjaga malam.
Sikap Umno-BN terhadap umat Islam Rohingya
Selain itu, keanehan sikap para pemimpin kerajaan Umno-BN turut terserlah dalam isu umat Islam Rohingya di Myanmar. Disebabkan kezaliman yang amat ketara serta kempen penghapusan etnik yang dilakukan oleh pihak pemerintah di negara itu, umat Islam Rohingya yang dahulunya berjumlah puluhan juta orang, kini hanya tinggal ratusan ribu orang sahaja lagi.
Meskipun kejadian yang berlaku itu hanya tidak jauh dengan Malaysia berbanding di Mesir dan Palestin, para pemimpin Umno-BN juga sanggup memejamkan mata begitu sahaja.
Pada hal masalah Rohingya bukan baharu. Malah, masalahnya sama juga seperti Palestin yang telah pun wujud puluhan tahun lalu. Perbuatan kejam pihak pemerintah dan penganut Buddha ke atas umat Islam Rohingya telah bemula dari 1784. Apa yang berlaku di Rakhine Myanmar dan apa yang dilalui oleh etnik Rohingya merupakan satu kekejaman yang tidak dapat dibayangkan, rogol, bunuh, sembelih berlaku setiap masa.
Mereka ibarat pendatang di tanah air sendiri. Hak-hak mereka termasuk tanah-tanah mereka dirampas, masjid-masjid dan rumah-rumah dibakar, anak-anak dan wanita dibunuh dengan kejam oleh Rakhine Buddhist. Apakah keangkuhan Myanmar itu boleh dibiarkan begitu sahaja?
Dalam situasi ini, negaranegara anggota ASEAN yang turut dianggotai Malaysia sememangnya perlu memikirkan semula prinsip tidak campur tangan (non-interference principle) yang diamalkan ASEAN demi menzahirkan semula sifat kemanusiaan di kalangan mereka.
Negara-negara anggota ASEAN termasuk Malaysia mungkin tidak boleh menentukan perubahan undang-undang domestik untuk Myanmar, tetapi mereka perlu membuat keputusan untuk menggesa Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) agar mengambil tindakan berkesan terhadap isu pembersihan etnik itu, memandangkan tindakan Myanmar itu jelas melanggar prinsip undang-undang antarabangsa.
Walaupun mungkin tidak mahu campur tangan, Malaysia setidak-tidaknya harus proaktif menggesa negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) untuk berada di barisan hadapan memberikan tekanan ke atas rejim Myanmar untuk berhenti daripada melakukan pembunuhan dan penghapusan etnik Rohingya.
Sekiranya ASEAN sendiri gagal menyelesaikan konflik pembunuhan itu, siapakah yang bertanggungjawab untuk menghentikan pembunuhan dan penghapusan etnik itu jika tidak umat Islam sendiri. Jika Malaysia tidak membantu, siapakah lagi yang akan menyuarakan perkara itu bagi membela sesama umat Islam?
Namun sehingga kini, apakah yang telah dilakukan oleh para pemimpin kerajaan Umno-BN dalam membela sesama umat Islam itu? Malah sejak dulu hingga kini, para pemimpin Umno-BN sendiri juga diam seribu bahasa dalam isu Rohingya. Jadi, adakah para pemimpin kerajaan Umno-BN peka dengan derita sesama umat Islam di rantau ini dan di dunia ini?
Sebagai umat Islam, kita sememangnya tahu, tidak sempurna iman seorang Muslim jika dia tidur dalam kekenyangan sedangkan jiranya kelaparan.
Namun para pemimpin kerajaan Umno-BN setiap malam lena diulit mimpi, sedangkan jiran kita di Myanmar yang seagama dengan kita diseksa setiap hari.

As-Sisi bagai Firaun baru Mesir

Posted: 14 Apr 2014 06:13 AM PDT

Oleh AHMAD MANSOUR dan MOHAMMED IBRAHIM KAHERAH: Keputusan sebuah mahkamah Mesir baru-baru ini berhubung hukuman gantung sampai mati terhadap para pimpinan dan anggota gerakan Islam terbesar di Mesir iaitu al- Ikhwan al-Muslimun dianggap drastik yang lebih kepada kepentingan politik khususnya rejim tentera yang diketuai oleh Jeneral Abdel Fattah as-Sisi.



Reaksi negatif dibuat oleh seorang pemerhati daripada kalangan wartawan kanan dan pengamal media terkemuka Mesir, Ahmad Mansour yang menyifatkan keputusan mahkamah itu adalah tidak lain adalah untuk memberi laluan mudah kepada bakal calon presiden dalam kalangan tentera iaitu As-Sisi sendiri.
Dengan pembunuhan beramairamai anggota al-Ikhwan yang dianggap duri dalam daging, akan tiada lagi penentangan yang dapat mengganggu proses pilihan raya yang akan diadakan pada waktu terdekat.
Justeru menurut Ahmad, penggulingan kuasa pada 30 Julai 2013 lebih kepada satu sandiwara pihak tentera yang dirancang khusus untuk mengguling presiden sah yang dipilih rakyat, iaitu Dr Mohamed Morsi.
Ini kerana dalam tempoh tidak sampai satu tahun memerintah Mesir, telah memperlihatkan kewibawaannya dalam mengurus tadbir dengan baik mengikut lunas-lunas undang-undang yang memberi kesaksamaan terhadap semua pihak termasuk yang bukan Islam.
Tambah Ahmed lagi, rakyat Mesir yang tidak ada apa-apa bekalan senjata menunggu saat dan ketika yang sesuai untuk menghukum as-Sisi tanpa senjata kerana mereka sedar bahawa as-Sisi adalah individu yang telah mengorbankan nyawa dan darah rakyat Mesir dengan kejam tanpa mengira wanita, kanakkanak serta orang-orang tua.
Malah wartawan juga ramai yang terkorban hanya semata-mata untuk membela seorang manusia bernama as-Sisi.
Rakyat Mesir dewasa ini lebih menyokong Dr Morsi kerana yakin bahawa beliau adalah individu terbaik yang mampu memimpin Mesir dengan keadilan dan berjaya membuktikan kemampuan dalam memimpin negara dalam tempoh beberapa bulan sebelum digulingkan.
Beliau juga mendapat sokongan padu barisan ulama al-Azhar kerana mereka diberi penghormatan untuk berfungsi membantu negara dalam aspek keagamaan setelah dinafikan hak mereka pada era pemerintahan tiga presiden tentera sebelumnya.
Selanjutnya beliau menegaskan, bahawa keputusan hukuman gantung sampai mati ke atas 529 anggota al-Ikhwan al-Muslimun termasuk para pimpinannya tanpa mendengar pandangan para peguam tertuduh atau saksi menimbulkan keraguan seolah-olah mahu menggambarkan bahawa Mesir tidak ada undangundang.
Apa yang terpakai hanya keputusan mereka yang membuat huru-hara sehingga menggulingkan presiden pilihan rakyat yang memalukan segenap lapisan masyarakat khususnya mereka yang tidak bersetuju dengan tindakan yang dianggap zalim itu.
Keputusan menyebelahi as-Sisi untuk menang
Selain Ahmad, seorang peguam bagi tertuduh, Muhammad Raf'at menegaskan, bahawa keputusan itu tidak sah dan penangkapan para pemimpin al-Ikhwan juga tidak sah kerana penggulingan kuasa terhadap Dr Morsi juga tidak sah.
Malah beliau masih dikira sebagai presiden Mesir yang sah, justeru, apa-apa keputusan yang dikeluarkan oleh manamana mahkamah pada ketika ini adalah terbatal, hukuman gantung juga adalah tidak sah.
Muhammad Raf'at berkata demikian sebagai mengulas keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa dengan tidak memanggil kesemua tertuduh untuk membela diri dan mempertahan hak masingmasing.
Pihak tentera yang bertanggungjawab menangkap kesemua pemimpin dan anggota al-Ikhwan al-Muslimun telah melakukan jenayah tangkapan tanpa sebarang bukti, malah kesemua tertuduh ketika ditangkap tidak membawa sebarang peralatan senjata walaupun hanya sebatang kayu, ini menunjukkan bahawa mereka telah dianiayai.
Apa yang mendukacitakan banyak pihak, keputusan itu dibuat kononnya telah ditandatangani oleh barisan para hakim bagi kebaikan masa depan Mesir.
Akan tetapi apa yang telah dikenal pasti pihak tertentu telah melakukan pemalsuan dokumen yang mengatakan kesemua 529 anggota al-Ikhwan terbabit dalam menyerang pihak tentera semasa penangkapan dijalankan.
Seorang lagi peguam yang ditemui, Muhammad 'Awadh menegaskan, sesungguhnya sistem kehakiman dan perundangan sejak pada era pemerintahan Presiden Hosni Mubarak lagi dikatakan pincang dan berat sebelah malah dimonopoli oleh pihak tentera yang berdiri teguh di belakangnya.
Tegasnya lagi, sejak penggulingan kuasa pada 3 Julai 2013 lalu, pihak tentera telah menggunakan kuasa yang ada 100 peratus untuk menafikan hak al-Ikhwan al-Muslimun.
Mereka bertindak melakukan kekejaman dan kekerasan terhadap para pemimpin, anggota serta mereka yang memberikan sokongan terhadap gerakan Islam itu dengan sewenang-wenangnya dengan membelakangkan roh serta semangat demokrasi, seolah-olah mengulangi sejarah kekejaman mantan Presiden Gamal Abdel Nasser yang pernah bertindak keras terhadap al-Ikhwan al- Muslimun pada awal 1950-an.
Sesungguhnya sejak Mesir beralih kuasa yang sah kepada yang tidak sah yang dikuasai sepenuhnya oleh tentera, memperlihatkan terlalu banyak kepincangan khususnya dalam bidang perundangan dan kehakiman yang tidak lagi menurut undang-undang dan perlembagaan negara.
Malah dikuasai oleh sistem dajal yang lebih mempertahankan kuasa dan sanggup menjadikan orang awam sebagai bahan uji kaji peralatan senjata.
Pensyarah di Jabatan Undangundang Jenayah Pusat Kajian Kemasyarakatan dan Jenayah Serantau, Prof Dr Ahmad Kamal berpendapat, bahawa apa yang tersirat dari pada tindakan ganas pasukan tentera Mesir dalam usaha menggulingkan presiden yang dipilih rakyat, Dr Morsi pada 3 Julai tahun lalu secara jelas tindakan penghapusan terhadap seluruh penyokong al-Ikhwan al-Muslimun tanpa belas kasihan dan berperi kemanusiaan.
Bidang kehakiman yang dajal
Setelah mereka membunuh rakyat jelata yang tidak bersenjatakan apa-apa, ini termasuk anak-anak pemimpin gerakan Islam terbesar itu, kemudian menangkap para pemimpin, anggota serta penyokong al-Ikhwan dan sekarang mahkamah atas arahan pihak tentera mengeluarkan keputusan hukuman gantung sampai mati, ia dilihat sebagai satu usaha dan tindakan untuk menghapus segenap pengaruh al-Ikhwan dan akar umbinya dari bumi Mesir.
Tegas Ahmad lagi, seolah-olah di Mesir sekarang ini macam tidak ada undang-undang, peraturan atau perlembagaan negara, undang-undang sudah tidak lagi dihormati, malah disalahgunakan untuk kepentingan politik pihak tentera terutamanya as-Sisi yang bertindak serupa seperti Firaun sedangkan pemimpin dan anggota al-Ikhwan bagaikan pengikut Nabi Musa a.s. yang diserang di setiap penjuru.
Namun mereka lupa, bahawa akhirnya Firaun menyatakan kekesalannya setelah dimusnahkan Allah SWT, namun ia hanya tinggal sebagai bahan sejarah dalam al-Quran yang tidak dihayati iktibarnya.
Seorang lagi pengamal undangundang Mesir yang ditemui, 'Amru Abdel Hadi berpandangan, bahawa sejak rampasan kuasa pada 3 Julai 2013 oleh pasukan tentera terhadap kepimpinan Dr Morsi, semua peraturan, undang-undang serta kehakiman Mesir sudah tidak boleh dipercayai, semuanya telah dicabuli satu demi satu termasuklah sistem demokrasi ciptaan manusia yang serba lemah itu.
Tegasnya, undangundang yang ada sekarang lebih menyebelahi as-Sisi yang sedikit pun cenderung kepada rakyat jelata, ia adalah undangundang berat sebelah yang menguntung satu pihak tidak pada yang lain, sesiapa yang cuba menyanggahnya akan dikenakan pelbagai hukuman yang keputusannya boleh dibuat sekelip mata, kerana ia tidak dirujuk kepada akta-akta yang termaktub dalam perlembagaan.
Walau apa pun, beliau amat yakin bahawa as-Sisi akan tersungkur dengan izin Allah dengan cara yang lebih hina lagi, kerana rakyat semakin sedar dengan penyelewengan dan mereka akan bangkit pada bila-bila masa, kerana mereka ada kekuatan tersendiri walaupun tidak memiliki peralatan senjata canggih seperti yang dimiliki oleh pihak tentera.
Dalam perkembangan berkaitan, anak lelaki kepada Presiden yang digulingkan, Usamah Morsi mengkritik tindakan as-Sisi yang semakin menyerlah menonjolkan diri sejak akhir-akhir ini untuk menjadi calon presiden Mesir dengan pelbagai cara promosi yang memperlihatkan dirinya terlalu gila kuasa dan mahukan kuasa.
Beliau yang juga seorang peguam dan ahli Persatuan Peguam Mesir, menegaskan bahawa tindakan as-Sisi menggulingkan ayahnya sebagai presiden yang sah pada 3 Julai tahun lalu jelas menunjukkan beliau telah merancang secara halus untuk menduduki kerusi presiden pada pilihan raya akan datang.
As-Sisi sanggup melakukan apa sahaja tindakan yang bersalahan dengan undang-undang kerana yakin di belakangnya sokongan anggota tentera. Sambil menyifatkan kesemua anggota yang menggulingkan ayahnya sebagai hamba yang mempertuhankan as-Sisi. –
Ikhwanonline, moheet.com, islammessage.com

TPPA hilangkan fungsi ahli Parlimen?

Posted: 14 Apr 2014 06:11 AM PDT

Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB
PARLIMEN Malaysia mula bersidang pada pertengahan Mac lalu, dan berakhir pada 10 April.Pelbagai akta, usul, isu dan perbahasan sedang hangat dibincangkan lebih-lebih lagi apabila negara berdepan dengan tragedi kehilangan pesawat MH370 sejak lebih tiga minggu lalu.
Maka di Parlimen jugalah tempat segala soal keselamatan negara, apa-apa juga akta dibentang, dibahas dan digazetkan untuk dilaksana.


Terkini Parlimen sedang meneliti perbahasan mengenai Akta Pencegahan Jenayah (PCA), ianya berkaitan usaha mencegah jenayah. Pada umumnya Parlimen adalah badan perundangan bagi kerajaan persekutuan dan ia membuat undang-undang yang boleh dikuatkuasakan di seluruh negara.
Menurut laman rasmi parlimen.gov.my, Parlimen adalah tempat meluluskan undangundang persekutuan, membuat pindaan kepada undangundang persekutuan yang ada, memeriksa dasar-dasar kerajaan, meluluskan perbelanjaan kerajaan dan meluluskan hasilhasil cukai yang baru.
Parlimen juga menjadi forum untuk membincangkan perkaraperkara berkaitan kepentingan orang ramai.
Bagi membolehkan Parlimen menjalankan tanggungjawab dengan sepenuhnya dan dengan lebih berkesan, perlembagaan telah memperuntukkan beberapa hak dan pengecualian yang dipanggil "Keistimewaan Ahliahli Parlimen" kepada ahli Parlimen.
Setiap Dewan mempunyai kuasa untuk mengawal selia tatacaranya sendiri, mempunyai kuasa mutlak atas prosiding masing-masing yang mana kuasa-kuasa ini tidak boleh dicabar di dalam mana-mana mahkamah.
Setiap dewan boleh mengenakan hukuman ke atas pelanggaran hak keistimewaan atau menghina (contempt) di dalam dewan tersebut.
Secara amnya, ahli dewan menikmati imuniti daripada prosiding sivil dan jenayah terhadap perkara yang dibahaskan dan yang dibuat di dalam sesi Parlimen.
Bagaimanapun fungsi dan peranan Parlimen ini akan terhakis selepas ini andai Perjanjian Perdagangan Trans- Pasifik (TPPA) ditandatangani Malaysia paling tidak semasa atau selepas lawatan Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama yang dijadulakan dalam April ini. TPPA disifatkan satu lagi penjajahan bentuk baharu yang direncana Amerika dalam menguasai pasaran ekonomi mahupun menjadikan sesebuah wilayah atau negara itu sebagai mangsa kepada sistem penjajahan ekonominya.
Lebih daripada itu, TPPA sebenarnya mampu menjadikan sesebuah negara itu hilang kedaulatannya.
Seperti kata Jurucakap Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Azlan Awang, TPPA mampu menjadikan Malaysia sebagai mangsa yang tidak boleh bersuara.
Mengapa TPPA boleh menghilangkan kuasa Parlimen?
TPPA adalah satu perjanjian ciptaan Amerika di dalam menghalalkan satu bentuk baharu kaedah penjajahan ke atas sesebuah negara merdeka dan berdaulat.
Inilah perjanjian paling rahsia pada abad ke-21. Rundingan bermula pada 2010 melibatkan Amerika Syarikat dan sepuluh buah negara rantau pasifik iaitu, Kanada, Chile, Peru, Mexico, Australia, New Zealand, Singapura, Indonesia, Vietnam dan Malaysia.
Jepun juga ikut serta dalam rundingan, manakala kelibat China tidak kelihatan.
TPPA mendapat bantahan aktivis rakyat.Selain daripada bantahan yang dilakukan oleh NGO domestik, sokongan antarabangsa juga dizahirkan oleh wakil-wakil Kongres Amerika yang tidak berpuas hati kerana tidak diberikan akses terhadap isi perjanjian ini.
Pada Jun 2012, seramai 132 perwakilan Kongres AS telah menulis, menandatangani dan mengedarkan surat bantahan menuntut ketelusan dalam proses rundingan.
Kesan TPPA kepada polisi negara
Pada tahun 2005, rundingan Free Trade Area of the Americas (FTAA) telah ditamatkan ekoran cadangan perjanjian tersebut secara telus telah didedahkan kepada umum.
Bantahan meluas disusun dan rundingan dibatalkan dipertengahan jalan.
Susulan daripada kegagalan rundingan FTAA ini, Amerika telah mengetengahkan satu perjanjian baharu TPPA untuk menggantikan FTAA yang gagal.
Namun yang membezakan perjanjian itu pada kali ini, teks dokumen perjanjian tidak dibenar untuk didedahkan oleh negara-negara yang menyertai rundingan ini kepada pengetahuan umum.
Tindakan ini diambil ekoran kegagalan rundingan FTAA yang mendapat tentangan hebat dari rakyat dan wakil industri yang terlibat secara terus dengan perdagangan pasaran terbuka.
Kalau ianya dibincangkan atau dibicarakan pun ianya secara umum tanpa huraian yang jelas kepada masyarakat. Apa salahnya isu ini diperjelaskan kepada rakyat untuk memberikan kefahaman dan sekaligus mendapat maklum balas secara terus dari stakeholder.
Jika ianya dibincangkan secara bersama nescaya keputusan yang diperolehi dengan lebih holistik bukan retorik. Sebenarnya rakyat akan berhadapan dengan kesan sosial dan ekonomi yang amat menakutkan.
Di antara bahana yang akan diterima hasil daripada perjanjian TPPA ialah menghakis hak-hak pekerja di seluruh dunia, menukar atau membuang peraturanperaturan institusi kewangan negara, termasuk di Wall Street.
Lebih parah lagi Malaysia cukup sarat dengan rasuah dan penyelewengan, maka TPPA lebih memberi kesan buruk.
Selain itu, TPPA hanya mengutamakan keuntungan korporat keparat MNC daripada hak rakyat (Malaysia telah lama dirundung sistem kapitalis monopoli oleh segelintir kroni Umno-BN, akan ditambah lagi).
Malah TPPA menghapuskan aktiviti-aktiviti berkaitan pekebun, peladang, penternak, petani dan nelayan kecil, memaksa perpindahan dan memusatkan bekalan makanan dunia ke tangan 1 peratus penguasa kekayaan dunia.
TPPA juga membataskan kebebasan dan daya cipta inovasi terhadap Internet, apabila kerajaan mahu menggubal manamana undang-undang berkaitan hak cipta internet, maka undangundang itu tidak akan terpakai jika TPPA telah dilaksanakan.
Parlimen hanya menjadi 'sarkas' untuk ahli-ahlinya datang memenuhi jadual persidangan tanpa boleh menjadikan tempat menggubal dasar itu berfungsi seperti yang sedang berjalan kini.
Menurut pengkaji TPPA, Fawwaz Abdul Aziz, TPPA bisa sahaja menjadikan Parlimen sebagai mandul untuk terus melahirkan akta atau peraturan.
Kuasa sesebuah negara untuk berdepan dengan syarikat pelabur yang akan masuk dengan perjanjian TPPA ini melebihi kuasa Parlimen yang menentukan akta untuk digubal.
Malah sekiranya ada akta yang menjejaskan keuntungan syarikat tertentu, maka akta itu tidak terpakai dalam apa sahaja tuntutan gantirugi ataupun saman oleh syarikat pelabur.
Sebelum ini, Parlimen Malaysia masih lagi memiliki ciri antaranya boleh melihat semula apa-apa akta yang tidak memberi kesan yang baik kepada rakyat, juga mampu menjaga sedikit 'kebebasannya' dalam menyediakan ruang untuk rakyat bersuara melalui wakil rakyat.
Secara keseluruhannya, TPPA adalah versi baru dari FTA dengan Amerika yang telah diperkemaskan untuk memerangkap, menjajah dan menggadai kedaulatan sesebuah negara.
Apakah rakyat mahu terus merelakan sebuah perjanjian yang akan melenyapkan
kedaulatan negara? Rakyat harus bangkit untuk menghalangnya.

0 ulasan:

Pimpinan

Sayap Parti

Kawasan